Penampilan Islamik tapi tayang cinta sejenis, remaja makin hilang 'maruah', boleh disiasat di bawah enakmen jenayah syariah negeri


  • Mukmin
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Apabila dosa bukan sahaja dilakukan secara peribadi, malah dipromosikan kepada orang lain di media sosial, ia sudah menjadi bentuk 'dakwah songsang' menyeru manusia kepada kemungkaran. — Gambar hiasan/Janaan AI

ISU melibatkan individu yang tampil dengan imej Islamik seperti berjubah, bertudung, memakai kopiah atau sering menyebut lafaz agama, namun pada masa sama mempromosikan cinta sesama jantina, semakin mengundang keresahan dalam masyarakat.

Baru-baru ini tular mengenai hantaran seorang perempuan bertudung yang menzahirkan kisah cintanya dengan individu sesama jenis secara terbuka di media sosial.

Walaupun kelihatan kecil, hakikatnya ia mampu menimbulkan kekeliruan besar terhadap kefahaman Islam, khususnya dalam kalangan generasi muda.

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, berpakaian atau berpenampilan Islamik dalam Islam adalah tuntutan yang baik.

Namun, sekiranya penampilan itu bercanggah dengan isi hati dan perbuatan, ia termasuk dalam perbuatan talbis al-haq bil-batil (mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan) yang mengundang dosa dan keburukan.

"Apabila seseorang menampilkan imej Islamik, tetapi pada masa sama menormalisasikan cinta golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), ia seolah-olah memberi mesej bahawa Islam mengiktiraf perbuatan tersebut.

"Hal ini jelas bercanggah dengan hukum syarak yang memberi panduan buat umat Islam dalam menjalani kehidupan di dunia ini," jelas Dr. Rugayah ketika dihubungi Majoriti.

Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 42 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu campur-adukkan yang benar itu dengan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan yang benar sedangkan kamu mengetahuinya.”

Menurut Dr. Rugayah, mempromosikan apa juga bentuk maksiat merupakan antara dosa besar di sisi ALLAH kerana seperti mengajak khalayak melakukan perihal serupa.

"Apabila dosa bukan sahaja dilakukan secara peribadi, malah dipromosikan kepada orang lain di media sosial, ia sudah menjadi bentuk 'dakwah songsang' iaitu menyeru manusia kepada kemungkaran.

"Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa semua umat akan diampuni melainkan mereka yang menzahirkan maksiat secara terbuka (isyhar maksiat) sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim," tegas Dr. Rugayah.

Tambah beliau, dalam aspek undang-undang syariah, walaupun seseorang itu tidak melakukan liwat atau musahaqah secara nyata, promosi gaya hidup LGBT di media sosial boleh disiasat di bawah enakmen jenayah syariah negeri-negeri.

"Antara peruntukan yang boleh terpakai ialah menyebarkan ajaran atau fahaman bertentangan dengan hukum syarak dan menghina atau merendahkan Islam melalui perbuatan yang mengelirukan.

"Jika kandungan tersebut jelas, terbuka dan menjadi tatapan umum, jabatan agama boleh memulakan siasatan tanpa menunggu aduan rasmi. Prinsipnya, mencegah mudarat lebih utama daripada menunggu ia merebak," jelasnya lagi.

Terapi psikologi Islam

Mengulas lanjut, Dr Rugayah memberitahu, promosi LGBT bukan sekadar isu moral, tetapi juga ancaman terhadap maqasid syariah yang diamalkan umat Islam.

"Pertama, ia melibatkan hifz al-din (penjagaan agama) kerana cuba menukar hurum haram menjadi halal.

"Kedua, hifz al-'ird (penjagaan maruah) kerana menjatuhkan kehormatan diri dan keluarga.

"Ketiga hifz al-nasl (penjagaan keturunan) kerana hubungan songsang sesama jenis tidak akan melahirkan zuriat.

"Maka jelas, perbuatan ini sememangnya membawa kerosakan yang melangkaui diri individu, hingga menjejaskan kelangsungan umat," tegasnya.

Sementara itu, Dr Rugayah berkata, walaupun boleh diambil tindakan dalam aspek undang-undang, Islam tetap menekankan aspek pemulihan buat si pelaku.

"Individu terlibat wajar dibimbing melalui kaunseling agama, terapi psikologi Islam, kem motivasi rohani serta pengisian berbentuk taubat dan tazkiyah al-nafs.

"Malah, ibu bapa dan masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan," ujarnya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Ali Imran, ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.”

"Jika tidak mampu menegur secara langsung, masyarakat boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa agama. Itu juga termasuk dalam kewajipan amar makruf nahi munkar," pesan Dr. Rugayah.

Menurut Dr. Rugayah (gambar kecil), taubat, doa, pengisian iman dan bimbingan daripada keluarga dan guru agama adalah jalan penyembuhan terbaik buat anak yang tersasar dari landasan Islam. — Gambar hiasan/Canva 

Pintu taubat sentiasa terbuka

Tegas beliau lagi, perlu diingat bahawa Islam tidak menutup pintu taubat selagi mana nyawa belum sampai di kerongkang.

Justeru, sesiapa yang terlanjur mempromosi atau terjebak dalam gaya hidup LGBT masih diberi peluang untuk kembali.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”(Hadis Riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

"Taubat, doa, pengisian iman dan bimbingan daripada keluarga dan guru agama adalah jalan penyembuhan terbaik.

"Yang penting, berikan sokongan kepada mereka, bukan terus menghukum dan mengecam," katanya.

Apa yang pasti, imej Islamik yang bercampur dengan promosi cinta LGBT bukanlah sekadar isu penampilan, tetapi satu bentuk fitnah terhadap agama.

"Pakaian menutup aurat bukan sekadar lambang tapi ia kewajipan lahir dari syahadah yang kita lafazkan.

"Jika mereka berbuat sedemikian iaitu menutup aurat dengan sempurna, namun tetap melakukan dosa besar, maka bererti mereka belum mantap syahadahnya.

"Apatah lagi, Islam menolak sebarang cubaan menormalisasikan maksiat, lebih-lebih lagi apabila ia disalut dengan simbol-simbol agama.

"Tindakan tegas pihak berkuasa agama, cakna masyarakat disertai usaha pemulihan dan pendidikan rohani, perlu berjalan seiring bagi memastikan umat tidak terus hanyut dalam kekeliruan dan fitnah akhir zaman yang menggoncang iman," tegas Dr. Rugayah.

Tindakan ibu bapa:

- Mendidik dengan kasih sayang, bukan hanya marah dan menghukum.

- Memberi kefahaman agama, agar anak jelas kenapa sesuatu perbuatan dilarang.

- Memantau persekitaran digital anak, kerana kebanyakan pengaruh bermula dari media sosial.

- Menjadi teladan yang baik, kerana anak lebih mudah mengikut apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram