SEORANG jurupendawaian berumur 24 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan menyamun dan sengaja mencederakan seorang pemandu e-hailing pada 24 Januari lalu.
Fadlan Ahmad Fahimi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahyon Talib atas pertuduhan melakukan samun dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap P. Kesavan, 45, dalam kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Sentul Pasar di ibu negara pada 1.30 tengah hari 24 Januari lalu, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang tidak menawarkan sebarang jaminan dan peguam Mohd Irwan Sumadi yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya menjalani pemeriksaan mental.
"Berdasarkan pemerhatian kami sendiri dan video yang tular di media sosial, kami mengesyaki tertuduh mengalami masalah mental.
"Sekiranya dalam video itu adalah tertuduh, dia nampak berkelakuan aneh apabila tidak melarikan diri dan masih melakukan perbuatannya meskipun mengetahui tindakannya itu dirakam oleh orang awam.
"Pihak kami dimaklumkan bahawa ibu tertuduh sendiri pernah beberapa kali cuba membawanya menjalani pemeriksaan mental, namun dia enggan pergi," kata peguam itu.
Mahkamah kemudian memerintahkan Fadlan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental dan menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan kes.
Minggu lalu, tiga video mengenai kejadian itu tular di media sosial, memaparkan tindakan seorang lelaki menarik keluar individu dipercayai pemandu e-hailing yang mempunyai kesan darah di bahagian lehernya, sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram