AKAUN media sosial seorang pempengaruh (influencer) yang dikenali sebagai 'ratu penstriman langsung' China secara tiba-tiba 'hilang' pada Selasa, selepas wanita itu diarahkan membayar denda AS$200 juta (RM841 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai.
Huang Wei atau dikenali sebagai Viya di media sosial, merupakan salah seorang pempengaruh yang paling menonjol dalam sektor e-dagang di negara berkenaan.
Memiliki lebih 110 juta orang pengikut di media sosial, Viya dilaporkan menjual produk bernilai 8.5 bilion yuan (RM5.4 bilion) dalam satu hari ketika festival membeli belah sempena '11.11' baru-baru ini.
Bagaimanapun, reputasi bintang media sosial itu mula merudum apabila pihak berkuasa pada Isnin mengumumkan Viya dikenakan denda sebanyak 1.3 bilion yuan.
Jumlah denda itu merupakan yang terbesar dikeluarkan oleh kerajaan China terhadap para selebriti.
Akaun media sosial Viya dipadam daripada platform atas talian utama pada Selasa dan halaman penstriman langsungnya di laman sesawang Taobao milik Alibaba turut tidak boleh diakses.
VIYA (kiri) membuat penstriman langsung di laman sesawang Taobao baru-baru ini. — Reuters
Malahan akaun Weibo dan Douyin miliknya juga dipadam.
Pihak berkuasa wilayah Zhejing pada Selasa berkata, Viya mengelak membayar cukai berjumlah 643 juta yuan (RM424 juta) antara 2019 dan 2020 dengan menyembunyikan pendapatan peribadi dan membuat pengisytiharan pendapatan yang palsu.
Wanita itu pernah didenda sebanyak 530,000 yuan (RM349,857) pada Jun atas kesalahan melanggar undang-undang pengiklanan selepas beberapa peminat mendakwa dia menjual produk tiruan.
Sebelum akaunnya dipadam, Viya membuat permohonan maaf di Weibo kerana melanggar undang-undang percukaian dan dia bersedia menerima sepenuhnya hukuman yang dikenakan terhadapanya.
Beijing melaksanakan tindakan tegas terhadap individu yang enggan membayar cukai dan tingkah laku tidak bermoral dalam industri hiburan, antara yang disasarkan adalah pempengaruh dalam kumpulan peminat selebriti.
Penguatkuasaan itu bertepatan dengan usaha 'kemakmuran bersama' dilaksanakan oleh Presiden Xi Jinping untuk mengurangkan ketidaksamaan ekonomi, sebahagiannya dengan mengekang pendapatan berlebihan dalam sektor hiburan dan teknologi. — AFP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram