Segerakan cukai vape, kadar maksima nikotin


  • Massa
  • Khamis, 30 Dis 2021

INDUSTRI vape sentiasa menyokong ketetapan baharu kerajaan berkenaan isu vape. — The Star

KERAJAAN digesa untuk segera memberi kata putus berhubung pelaksanaan cukai untuk cecair vape bernikotin dan kada maksima nikotin dalam cecair yang berkuatkuasa pada 1 Januari depan.

Gesaan itu dibuat supaya semua pihak dapat melakukan persiapan awal kerana sebarang tetapan baharu akan melibatkan harga dan kos operasi kepada pengeluar dan pengusaha.

Presiden Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang kata putus berkenaan kadar cukai dan kadar maksima nikotin untuk cecair vape.

"Pengeluar dan pengilang masih belum dapat kepastian berkenaan kadar cukai yang bakal dilaksanakan dan kadar maksima nikotin dalam cecair vape yang ditetapkan untuk penjualan sedangkan tinggal beberapa hari lagi untuk memasuki tahun baharu.

"Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan perkara ini kerana kesannya akan dirasai pengeluar dan pengilang daripada segi pengurusan operasi dalam industri vape sekiranya maklumat tidak diperoleh sebelum pelaksanaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2022 pada Oktober lepas, cukai vape dinaikkan sebanyak 200% ke kadar RM1.20 bagi setiap mililiter cecair termasuk cecair vape yang mengandungi nikotin.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga masih belum menetapkan kata putus berkaitan kadar maksima nikotin dalam cecair vape untuk industri bersiap-sedia sebelum 1 Januari depan.

Menurut Rizani, pengumuman cukai akan mengakibatkan kenaikan harga cecair vape sekaligus pengeluar dan pengusaha perlu membuat persiapan awal untuk mengelak gangguan operasi berlaku.

Berkenaan kadar maksima nikotin, Rizani berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan dapat mengikut contoh yang dilakukan di negara lain.

"Amerika Syarikat dan Filipina menetapkan 65 miligram (mg) nikotin bagi setiap mililiter manakala New Zealand pula 50mg bagi setiap mililiter dan kebanyakan negara Eropah pula pada kadar 20mg.

"Kita memang menyokong segala usaha dan tindakan kerajaan dalam menjadikan industri vape dikawal dengan peraturan.

"Kita juga akan patuh pada setiap garis panduan yang ditetapkan cuma harapan kami ialah maklum balas dan penetapan itu dapat diumumkan segera," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, vape, cukai, tular, nikotin, pengilang, pengeluar