Ditegur warga emas solat jamak qasar amalan pemalas, pemuda pertahan 'hadiah' ALLAH


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Solat jamak dan qasar merupakan keringanan yang diberikan oleh ALLAH SWT khusus kepada orang yang bermusafir.

PERBINCANGAN mengenai amalan solat jamak dan qasar ketika musafir kembali menjadi topik perhatian dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila terdapat kekeliruan serta perbezaan pandangan mengenai hukum dan keutamaannya. 

Isu itu timbul apabila ada yang beranggapan bahawa amalan tersebut mencerminkan sikap kurang bersungguh dalam ibadah, sedangkan syarak menetapkan rukhsah itu sebagai kemudahan khusus buat musafir.

Seorang pengguna Facebook, MD Hafiz Afandi berkongsi pengalamannya berkata, dia pernah ditegur oleh seorang warga emas yang tidak bersetuju dengan amalan sering melakukan jamak dan qasar ketika bermusafir. 

BACA LAGI: Belajar daripada 5 wanita terbaik sepanjang zaman, biar diuji tanpa zuriat, kahwin lewat tetap sabar, taat pada ALLAH

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Daripada ALLAH kita datang’, lelaki Kristian Britain jelaskan maksud ayat pada van jenazah, elak salah faham

Individu berkenaan mendakwa bahawa solat yang penuh atau dalam erti kata lain solat tamam adalah tanda keikhlasan yang lebih tinggi dalam ibadah seseorang hamba itu. 

"Dia tak setuju dengan orang yang selalu jamak dan qasar solat apabila musafir sebab bagi dia orang begini pemalas dan berkira dengan ALLAH SWT. 

"Katanya solat sempurna sajalah kalau kita betul-betul nak beribadah kepada ALLAH, tak perlu jamak dan qasar.

"Walaupun saya tidak setuju dengan beliau tapi saya memilih untuk tidak berdebat dengannya kerana menghormati beliau sebagai orang tua," katanya menerusi hantaran pada laman Facebook. 

Bagaimanapun, lelaki itu menjelaskan bahawa jamak dan qasar merupakan keringanan (rukhsah) yang diberikan oleh ALLAH SWT khusus kepada orang yang bermusafir, berdasarkan nas dan ketetapan syarak.

Menurut penjelasan beliau, solat jamak dan qasar adalah harus bagi sesiapa yang bermusafir dua marhalah, bersamaan kira-kira 81 kilometer. Ia menjadi lebih afdal jika perjalanan mencecah tiga marhalah (sekitar 122 kilometer).

"Malah dalam Mazhab Hanafi wajib jamak dan qasar bagi orang yang bermusafir tiga marhalah. Nabi ﷺ bersabda, mafhumnya:

"Ya'la bin Umaiyah r.a. telah berkata kepada Sayidina Umar r.a. mengapa kita mengerjakan solat secara qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman? Lalu Sayidina Umat r.a. menjawab, aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Baginda SAW bersabda, solat qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang ALLAH SWT sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu. (Hadis Riwayat Imam Muslim 686)," kongsinya. 

Mengulas isu itu, lelaki berkenaan menegaskan bahawa agama tidak boleh diamalkan berdasarkan sangkaan atau pandangan peribadi semata-mata, sebaliknya perlu bersandarkan ilmu melalui pembelajaran dan bimbingan guru yang bertauliah.

"Agama ini kita tidak boleh ambil dengan sangkaan. Mesti belajar dan berguru supaya kita tahu mana yang utama dan perlu. Jadi solat jamak dan qasarlah bila kita bermusafir," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram