Yoga dan pilates berlatarkan padang golf, doktor guna kepakaran ceburi bidang 'wellness'


  • Bisnes
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Kelas yoga dan pilates dilakukan secara terbuka di padang golf KLGCC.

DAHULU sosok Datin Dr. Norazlin Mokhtar berada di barisan hadapan dalam dunia perubatan.

Seiring masa berputar, perjalanan hidup wanita itu yang tidak pernah terasing daripada dunia kesihatan, kini di laluan berbeza.

Pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dahulu, wanita berusia 60 tahun itu mengambil keputusan untuk mengubah haluan hidupnya demi memberikan fokus kepada keluarga.

BACA LAGI: Gambar pasport pun kurang laku, syukur ada 'abam polis' bantu sambung hayat studio foto tertua di KL

BACA LAGI: Bisnes bebas hutang, Black Hanifah keluar modal lebih RM3 juta bangunkan vila di Langkawi

Dr. Norazlin sentiasa mementingkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman di gimnasium.

Beliau memilih untuk berhenti bekerja bagi memberi sepenuhnya perhatian dan tumpuan kepada anak-anaknya yang masih kecil pada waktu itu.

Keputusan meninggalkan kerjaya perubatan itu bagaimanapun bukanlah noktah kepada minat beliau terhadap gaya hidup sihat.

Pada awal 2000, di saat anak bongsunya masih bayi, Dr. Norazlin mula aktif bersenam di gimnasium yang terletak di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC).

Bagaikan 'rumah kedua', daripada sekadar mengikuti kelas senaman, minat itu berkembang menjadi satu disiplin hidup sehingga terdetik untuk membuka sebuah perniagaan.

G&A Fitness

Minat mendalam terhadap aktiviti kecergasan mendorong beliau menubuhkan syarikat kesihatan, G&A Fitness yang beroperasi di KLGCC.

Selain menawarkan pengendalian kelas yoga dan pilates, syarikatnya turut menguruskan perkhidmatan jurulatih peribadi khusus buat ahli kelab golf di dalam fasiliti sama.

Dr. Norazlin masih bertenaga melakukan sebarang aktiviti senaman di usia 60 tahun.

"Bila kita semakin tua, senaman fizikal seperti zumba itu rasanya terlalu berat dan biasanya akan buatkan lutut sakit.

"Jadi, saya pilih yoga dan pilates ini mengikut kesesuaian semua peringkat umur.

"Macam wanita usia lebih 50 tahun seperti saya pun kami sediakan kelas senaman angkat berat yang mudah dan ringkas," katanya kepada Majoriti.

Katanya, kelebihan setiap kelas yang ditawarkan juga sedikit berbeza dengan perkhidmatan lain.

Selain dapat melakukan aktiviti sampingan seperti bermain golf, ahli kelabnya juga dapat melakukan senaman lebih fokus dan eksklusif.

"Biasanya tidak akan lebih daripada lima peserta. Bagi saya ruang yang lebih kecil bersifat lebih peribadi dan bantu mereka lebih fokus.

"Tetapi, jangan salah faham, kelas yoga dan pilates ini hanya sebenarnya terbuka kepada semua termasuk orang luar yang tidak bermain golf," jelasnya.

Kelas yoga juga dilakukan dengan konsep 'outdoor' di kawasan padang golf.

Menariknya, majoriti yang mengikuti kelasnya terdiri daripada golongan wanita berusia 30 tahun ke atas.

Kata beliau, setiap ahlinya juga mempunyai matlamat tersendiri sama ada untuk menjaga kesihatan mahu pun menguatkan tulang dan stamina.

Modal kecil, tanggungjawab besar

Tidak seperti membuka studio kecergasan sendiri, model perniagaan G&A Fitness tidak memerlukan pelaburan besar terhadap peralatan atau premis.

Namun, ia tetap mempunyai cabarannya tersendiri.

"Apabila klien datang dan pergi, itulah masa kita rasa macam terlalu penat.

"Pernah juga rasa nak berhenti. Tetapi teringat, saya ada tanggungjawab pada staf dan jurulatih peribadi saya.

"Mereka bergantung kepada saya," ujarnya.

Fasiliti senaman yang lengkap dan kemas di gimnasium KLGCC.

Bukan itu sahaja, mencari jurulatih wanita yang berkemahiran juga menjadi cabaran utama baginya.

Sebagai individu yang terlatih dalam bidang perubatan, Dr. Norazlin melihat kecergasan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu pelaburan jangka masa panjang.

"Semakin umur meningkat, kita terutama wanita perlu kuatkan otot dan tulang.

"Kita akan kekurangan hormon, risiko osteoporosis akan meningkat.

"Bagi saya latihan kekuatan adalah satu keperluan, bukan pilihan," ucapnya.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, beliau sendiri masih mengikuti kelas yoga sebanyak tiga kali seminggu.

"Saya sememangnya nak kembangkan lagi perniagaan ini.

"Saya mahu lebih ramai wanita sihat dan aktif sebab ia bukan sekadar bisnes, tetapi minat saya," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram