SETIAP kali berlaku perubahan dalam kepimpinan atau pentadbiran, perkara pertama yang kita bincangkan biasanya ialah nama dan jawatan.
Siapa masuk, siapa keluar, siapa naik, siapa tersisih. Itu reaksi yang manusiawi.
Tetapi Imam al-Ghazali, berabad-abad dahulu, mengingatkan bahawa persoalan sebenar bukan sekadar perubahan orang, tetapi perubahan arah.
BACA LAGI: Lambang kekuatan wanita, sekumpulan remaja tunggang kuda sambil tabik hormat Presiden UAE
BACA LAGI: Bakat seni dipinggirkan, remaja miliki 700 trofi lukisan gagal diterima bersekolah
Bukan juga tentang struktur, tetapi tentang asas.
Dalam Nasihat al-Muluk, beliau menulis bahawa kuasa bukan tanda kemuliaan, sebaliknya ujian yang paling berat.
Jawatan mungkin bersifat sementara, tetapi amanah sentiasa kekal dan akan dipersoalkan.
Bagi al-Ghazali, asas sesebuah pemerintahan bukan semata-mata kecekapan sistem, kestabilan ekonomi atau sokongan rakyat.
Semua itu penting, tetapi ia bukan akar. Akar yang sebenar ialah iman, iaitu pegangan hidup yang membentuk cara seseorang berfikir dan bertindak.
Iman, dalam erti ini, bukan perkara peribadi yang terhenti di hati, ruang solat dan penampilan.
Ia zahir dalam keputusan yang dibuat, dalam cara kuasa digunakan, dan dalam keberanian untuk berlaku adil walaupun tidak selesa.
Di sinilah iman diuji, bukan pada lafaz, tetapi pada pilihan. Pemilihan inilah yang akhirnya membentuk arah dan wajah pemerintahan.
Apabila iman terpisah daripada urusan awam, pemerintahan mudah kehilangan kompas.

Setiap orang yang memegang amanah, sama ada besar atau kecil pasti akan dipersoalkan. — Gambar janaan AI
Keputusan dibuat atas dasar kepentingan jangka pendek, tekanan sekeliling atau ketakutan kehilangan sokongan.
Dalam keadaan ini, kezaliman jarang muncul secara kasar.
Ia hadir secara halus, iaitu melalui penangguhan, kecenderungan mengekalkan cara lama, disertai alasan-alasan yang kelihatan munasabah tetapi sebenarnya boleh diperbaiki.
Al-Ghazali mengingatkan bahawa keadilan tidak hanya diuji apabila pemerintah berhadapan dengan musuh, tetapi apabila berhadapan dengan orang sendiri iaitu rakan sekerja, orang bawahan, dan mereka yang diberi kepercayaan.
Menutup mata demi menjaga keharmonian, imej, atau status quo, menurut beliau, juga satu bentuk kegagalan amanah.
Dalam banyak kisah yang dibawakan, al-Ghazali menunjukkan bahawa pemerintah yang adil bukanlah yang jauh dari rakyat, tetapi yang mudah didekati.
Birokrasi yang berlapis, katanya, bukan sahaja membiarkan rakyat terus susah dan terhimpit tetapi membuka ruang kepada penindasan yang tidak disedari.
Satu lagi perkara yang sangat ditekankan ialah peranan akal. Seseorang boleh berilmu, tetapi tidak semestinya berakal.

Masyarakat yang sihat lahir daripada keluarga yang berpegang pada iman yang benar. — Gambar janaan AI
Akal yang sihat ialah akal yang mampu mengurus emosi, menilai fakta dan dapat membezakannya daripada fitnah dan cerita; serta tidak tunduk kepada kepentingan, pujian, mahupun tekanan.
Akal yang sihat juga sentiasa berfikir bagaimana sesuatu boleh diperbaiki demi manfaat rakyat, bukan sekadar menerima keadaan sedia ada dengan alasan ‘sudah memang begitu’. Tanpa akal yang berfungsi selaras dengan iman, keadilan menjadi sukar, walaupun niat asalnya baik.
Menariknya, al-Ghazali tidak memisahkan urusan pemerintahan daripada kehidupan keluarga.
Beliau percaya bahawa masyarakat yang sihat lahir daripada keluarga yang berpegang pada iman yang benar.
Dan keluarga yang berpegang pada iman, banyak bergantung kepada peranan ibu bapa, khususnya wanita.
Wanita yang takut kepada Allah walau tiada siapa melihat menjadi bukti bahawa kekuatan sesebuah negara sering bermula dari nilai yang dianggap kecil dan peribadi.
Akhirnya, nasihat buat pemerintah ini sebenarnya turut terpakai kepada kita semua. Setiap orang yang memegang amanah, sama ada besar atau kecil pasti akan dipersoalkan.
Kepimpinan bukan hanya milik mereka yang berada di puncak, tetapi sesiapa sahaja yang mempengaruhi orang lain melalui keputusan dan tindakan mereka.
Perubahan struktur mungkin perlu, tetapi tanpa perubahan asas dan arah yang berpaksikan iman dan pertanggungjawaban di hadapan Tuhan, masalah yang sama akan berulang dengan wajah berbeza.
Mungkin inilah peringatan al-Ghazali yang paling relevan: keadilan tidak lahir daripada sistem semata-mata, tetapi daripada manusia yang sedar bahawa setiap amanah ada yang Melihat dan Menghisabnya. — Majoriti
Azreen Hayi merupakan penyelidik di Ikatan Inteligensia Membangun Malaysia (I2MAM) dan merujuk kepada buku Nasihat Buat Pemerintah, Imam al-Ghazali. Biblio Press 2023.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
