‘Ajar memaafkan, bantu bila perlu’, anak dibuli, wanita bertindak hubungi ibu bapa 'pembuli'


  • Bonda
  • Khamis, 20 Nov 2025

Tindakan pantas ibu menghubungi pihak sekolah dan penjaga kepada pembuli anaknya. — Gambar hiasan/AI

SUSULAN tular kejadian kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang didakwa dibuli rakan di sekolah, ibunya tampil berkongsi perkembangan terkini.

Menurut wanita itu menerusi hantaran di akaun Threads @ain_roskiman baru-baru ini, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Wanita tersebut bagaimanapun tidak menafikan bahawa kejadian itu secara tidak langsung menjejaskan kesihatan mental anaknya.

BACA LAGI: Anak baru 7 tahun meraung, mengadu dibuli kawan sampai trauma nak ke sekolah

BACA LAGI: ‘Isteri, berhiaslah untuk suami!’, melaram sakan jika di luar, tetapi di rumah baju pun tak bertukar

Keadaan terkini anak lelakinya yang masih trauma sebelum ke sekolah. — Threads/Ain Roskiman

"Selepas balik dan mengadu, saya terus cari nombor telefon untuk hubungi ibu bapa budak tersebut.

"Seorang daripadanya tak mahu jumpa dan cakap nak selesaikan di sekolah dengan cikgu.

"Seorang lagi nak jumpa tetapi tiba-tiba tak jadi dan mahu bertemu di sekolah sahaja.

"Akhirnya kami semua tak bersemuka, tetapi hanya bercakap melalui panggilan telefon," kongsinya.

Perkara itu juga dikatakan akan diselesaikan antara pihak sekolah dan ibu bapa murid terlibat tanpa berjumpa dengannya bagi mengelakkan sebarang salah faham atau isu lain.

Menurutnya lagi, anak beliau juga masih berada dalam keadaan trauma dan kemurungan, namun tiada lagi kesedihan sejurus pulang dari sekolah.

Meskipun insiden itu memberi kesan mendalam, si ibu tetap mendidik anaknya untuk belajar memaafkan.

"Dia balik sekolah muka tak sedih sangat cuma kata tak nak berkawan dengan budak itu lagi.

"Ya saya ajar untuk memaafkan dan jangan berkawan lagi, tetapi jika budak itu minta tolong, anak saya perlu bantu.

"Saya juga minta dia putuskan terus hubungan berkawan dengan kawannya untuk menjaga emosi," jelasnya.

 

 

 

 

Dalam perkongsian sama, wanita berkenaan turut meluahkan kesedihan dan kekecewaannya apabila terdapat segelintir warga maya yang mempertikaikan tindakannya berkongsi luahan anaknya di media sosial.

"Dia masih kecil, perlukan kasih sayang dan didikan. Tolong jangan samakan atau biasakan yang dia hanya berlakon.

"Ajal maut di tangan ALLAH, saya tahu, tetapi saya minta dijauhkan anak-anak saya daripada menjadi mangsa buli.

"Emosi anak saya sangat tidak baik. Dahulu dia yang paling ceria, setiap pagi bangun selalu pesan 'mommy senyum sikit," luahnya.

Wanita itu bagaimanapun menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan sokongan orang ramai yang banyak memberi kekuatan kepadanya untuk mengendalikan situasi getir itu.

Sebelum ini, video kanak-kanak tersebut yang terlihat terlalu tertekan sehingga melontarkan keinginan menamatkan riwayatnya sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Luahan tersebut turut disampaikan dalam keadaan menangis teresak-esak selepas pulang dari sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram