BAYANGAN Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz bahawa pelaksanaan cukai kepenggunaan atau lebih dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkemungkinan bakal diperkenalkan semula sudah tentu memberi respons ramai pihak.
Tengku Zafrul berkata, sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.
Beliau turut mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.
"Isunya banyak ketirisan berlaku apabila SST kembali diperkenalkan sehingga menyebabkan kerajaan susah untuk mengesan mereka yang cuba lari daripada cukai.
"Itu sebabnya kita kena pertimbangkan cukai kepenggunaan (GST) semula kerana negara lain sudah buat," katanya.
Antara pihak yang memberi respons terhadap perkara itu termasuk pengguna laman Facebook.
Meskipun menganggap GST adalah kaedah terbaik untuk pemulihan kewangan negara daripada perspektif percukaian, namun penganalisis ekonomi, Dr Mohd Fauzi Shaffie berkata, pengenalan cukai itu buat masa ini agak mendadak.
Tambahan pula, katanya, rakyat kini menghadapi tekanan kewangan, kehidupan pasca 'lockdown', Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir besar.
"Keputusan meningkatkan cukai dan mengharapkan kerajaan berjaya mengumpul dana baharu sebelum berbelanja boleh menyebabkan ekonomi menguncup.
"Ia juga akan menghasilkan pendapatan kerajaan yang kecil, berbanding dengan kerajaan terlebih dahulu mengaktifkan ekonomi negara dengan perbelanjaan bersasar," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Justeru, Fauzi mendakwa, pengenalan GST pada waktu ekonomi masih tenat ketika ini akan lebih menyusahkan rakyat disebabkan cengkaman cukai ke atas ekonomi masih belum mekar akan menguncupkan ekonomi itu sendiri.
"Belajar daripada petani yang faham peranan baja untuk suburkan pokok atau untuk keluarkan buah," katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Menteri Kewangan mahu GST diperkenalkan semula selepas ekonomi pulih kerana cukai itu lebih efisien selain boleh melawan ketirisan dan penipuan cukai, terutamanya dari ekonomi gelap.
Beliau berkata, harga barangan di bawah cukai GST dan SST adalah sama, namun SST tidak menurunkan harga barangan.
"Sistem GST yang memantau harga di setiap peringkat rantaian bekalan boleh juga memainkan peranan untuk mengesan dan mengenalpasti kenaikan harga barang melampau," katanya.
Selain itu, katanya, GST juga membendung masalah aliran keluar dana haram akibat pengimport dan pegeksport memanipulasi harga untuk mengelak cukai.
"Geng PH (Pakatan Harapan) sering mempermainkan isu ini, tetapi mereka juga yang batalkan satu-satunya cara untuk melawan kegiatan 'trade mispricing' ini.
"Itulah antara sebab hampir kesemua negara-negara jiran kita sudah melaksanakan GST," katanya.
Terdahulu, Malaysia mula melaksanakan GST pada April 2015, ketika pemerintahan Najib, yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai Asean.
Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara Asean - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram