Bakal pemilik baharu Perak FC letak syarat


  • Podium
  • Rabu, 16 Mac 2022

PEMILIK baharu skuad Seladang menetapkan syarat terhadap pengambilalihan Perak FC daripada IMC. — Gambar hiasan

PASUKAN Perak FC yang berdepan isu kemelut tunggakan gaji mungkin akan menyaksikan pemilik skuad itu ketika ini iaitu Impact Media Communication (IMC) bakal 'ditendang' keluar, berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh pemilik baharunya nanti.

Mengikut satu sumber kepada portal Harimau Malaya, syarat itu antara yang ditetapkan oleh bakal pemilik baharu skuad Seladang itu.

Pemilik baharu itu dilaporkan berkemungkinan akan mengadakan perbincangan dengan Malaysian Football League (MFL) dalam masa terdekat ini.

“Pemilik baharu ini dikatakan bersedia untuk langsaikan segala tunggakan gaji melanda pasukan Perak FC tetapi bersyarat.

"Syarat yang ditetapkan oleh bakal pemilik baharu itu adalah pemilik Perak ketika ini iaitu IMC perlu ‘ditendang’ keluar," demikian laporan tersebut.

Laporan sama menyebut, jika berita yang dikatakan benar ia pasti akan membuatkan pemain, barisan kejurulatihan dan staf skuad yang diberi jolokan The Bos Gaurus itu berasa gembira kerana mereka sudah lama sengsara dengan pihak pengurusan lama yang seperti tidak prihatin dengan situasi mereka.

Terdahulu, portal Harimau Malaya telah bertemu dengan pemain dari Piala Belia dan staf pasukan yang tampil berkongsi kesusahan mereka apabila dibiarkan sengasara tanpa gaji selain dibiarkan tergantung tanpa khabar berita.

Situasi parah yang dihadapi oleh pemain belia Perak mendapat perhatian penyokong Perak sendiri yang mengambil inisiatif sesama penyokong dengan menghulurkan bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka.

Rentetan kemelut yang melanda, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak tampil menyelamatkan skuad Piala Presiden Perak apabila bersetuju menjadikan skuad itu sebagai ‘anak angkat’.

Skuad ‘anak angkat’ MSN Perak ini akan mewakili Perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram