MUSIBAH banjir yang melanda di beberapa negeri di negara kita sememangnya memberikan kesan kepada mangsa tidak kira secara fizikal mahupun secara mental.
Susulan itu, kerajaan bersetuju sediakan peruntukan awal RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.
Menerusi peruntukan itu, setiap ketua isi rumah terjejas banjir akan menerima sumbangan RM1,000 namun penduduk Hulu Langat yang juga mangsa banjir menyifatkan bantuan itu sebagai bantuan yang tidak wajar diberikan kepada mangsa.
Seorang penjawat awam, Muhammad Azeem bin Sarip, berkata bantuan yang diberikan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir adalah sangat tidak wajar kerana banjir yang melanda telah membawa kerugian yang besar kepada mangsa termasuklah dirinya.
"Jujur sekali, sangat tidak wajar. RM1,000 untuk ketua isi rumah?.
"Jumlah kerugian yang saya alami dianggarkan RM50,000. Belum termasuk dua buah kereta yang tenggelam air banjir dan sebuah motorsikal juga," katanya kepada Majoriti.
Semasa tinjauan Majoriti, lelaki berumur 28 tahun itu memberitahu, dia dan keluarganya lagi memerlukan bantuan berbentuk wang ringgit dengan jumlah yang besar untuk digunakan dalam membeli perabot, peralatan elektrik serta bagi kerja-kerja pemulihan rumah.
Malah, dengan pelbagai kerugian dan pelbagai kerosakan yang perlu diperbaiki akibat banjir, dia juga bersetuju jika pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluluskan pemberian one-off kepada mangsa banjir.
"Saya lebih bersetuju KWSP meluluskan pemberian secara RM10,000 one-off kepada setiap pemohon. Moratorium yang ditawarkan oleh beberapa juga membantu kepada bagi mangsa banjir seperti saya dan mangsa bencana alam lainnya.
Sehingga kini, rakyat masih menunggu KWSP meluluskan pengeluaran RM10,000 one-off kepada pemohon terutamanya dengan keadaan musibah banjir yang melanda.
Pada Rabu Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membenarkan pengeluaran itu
Beliau berkata, meskipun banyak pihak dilihat tidak membenarkan lagi pengeluaran KWSP itu, namun, perkara itu amat penting bagi rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas bencana yang menimpa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram