
TINDAKAN berani mati seorang lelaki apabila meredah banjir menggunakan motosikalnya membimbangkan orang ramai.
Menerusi video tular di laman Facebook itu, lelaki berkenaan nekad melalui kawasan terbabit meskipun mengetahui air mengalir deras ketika itu.
Dalam video berdurasi 1 minit 2 saat itu, lelaki itu dilihat sukar mengawal motosikalnya menyebabkan dia dibawa arus banjir itu dan cuba menyelamatkan diri.
Situasi yang agak cemas itu menyebabkan orang ramai di tempat kejadian tidak berani mengambil risiko untuk menyelamatkan lelaki berkenaan.
Status sama ada lelaki itu sempat menyelamatkan diri serta lokasi sebenar kejadian masih belum diketahui.
Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia ketika ini memberi kesan kepada kesihatan mental orang ramai tatkala penularan wabak Covid-19 masih belum reda.
Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Pahang, Kelantan, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan meningkat pagi Isnin, manakala 73 jalan di Selangor masih ditutup akibat bencana itu.
Di Pahang, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi Isnin kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam Ahad.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang direkodkan pagi Isnin adalah seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, berbanding 3,173 orang daripada 895 keluarga pada Ahad.
Di Melaka, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 826 mangsa daripada 183 keluarga pagi Isnin.
Di Negeri Sembilan, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di Seremban dan Port Dickson meningkat kepada 597 individu daripada 142 keluarga dengan 11 PPS dibuka setakat 8 pagi Isnin.
Di Selangor, menurut aplikasi InfoBencana JKM negeri, setakat 8 pagi Isnin, seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.
Sementara itu di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan memaklumkan, bahawa jumlah mangsa banjir menurun kepada 288 orang daripada 68 keluarga pagi Isnin, berbanding 297 orang daripada 69 keluarga pada Ahad dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Kemaman dan Dungun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram