E-sukan semakin diterima ibu bapa Malaysia


  • eSports
  • Sabtu, 29 Jan 2022

SEBANYAK RM20 juta telah disediakan di bawah Bajet 2022 untuk pembangunan sukan negara. — Gambar hiasan/Bernama

IBU bapa di negara ini nampaknya semakin menerima jika anak-anak mereka menceburkan diri dalam bidang e-sukan secara profesional, menurut satu tinjaun yang dilakukan oleh Pusat Kajian Tinjauan Pendapat UCSI baru-baru ini.

Tinjauan yang dilakukan terhadap 518 rakyat Malaysia itu menunjukkan, sebanyak 69.1 peratus ibu bapa memberi maklum balas positif dan bersetuju jika anak-anak mereka menjadi pemain e-sukan profesional.

Majoriti responden yang memberi maklum balas positif menyatakan minat sebagai faktor utama.

Namun, 30.9 peratus yang tidak bersetuju pula memberi alasan laluan kerjaya yang tidak jelas sebagai sebab mereka menolak.

Alasan lain adalah, e-sukan akan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal anak-anak mereka, serta berpendapatan rendah.

Menurut tinjauan itu juga, 42.5 peratus daripada responden bersetuju bahawa e-sukan harus menjadi salah satu sukan rasmi di Malaysia manakala 30.3 peratus tidak bersetuju. Baki responden berpandangan neutral.

Selaras dengan peningkatan populartiti e-sukan dalam kalangan belia dan prestasi luar biasa Malaysia di persada antarabangsa, peruntukan sebanyak RM20 juta telah disediakan di bawah Bajet 2022 untuk pembangunan e-sukan negara, termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Drone.

Terdapat juga cadangan untuk membenarkan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kejohanan e-sukan yang diiktiraf. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

e-sukan, profesional, kerjaya, ucsi