Bantu bina 'skill', wujud jawatankuasa kampung, yayasan berpusat di Switzerland bantu pekebun kecil urus ladang sawit


  • Massa
  • Khamis, 20 Nov 2025

Khalis (gambar kecil) antara individu penting bagi memastikan setiap usaha dilakukan Earthworm Foundation dapat membantu pekebun kecil di Malaysia. — Earthworm Foundation

MENGEKALKAN kelestarian kawasan pertanian seperti ladang atau kebun sawit pastinya menjadi antara cabaran terbesar buat para pengusahanya.

Justeru, kegiatan pembangunan dalam bidang tersebut perlu dilakukan seiring dengan memulihara habitat hidupan liar.

Situasi itu sekali gus mendorong pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan seperti Earthworm Foundation (EF) tampil bekerjasama bagi mencari pendekatan yang lebih berkesan dan lestari.

BACA LAGI: Rakam video, provokasi guna kayu antara tindakan berbahaya, sepatutnya serah pada pasukan profesional — PERHILITAN Johor

BACA LAGI: Jelajah Sawit Hijau Siri 3 meriah, aspek kebajikan, kesejahteraan hidupan liar terus diperhebat

Usaha mewujudkan suasana harmoni antara pekebun atau peladang sawit dan hidupan liar. — Earthworm Foundation

Pertubuhan yang berpusat di Switzerland itu juga mengambil langkah untuk terus memperkasa usaha tersebut khususnya dalam industri sawit Malaysia.

Pengurus Program Hutan dan Alam Sekitar Earthworm Foundation, Khalis Afnan Abdul Rahman berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan pengurusan konflik hidupan liar terutama melibatkan gajah dan pekebun kecil.

Menurutnya, organisasi itu juga bekerjasama rapat dengan pemain industri di seluruh rantaian bekalan sawit.

"Kerjasama ini bermula daripada pengeluar di perkampungan kecil, estet sehingga ke kilang yang menghasilkan produk serta penapisan.

"Di Malaysia, kami ada dua landskap iaitu di Johor dan Pahang. Jadi, apa yang kami lakukan adalah berkolaboratif bersama penduduk kampung yang berdepan dengan pelbagai masalah melibatkan kelestarian kelapa sawit.

"Contohnya, pekebun yang tidak tahu bagaimana nak menguruskan ladang dengan baik atau tiada rangkaian luas dengan pemain industri besar lain.

"Antara kawasan yang menjadi fokus utama kami di Johor adalah Kota Tinggi dan Mersing kerana banyak berlaku konflik manusia dan gajah atau interaksi negatif," katanya ketika ditemui Majoriti di Jelajah Sawit MPOGCF di Paradigm Mall, Johor, baru-baru ini.

Komuniti pekebun kecil diberi bantuan daripada aspek kemahiran untuk menguruskan ladang dengan lestari. — Earthworm Foundation

Katanya, gajah antara hidupan liar dengan kawasan migrasi yang luas dan berpotensi memasuki kebun kecil serta ladang besar.

Justeru, pihaknya mengambil langkah mewujudkan jawatankuasa khas dalam kalangan komuniti untuk menguruskan pergerakan gajah secara menyeluruh.

Bagi meningkatkan keupayaan tersebut, Khalis menjelaskan bahawa pihaknya turut melaksanakan beberapa inisiatif lebih mampan.

"Kami bantu bina kemahiran mereka dengan menyediakan bengkel dan latihan untuk menggunakan teknologi seperti kendalian dron, pagar elektrik dan sistem amaran awal.

"Kemudian, kami cuba hubungkan perkampungan kecil dengan peladang lain untuk mereka bekerjasama menguruskan gajah di kawasan itu.

"Setakat ini kita dah wujudkan jawatankuasa di kawasan Sungai Ara, Kota Tinggi dan ada juga melibatkan beberapa agensi lain seperti  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Johor Plantations Group Berhad (JPG)," jelasnya.

Tambahnya, inisatif jangka panjang yang dirancang oleh pihaknya adalah untuk mewujudkan koridor gajah di kawasan-kawasan berhampiran habitat hidupan liar.

Khalis (tengah) menjelaskan tentang peranan organisasi tersebut untuk industri sawit kepada masyarakat.

Langkah itu bagi memastikan pergerakan haiwan tersebut terasing lebih selamat tanpa menjejaskan penduduk atau operasi ladang.

"Tahun ini (2025) kita sudah memulakan kajian kebolehlaksanaan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina koridor.

"Kita juga mengadakan bengkel bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan libat urus awal.

"Tahun depan (2026) pula kita akan luaskan kawasan ini kepada kampung-kampung lain selain di Johor iaitu Sabah," ujarnya.

Organisasi itu komited memastikan kelestarian industri sawit dapat dicapai seiring perlindungan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat.

Mengambil pendekatan lain, Earthworm Foundation turut bekerjasama dengan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) melaksanakan usaha tersebut menerusi program Jelajah Sawit Hijau Siri 3 di Paradigm Mall, Johor Bahru pada Sabtu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram