Mangsa banjir dibenar tangguh bayaran cukai


  • Primer
  • Selasa, 28 Dis 2021

LHDN bersetuju untuk memberi penangguhan bayaran cukai terhadap pembayar cukai serta majikan yang terjejas akibat bencana banjir. — FAIHAN GHANI/The Star

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersetuju untuk memberi penangguhan bayaran cukai terhadap pembayar cukai serta majikan yang terjejas akibat bencana banjir.

Pihaknya dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, susulan penangguhan itu, tarikh akhir bayaran Anggaran Cukai Kena Dibayar (CP204) bagi Disember 2021 dilanjutkan sehingga 31 Januari depan.

Sementara itu, menurut LHDN, bayaran ansuran siasatan, audit, pungutan, guaman sivil bagi Januari 2022 pula ditangguhkan sehingga Februari tahun depan.

Jelas kenyataan itu lagi, tarikh akhir bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) atau CP38 pekerja bagi bulan saraan Disember ini pula dilanjutkan untuk diremit hingga 31 Januari depan berserta bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga ke suatu tempoh yang dimohon oleh pembayar cukai.

Pembayar cukai dan majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran itu melalui e-mel dan borang maklum balas yang boleh didapati di portal rasmi LHDN dengan disertakan dokumen sokongan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian ‘Live Chat’ dan borang maklum balas di portal rasmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

LHDN, banjir, cukai, bayaran, bencana