Pengeluaran KWSP 'one off' boleh bantu ringankan beban mangsa banjir — Pakar


  • Massa
  • Ahad, 19 Dis 2021

JUMLAH pengeluaran KWSP sekali gus antara RM3,000 hingga RM5,000 sudah memadai buat membantu meringankan beban mangsa banjir. — The Star

PENGELUARAN secara sekali gus (one off) caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan salah satu langkah yang dilihat dapat membantu mengurangkan beban mangsa banjir.

Pensyarah kanan Fakulti Perniagaan & Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Zarinah Yusof berkata, dalam situasi yang tidak dijangka seperti banjir, mereka yang terjejas amat memerlukan wang untuk menampung kerugian yang dialami.

Katanya lagi, bencana seperti banjir membawa kepada kemusnahan harta benda seperti rumah, perabot, perkakasan dan juga kenderaan yang mana ada di antaranya tidak boleh digunakan lagi.

"Pengeluaran wang KWSP dapat membantu meringankan beban kewangan dalam tempoh kesusahan yang tak dijangka.

"Tindakan balas pantas kerajaan menerusi pengeluaran wang yang mudah dan segera akan memudahkan mangsa-mangsa banjir untuk merancang perbelanjaan dan pengunaan bagi menjalani kehidupan seharian dengan lebih lancar dan memberikan banyak bantuan," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, pengeluaran tersebut juga dapat mengelakkan masalah depresi dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam keadaan ramai pihak yang mengalami kesukaran dan kesusahan ekoran pandemik.

Beliau turut memberitahu, untuk pengeluaran bagi mangsa banjir, jumlah pengeluaran sekali gus antara RM3,000 hingga RM5,000 sudah memadai buat membantu meringankan beban mereka.

Zarinah juga berkongsi wang yang dikeluarkan pencarum juga akan membantu pengusaha barangan keperluan rumah untuk memperoleh jualan (sales).

"Ia juga dapat menjana kembali pendapatan negara apabila peniaga-peniaga ini akan mengembalikan wang tersebut kembali kepada kerajaan dalam bentuk cukai," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pada ketika ini (musibah banjir) ramai pihak yang juga hadir memberi bantuan kepada mereka yang terjejas.

Katanya, bantuan-bantuan ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan dan orang ramai dalam menjaga kebajikan masyarakat lain yang dilanda musibah dan memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram