KEJADIAN penipuan atau scammer semakin merisaukan kerana ada sahaja yang menjadi mangsa tanpa mengira latar belakang seseorang itu.
Antara yang menjadi mangsa termasuk mereka yang berpendidikan tinggi seperti guru, pensyarah dan bermacam lagi bekerjaya profesional.
Kebanyakan mangsa tertipu dengan taktik penyamaran scammer yang menggunakan jawatan penguatkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai lagi agensi kerajaan.
Taktik ini dilihat bertujuan menakut-nakutkan mangsa menyebabkan ada yang kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
Terbaharu, seorang warga emas yang juga jurujual kenderaan mendakwa kerugian RM697,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar kononnya Pengarah di Bukit Aman dikenali sebagai 'Datuk Suhaimi'.
Pemerhati isu jenayah, Emad Nurdin Morshidi berkata, faktor seseorang itu boleh menjadi mangsa scammer adalah keadaan terdesak yang menyelebungi dirinya terutama sejak penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun bermula.
Menurutnya, ekoran penularan Covid-19 itu, ramai yang kehilangan kerja dan keadaan itu memaksa mereka untuk mencari duit sehingga melibatkan diri mereka dalam skim cepat kaya yang sememangnya semakin popular dan berleluasa.
"Scammer dalam kategori skim cepat kaya selalunya akan menawarkan gaji yang tidak masuk akal seperti RM500 sehari dan secara tidak langsung menyebabkan ramai orang terpedaya atas alasan kesempitan hidup menimpa diri mereka," kata Emad kepada Majoriti.
Selain itu, Emad juga berkata seseorang itu perlu mempunyai kesedaran yang tinggi berkenaan isu-isu berkaitan dengan modus operandi para penipu itu seperti menyamar menjadi rakan yang dikenali.
"Kita perlu sentiasa peka dan sebarkan lebih banyak kesedaran awam tentang isu-isu berkaitan cara scammer itu melakukan gerak kerja. Kena sentiasa beritahu kawan-kawan dan keluarga tentang berita-berita berkaitan scam untuk ingatkan mereka supaya lebih berhati-hati di masa depan.
"Sebenarnya mudah untuk mengenalpasti jenayah scam itu kerana ada pelbagai jenis scam yang menggunakan taktik yang berbeza. Contohnya, scam tentang salah one-time password (OTP), menyamar sebagai rakan atau keluarga serta scam temu duga kerja," kata Eman yang juga merupakan usahawan aplikasi Swifty iaitu medium menjana pendapatan tambahan.
Dia juga berkata, mudah untuk mempercayai orang lain juga menyumbang kepada faktor seseorang menjadi mangsa penipuan berkaitan jual beli, upah perkhidmatan dan pembelian pakej percutian yang kini dilakukan secara meluas.
"Scammers sedar akan kesanggupan ramai mangsa yang mudah tertipu dalam urusan jual beli barang dengan harga yang jauh lebih murah atau tidak masuk akal. Biasanya modus operandi scammer ni akan letak testimoni palsu di media sosial mereka.
"Sebenarnya testimoni-tesmoni seperti maklum balas pelanggan berbentuk gambar dan video boleh dicuri daripada akaun media sosial yang lain begitu sahaja dan diubah suai. Jadi pengguna dinasihatkan untuk membuat kajian yang mencukupi sebelum membeli sesuatu barang atau perkhidmatan," katanya.
Dalam pada itu, Eman turut memberitahu dalam kes scammer yang menyamar menjadi pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebenarnya mereka bijak dalam bermain emosi dan mangsa sering kali tertipu kerana perasaan takut.
"Scammer pandai memanipulasi dengan suara bernada marah-marah, mmeberi tekanan dan juga beri ketakutan kepada mangsa dengan memberitahu akaun bank sudah dibekukan, masuk penjara dan sebagainya. Golongan berumur akan jadi sasaran scammer pihak berkuasa kerana orang muda tidak ramai yang membayar cukai.
"Jadi scammers memang kreatif sebab mereka bijak memilih sasaran. Kalau tua, penipuan jenis pihak berkuasa dan OTP. Kalau muda, menipu dengan gaji tidak realistik dan jual produk yag sangat murah," katanya.
Terdahulu, media melaporkan perkembangan teknologi canggih termasuk media sosial dilihat mendorong kepada trend peningkatan kes penipuan dalam talian sebanyak 60 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, jumlah itu hanya membabitkan penipuan pembelian dalam talian dan tidak termasuk lagi jenayah lain seperti 'Parcel Scam', 'Love Scam' serta 'Macau Scam'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram