MENGHIAS diri dan menjaga penampilan tidak dinafikan sememangnya menjadi elemen penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.
Meskipun sering dianggap remeh, namun hakikatnya ia mampu mempengaruhi sesebuah hubungan.
Seperti kisah dikongsikan oleh pendakwah dan penulis, Pahrol Mohamad Juoi di akaun Facebooknya baru-baru ini yang menyentuh tentang ujian sering dihadapi oleh golongan suami.
BACA LAGI: Tak salah cari jodoh 'online', adab perlu jaga, jangan sampai jatuhkan maruah wanita — Ustazah Asmak
BACA LAGI: Pasangan Asia-Eropah tergamam, hospital Brazil rujuk bayi ikut warna kulit, bukan nama
Berdasarkan ceritanya, si suami meluahkan kekecewaan apabila isterinya semakin mengabaikan aspek berhias walaupun masih memiliki kecantikan semula jadi.
"Keluh seorang sahabat kepada saya 'mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?.
"Katanya 'bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri'. Di pejabat aku berdepan dengan pelbagai wanita, semuanya berhias dan wangi'.
"Aku tanya sama ada dia menjaga pandangan atau tidak tetapi dia menjawab 'bukan sahaja pandangan tetapi penciuman, dunia akhir zaman'," tulisnya.
Sebagai lelaki, beliau tidak menolak kenyataan bahawa isu tersebut mampu mencetuskan konflik besar dalam rumah tangga sekiranya tidak ditangani secara matang.
Justeru, beliau menasihatkan para suami untuk berkomunikasi dengan penuh hikmah serta mengingatkannya bahawa kecantikan isteri tidak wajar diukur pada rupa paras semata.
Tambahnya, apabila usia semakin meningkat, suami sepatutnya lebih bertumpu kepada kecantikan dalaman dan membina hubungan kerohanian bersama.

Kaum wanita dibolehkan bersolek untuk tatapan suami. — Gambar hiasan/AI
Mengulas isu sama, pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin bersetuju bahawa ramai wanita masa kini lebih menitikberatkan penampilan ketika keluar rumah berbanding di rumah sendiri.
"Baju kerja lain, baju keluar lain, baju dengan kawan lain. Tetapi dalam rumah satu baju sahaja, itulah dari dapur sampai bilik tidur," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, fitrah lelaki sememangnya gemar melihat kecantikan, namun ia tidaklah tertumpu kepada model atau selebriti.
"Kita seorang yang sebagai seorang perempuan bagi saya memang perlu sentiasa bersiap, jaga kebersihan, wangi-wangi, cantik tidak kira di dalam atau luar rumah.
"Kalau boleh dalam rumah perlu ada pakaian khas di dapur sebab kita akan buat kerja yang renyah dan kotor.
"Bersolek di luar rumah tiada masalah. Tetapi kalau boleh, bersolek untuk suami di rumah lebih baik berbanding untuk orang luar," jelasnya.
Ustazah Asmak turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan yang tidak boleh dikompromi dalam Islam.
"Ada sesetengah orang bila keluar rumah nampak lawa, tetapi rumah sendiri kotor.
"Kotor ini memang tiada kompromi. Macam mana nak solat kalau tempatnya pun tidak bersih," tegasnya.
Justeru, beliau sekali lagi menasihatkan para wanita untuk sentiasa menjaga penampilan meskipun berada di dalam rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
