Dr Syeikh Muszaphar syukur anak ke-2 ditawarkan ke SBP, berjaya bahagi masa akademik dan sukan


  • Bonda
  • Jumaat, 26 Dis 2025

Dr Sheikh Muszaphar Shukor menitip rasa syukur ekoran kejayaan anak keduanya, Tasya yang diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.

KEPUTUSAN kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kini mula disemak oleh pelajar dan ibu bapa di seluruh negara.

Ada yang menarik nafas lega, tidak kurang juga yang menitiskan air mata kegembiraan apabila usaha dan pengorbanan anak akhirnya membuahkan hasil.

Dalam suasana penuh debaran itu, angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut berkongsi rasa syukur dan bangga apabila anak keduanya berjaya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke SBP hasil kerja keras mengimbangi kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam bidang sukan.

BACA LAGI: 'Saya pastikan Qaseh bangga dengan babanya', isteri tak segan suami kerja sebagai pemungut sampah, penting rezeki halal

BACA LAGI: Bekas kadet juruterbang kongsi cara nak jadi 'pilot', subjek Bahasa Inggeris, Matematik SPM wajib dapat A

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi kejayaan anak perempuannya, Tasha yang disifatkan sebagai hasil kerja keras dan disiplin tinggi sejak sekian lama.

Jelasnya, keputusan tersebut bukan datang dengan mudah, sebaliknya melalui latihan berterusan, pengorbanan masa dan komitmen tinggi terhadap pelajaran.

Selain bijak memanfaatkan masa terluang mengulang kaji pelajaran, Tasha konsisten menjalani latihan renang dan olahraga di celah-celah jadual latihan.

Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila impian anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) akhirnya tercapai.

Beliau menzahirkan kesyukuran atas pencapaian anaknya dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa keseimbangan antara akademik dan sukan mampu dicapai dengan perancangan yang betul.

"You worked hard, you trained hard for swimming and athletics you studied in betweens whenever you could.

"Alhamdulillah your hardwork paid off, you got what you wished for.

"Daddy is truly proud, mommy too, syukur sangat," ujarnya.

 

 

Dalam perkongsian sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke MRSM dan SBP, sambil menitipkan kata semangat kepada mereka yang masih berusaha.

Untuk rekod, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor merupakan angkasawan pertama negara yang menyertai misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007.

Selain bergelar doktor perubatan dan motivator, beliau juga dikenali sebagai bapa yang aktif berkongsi perjalanan keibubapaan, pendidikan anak-anak serta gaya hidup sihat bersama keluarga di media sosial.

Kejayaan anaknya mencuri perhatian warganet, dengan ramai yang memuji pendekatan beliau dalam mendidik anak-anak agar seimbang dari segi akademik dan kesihatan fizikal.

Ia sekali gus menjadi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk menggunakan pendekatan serupa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram