Mengumpat, lawak seksual dalam 'group' chat dosa kecil dipandang ringan, tiada istilah 'just for fun — Ustaz Lah


  • Bonda
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Generasi muda disaran agar sentiasa menjaga adab dan etika waima ketika berinteraksi melalui chatting di telefon pintar — Gambar hiasan

DI tengah gelombang dunia moden bergerak tanpa henti, muncul satu fenomena senyap, tetapi berbahaya dalam kalangan generasi muda iaitu dosa kecil yang dinormalisasikan.

Perkara yang suatu ketika dahulu dipandang sebagai salah dan memudaratkan, kini dianggap sekadar gurauan ringan, hiburan santai atau benda biasa di ruang digital.

Di group chat, media sosial yang menjadi ruang harian anak muda, batas dosa kelihatan semakin kabur dan hilang nilainya.

BACA LAGI: Ditegur warga emas solat jamak qasar amalan pemalas, pemuda pertahan 'hadiah' ALLAH

BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan

Menurut Ustaz Dr Abdullah, ghibah bermaksud membicarakan tentang seseorang dengan menyebut perkara yang benar tetapi jika dia mendengarnya, tidak akan suka dan mungkin tersinggung.

Pendakwah bebas, Ustaz Dr Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah berkata, ghibah ‘santai’ atau mengumpat di dalam group chat merupakan antara dosa kecil dipandang ringan kebanyakan umat Islam hari ini.

“Perbualan dalam group chat sedemikian sama ada dalam kalangan ahli kelas, kakitangan pejabat, game, komuniti atau keluarga sering menjadi tempat suburnya ghibah.

“Tindakan mengumpat dilakukan dengan nada gurauan seperti mengata cara bercakap seseorang, memperlekeh pakaian, menuduh seseorang ‘gedik’, slow, attention seeker atau berkongsi screenshot orang lain tanpa izin, semua itu termasuk dalam kategori ghibah.

“Apa yang lebih membimbangkan, dosa kecil yang dilakukan berulang kali tanpa rasa bersalah dan tanpa taubat, mampu membarah menjadi dosa besar yang secara perlahan-lahan menggelapkan hati dan merosakkan jiwa tanpa disedari,” kata Ustaz Lah kepada Majoriti.

Menurut beliau ghibah bermaksud membicarakan tentang seseorang dengan menyebut perkara yang benar tetapi jika dia mendengarnya, dia tidak akan suka dan mungkin tersinggung.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Ghibah itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang dia tidak suka.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang aku katakan itu benar tentangnya?”

Baginda SAW menjawab: “Jika benar apa yang kamu katakan, maka itu adalah ghibah. Jika tidak benar, kamu telah membuat fitnah.”

“Dalam hadis ini, Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa apa saja yang disebutkan tanpa keredaan dan menjejaskan maruah seseorang termasuk ghibah walaupun yang dikatakan itu benar.

“Lebih menakutkan, dengan adanya media sosial di pelbagai platform, ia menjadikan ghibah lebih cepat tersebar dan lebih ramai menjadi saksi terhadap perbuatan dosa tersebut,” tegas Ustaz Lah.

Malah, beliau turut membawakan amaran ALLAH SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati?”

“Hakikatnya, ghibah bukan dosa yang ringan. Ia mampu ‘memakan’ pahala dan merosakkan ukhuwah.

"Namun dalam realiti hari ini, ia dilakukan seperti hiburan termasuklah meme, gurauan, sindiran halus tanpa sebarang rasa bersalah,” jelas Ustaz Lah.

Lawak seksual

Selain ghibah, Ustaz Lah memberitahu, fenomena ‘benda lucah ringan’ atau soft porn kini amat merisaukan apabila ia muncul dalam bentuk video pendek, gambar berunsur seksual, lawak lucah, penampilan yang menggoda serta content yang menormalisasikan seks bebas.

“Walaupun tidak menzahirkan aksi eksplisit, ia sebenarnya cukup untuk merangsang syahwat dan membuka pintu zina.

“Ramai remaja dan golongan muda serta orang dewasa sekali pun beranggapan ia tidak mengapa kerana sekadar suka-suka. ‘Just for fun’, ‘tak tunjuk apa pun’ atau ‘semua orang pun share’.

“Bagaimanapun, mereka mungkin terlupa Islam mengajar bahawa menjaga pandangan adalah benteng pertama dalam menjaga kehormatan diri setiap pengikutnya,” ujarnya lagi.

Firman ALLAH SWT dalam surah An-Nur, ayat 30 dan 31 yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka… Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan mereka…”

“Ayat ini menunjukkan bahawa menjaga pandangan bukan sekadar mengelak daripada melihat aksi zina tetapi apa sahaja yang membawa kepada rangsangan syahwat.

“Dalam dunia digital tanpa sempadan, dosa ini menjadi lebih mudah kerana ia dinormalisasikan melalui trend hiburan yang menjadi kegemaran ramai.

“Malah, kajian sosial kini menunjukkan peningkatan ketagihan pornografi ringan dalam kalangan remaja yang akhirnya membawa kepada ketagihan yang lebih berat.

"Ia bukan sekadar isu moral tetapi isu kesihatan mental dan spiritual yang perlu ditangani semua pihak,” tegas Ustaz Lah.

Solusi ideal untuk mengelakkan kita melakukan dosa-dosa ringan carilah lingkungan sahabat yang baik mampu mempengaruhi jiwa ke arah lebih baik. Gambar hiasan/Canva

Mengulas lanjut beliau berkata, antara dosa kecil yang dipandang ringan termasuklah bahasa makian yang semakin ‘subur’ di bibir anak-anak muda.

“Perkataan kasar yang diguna pakai dalam game, TikTok, streamers dan content creator menjadikan budaya ini lebih diterima. Tidak kurang, ada remaja yang menggunakan makian untuk menunjukkan keakraban, sisi humor, ‘mengenakan kawan’ atau sekadar melepaskan stress.

“Mereka lupa bahawa Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa bukanlah seorang Mukmin itu orang yang suka mencaci, suka melaknat, suka berkata keji dan kata-kata kotor.

“Ini kerana kata-kata makian boleh mencemarkan hati, membunuh adab dan menjauhkan seseorang daripada akhlak Rasulullah SAW. Bahasa mencerminkan jiwa. Bila makian menjadi biasa di bibir, hati akan menjadi kasar dan hilang rasa malu,” kata beliau.

Content tidak bermaruah

Tidak terkecuali, realiti paling menakutkan dalam generasi masa kini apabila maksiat tidak lagi dilakukan kerana sengaja melanggar perintah ALLAH, tetapi kerana dianggap sebagai content, mengejar trending dan keseronokan.

“Budaya reaksi, duetting, lip-sync, challenge dan parodi hakikatnya mendorong ramai anak muda membuat dan menyebarkan content yang tidak bermaruah yang tanpa sedar ia sebenarnya maksiat yang dibenci ALLAH.

“Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tanda akhir zaman apabila manusia itu menganggap halal apa yang telah diharamkan,” tegas Ustaz Lah.

Justeru, dalam menangani masalah ini, penyelesaian utama ialah membangunkan kembali sensitiviti atau kepekaan terhadap dosa.

“Hati yang sering dibersihkan dengan zikir, taubat dan ilmu akan mudah merasa resah apabila melakukan maksiat walaupun kecil.

“Ingat bahawa dosa kecil bukan lagi kecil apabila dilakukan berulang-ulang tanpa perasaan bersalah.

“Dalam suasana hiburan tanpa batas hari ini, generasi muda perlu lebih berhati-hati agar hati tidak menjadi gelap. Islam bukan mengekang jiwa tetapi memelihara maruah, kebersihan hati dan kualiti hidup.

“Semoga ALLAH SWT menjadikan kita generasi Mukmin yang sensitif terhadap dosa, lembut hati, dan tegas menjaga maruah diri walaupun dunia berubah pantas,” tutur Ustaz Lah mengakhiri bicara.

Langkah praktikal bagi elak dosa kecil:

1. Jaga group chat – Hentikan ghibah dengan menukar topik atau keluar secara sopan.

2. Kurangkan pendedahan kandungan lucah ringan – Mute, unfollow atau block sumbernya.

3. Latih diri bercakap baik-baik – Jadikan ucapan yang baik sebagai sedekah.

4. Berkawan dengan mereka jaga akhlak – Lingkungan sahabat yang baik mampu mempengaruhi jiwa ke arah yang lebih baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram