Apabila ALLAH berkehendak, tiada siapa mampu menidakkan rezeki kita


  • Cinta
  • Sabtu, 27 Dis 2025

Walau satu dunia menidakkan rezeki kita, apabila ALLAH berkehendak, ia pasti menjadi milik kita. — Gambar hiasan/Agensi

DALAM perjalanan hidup di dunia ini, ramai manusia diuji dengan kesempitan rezeki, peluang yang tertutup, usaha yang seolah-olah sia-sia dan harapan yang diakhiri rasa hampa serta kecewa.

Ada kalanya, kita merasakan seluruh dunia seakan berpakat menafikan hak kita seperti dibuang kerja, ditipu dalam perniagaan dan dipandang remeh terhadap usaha yang dilakukan.

Namun hakikat iman mengajar satu kebenaran besar iaitu walau satu dunia menidakkan rezeki kita, apabila ALLAH berkehendak, ia pasti menjadi milik kita.

BACA LAGI: Nasihat buat pemerintah: Apa yang sering kita terlepas pandang

BACA LAGI: Komuniti Sibu jadikan Pickleball pupuk semangat persahabatan, hayati nilai-nilai murni

Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sofa, Dr. Amirul Isma Mohd Yusof berkata, jaminan rezeki daripada ALLAH SWT telah berulang kali dinyatakan di dalam al-Quran.

Ia sebagaimana firman-Nya dalam surah Adz-Zariyat, ayat 22 yang bermaksud: 

“Dan di langit itulah terdapat rezekimu dan apa yang dijanjikan kepadamu.” 

Menurut Dr. Amirul, ayat itu bukan sekadar penghibur tetapi penegasan bahawa rezeki manusia telah ditentukan oleh ALLAH Yang Maha Pemberi Rezeki.

"Perlu kita ingat, setiap rezeki yang kita perolehi bukan ditentukan oleh manusia, bukan oleh majikan, pelanggan, sistem atau pun keadaan, tetapi hakikatnya ia telah dijamin oleh ALLAH SWT.

"Oleh itu, jangan sesekali bimbang terhadap rezeki. Yakinlah bahawa selagi ajal belum tiba, rezeki kita sentiasa ada," jelasnya kepada Majoriti.

Tambah beliau, dalam satu hadis yang sahih, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari … kemudian ditentukan rezekinya, ajalnya, amalannya dan sama ada dia bahagia atau celaka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sofa, Dr. Amirul Isma Mohd Yusof

 

Tegas Dr, Amirul, hadis itu menjelaskan tentang hakikat rezeki yang telah ditetapkan oleh ALLAH sejak awal kejadian manusia. 

"Bagaimanapun, penetapan ini bukan alasan untuk kita bermalas-malasan, sebaliknya ia adalah asas untuk kita bertenang dalam berusaha mencari rezeki yang halal," katanya.

Beliau turut membawakan hadis Nabi SAW yang bermaksud: 

“Sekiranya kamu bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki; ia keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Tirmizi)

Menurutnya, perumpamaan burung itu dijadikan asas kerana ia keluar dari sarang, bergerak, terbang dan mencari rezeki.

"Tawakal bukan bermakna pasrah kosong tetapi usaha yang disertai keyakinan dan pergantungan penuh kepada ALLAH SWT," ungkapnya.

Sementara itu, Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, umat Islam yang mungkin teruji dengan perihal rezeki perlu sentiasa berdamai dengan takdir.

"Mereka yang berdepan ujian seperti diberhentikan kerja dan sebagainya dinasihatkan supaya menerima dengan hati terbuka bahawa ALLAH Maha Bijaksana dalam memberi dan menahan rezeki hamba-NYA.

"Ingatlah firman ALLAH dalam surah Ar-Ra'd ayat 26 di mana DIA berkuasa melapangkang rezeki dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang DIA kehendaki.

"Kadangkala, sempitnya rezeki kita bukan tanda ALLAH murka tetapi satu bentuk perlindungan yang kita sendiri tidak jangka," jelas Ustazah Rohamiah yang juga penulis buku siri Berdamai Dengan Takdir.

Ujarnya, perkara itu berlaku kerana ALLAH lebih tahu jika diluaskan rezeki kita ketika hati belum bersedia, ia mungkin boleh membawa kita jauh daripada rahmat ALLAH.

"Justeru, ada rezeki yang ditahan sementara agar jiwa kita terus diperkukuh dengan sifat sabar dan tawaduk kepada PENCIPTA," terangnya.

Beliau turut membawakan kata-kata hikmah sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Umar al-Khattab RA: "Hatiku sentiasa tenang kerana mengetahui apa yang melepasiku tidak akan pernah menjadi takdirku. Dan apa yang pernah menjadi takdirku tidak pernah melepasiku."

Menurut Ustazah Rohamiah, inilah kefahaman takdir yang melahirkan ketenangan jiwa iaitu kita bekerja, merancang, berusaha tetapi hasilnya kita serahkan sepenuhnya kepada ALLAH.

Beliau turut mengingatkan tentang sirah yang mengajar kita tentang hakikat rezeki.

"Lihatlah kisah hijrah Rasulullah SAW. Ketika seluruh kaum Quraisy sepakat untuk membunuh Baginda di mana jalan keluar ditutup dan ancaman datang dari setiap penjuru.

"Namun, ALLAH SWT tetap memberi perlindungan dan rezeki berupa keselamatan Baginda.

"Begitu juga ketika di dalam Gua Thur,  sewaktu Saidina Abu Bakar RA bimbang musuh berada terlalu hampir, Nabi SAW menenangkan beliau dengan kata-kata agung: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah at-Taubah, ayat 40)

"Jika ALLAH mampu melindungi nyawa Nabi SAW ketika seluruh Mekah menafikannya, apakah mustahil ALLAH memberi rezeki kita ketika manusia menolaknya?

"Apa yang penting, kita terus meyakini akan kebesaran dan kebijaksanaan ALLAH dalam mengurus qada' dan qadar setiap makhluk-NYA," kata Ustazah Rohamiah lagi.

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda.

 

Justeru, buat sahabat seIslam di luar sana. Belajarlah untuk percaya bahawa rezeki kita tidak pernah hilang, cuma belum sampai waktunya untuk datang.

Yakinlah, apa yang ALLAH tetapkan untuk kita, tidak akan mampu dirampas oleh sesiapa dan apa yang bukan milik kita, tidak akan kekal walau kita kejar sekuat mana.

Maka, tenanglah dalam berusaha. Redhalah dalam menunggu kerana apabila ALLAH berkehendak, satu dunia pun tidak mampu menghalang rezeki yang telah ditulis untuk kita.

 

Kunci Menghadapi Rezeki Yang Tertahan

Antara adab dan sikap penting dalam menghadapi takdir rezeki ialah:

- Perbaiki hubungan dengan ALLAH SWT

Rezeki bukan sekadar wang tetapi ketenangan, kesihatan dan keberkatan.

- Jaga halal dan amanah 

Rezeki yang bersih walaupun sedikit lebih menenangkan daripada yang banyak tetapi bercampur dosa.

- Perbanyakkan doa dan istighfar 

Nabi Nuh AS sendiri menyeru umatnya memperbanyakkan istighfar agar dibukakan pintu rezeki (Surah Nuh, ayat 10–12).

- Jangan iri dengan rezeki orang lain

Percayalah setiap jiwa ada kadar rezeki dan masa yang berbeza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram