Enam tip urus emosi ketika berdepan musibah banjir


  • Sihat
  • Khamis, 30 Dis 2021

MANGSA banjir dinasihatkan berkongsi masalah dengan rakan-rakan rapat dan ahli keluarga lain yang boleh dipercayai untuk mendengar kesukaran yang dihadapi. — Gambar hiasan/AP

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini sudah tentunya memberi kesan mendalam kepada kebanyakan mangsa yang terlibat termasuklah dari segi emosi dan psikologi.

Tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar harta benda dan turut meragut nyawa itu sudah tentu membuatkan ada mangsa yang masih berada dalam keadaan terkejut, trauma selain mengalami gangguan emosi dan mental.

Pegawai Psikologi Unit Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia, Nurul Nadia Rosli berkongsi beberapa cara atau tip untuk menguruskan emosi ketika berdepan musibah seperti bencana banjir. Tip yang dikongsikannya boleh dipraktikkan mengikut kesesuaian diri dan keadaan.

1) Teknik pernafasan asas

Apabila berasa sedih atau marah, ada kalanya kita rasa berdebar-debar dan menyebabkan kita bernafas secara laju. Jadi cuba tarik nafas selama empat saat dan tahan untuk dua saat lagi sebelum menghembuskan nafas melalui mulut.

2) Teknik grounding

Teknik ini untuk mengawal emosi negatif seperti keresahan dan ketakutan atau ketika kita dalam situasi bingung serta tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dengan menggunakan lima deria iaitu sentuhan, pendengaran, penglihatan, rasa dan bau, anda dinasihatkan untuk memanfaatkan deria ini dalam keadaan sedemikian.

Contohnya, apabila bingung melihat rumah habis rosak ditenggelami banjir dan tidak tahu di mana untuk memulakan mengemas rumah, anda boleh guna deria penglihatan untuk meneliti keadaan sekeliling. Lihat jika ada barang yang selamat dan sebagainya.

Teknik asas ini membantu mengawal gejala resah dan marah dengan menarik perhatian daripada pemikiran dan ingatan dengan memfokuskan semula kepada perkara yang perlu dibuat.

3) Raikan emosi

Jangan pendam atau simpan perasaan sebaliknya luahkan emosi terpendam. Jika perlu menangis, menangislah kerana tangisan itu melegakan. Selain itu, alurkan perasaan kepada individu yang sudi mendengar masalah tersebut.

4) Beri kebenaran untuk diri mengatasi emosi tersebut

Kalau berasa sedih dan kosong, benarkan diri anda untuk memikirkan cara seterusnya bagi berdepan situasi yang mungkin akan timbul. Contohnya jangan bersedih terlalu lama dan meratap nasib sebaliknya benarkan diri anda untuk merasai emosi lain seperti keperluan untuk menyelesaikan masalah dihadapi dengan segera dengan mencari bantuan dan sebagainya.

5) Dapatkan sokongan emosi daripada kawan, keluarga

Kongsi masalah dengan rakan-rakan rapat dan ahli keluarga lain yang boleh dipercayai untuk mendengar kesukaran yang dihadapi. Ini bagi mendapatkan sokongan moral daripada mereka dan memastikan anda tidak berseorangan dalam menempuh dugaan tersebut.

Rakan-rakan dan keluarga juga haruslah prihatin dan bersifat empati terhadap masalah yang dihadapi mangsa banjir.

6) Jangan malu dapatkan khidmat kaunselor

Sekiranya mangsa menunjukkan gejala tekanan perasaan yang teruk seperti menjerit dan menangis secara berterusan serta sukar dikawal, bantuan segera perlu diberikan oleh sukarelawan terlatih seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal atau ahli psikiatri.

Anda dinasihatkan jangan segan atau malu bertemu pakar kerana mereka boleh membantu anda memulihkan emosi dan segala permasalahan dihadapi mangsa banjir yang trauma dengan musibah menimpa mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

musibah, banjir, tip, urus emosi, pulih emosi, psikologi,