Kaedah hafazan ekpres peluang ibu bapa lihat anak jadi al-Hafiz tempoh singkat, pakar agama jelas pro, kontra


  • Bonda
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Dr. Muhammad Sufi (gambar kecil) berkata, dalam dunia moden hari ini, banyak institusi pendidikan Islam memperkenalkan kaedah hafazan ekpress bagi menarik minat remaja menghafal al-Quran dengan cepat.

BERGELAR hafiz al-Quran merupakan satu pencapaian yang sangat mulia dalam Islam.

Gelaran ini bukan sekadar menandakan seseorang telah menghafal kitab suci al-Quran secara lengkap, malah ia membawa pelbagai kelebihan dari segi rohani, sosial dan keberkatan dalam kehidupan seharian.

Seorang hafiz bukan sahaja dihormati dalam masyarakat, tetapi juga dikurniakan ganjaran besar di sisi ALLAH SWT.

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca dan menghafal al-Quran, ia akan datang pada Hari Kiamat dengan wajah bercahaya dan diberi syafaat untuk ahli keluarganya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi SAW ini menegaskan bahawa penghafal al-Quran bukan sahaja digalakkan dari sudut ibadah, malah menjadi teladan kepada masyarakat.

Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim al-Hafiz berkata, dalam dunia moden hari ini, banyak institusi pendidikan Islam memperkenalkan kaedah hafazan ekpress bagi menarik minat remaja menghafal al-Quran dengan cepat.

“Kaedah ini sering dipromosikan sebagai kelebihan institusi tersebut dan menjadi daya tarikan utama kepada ibu bapa yang ingin anak-anak mereka bergelar al-Hafiz dalam tempoh yang singkat.

“Memang tidak dinafikan terdapat beberapa kaedah hafazan ekspres yang dicuba berdasarkan pengalaman peribadi (gifted) atau diadaptasi daripada luar negara.

“Kaedah ini memiliki beberapa kelebihan yang menjadikan ia sesuai untuk program jangka pendek dan mereka yang ingin mendalami bidang al-Quran,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Kelebihan hafazan ekspres

Menurut Dr. Muhammad Sufi, salah satu kelebihan utama kaedah itu membolehkan pelajar menamatkan hafalan al-Quran dengan cepat, seterusnya memberi peluang mereka fokus mengulang hafalan atau menumpukan perhatian kepada subjek akademik lain.

“Kaedah ini sesuai untuk pelajar yang berkemampuan dan serius untuk mendalami al-Quran dalam tempoh terhad.

“Tambahan pula, pendekatan ini membolehkan institusi melengkapkan program dalam tempoh lebih singkat, menjadikan pelajar bergelar al-Hafiz dalam masa cepat, sekali gus menjadi satu pencapaian menarik perhatian ibu bapa dan masyarakat.

“Bagi sesetengah individu yang mempunyai bakat semula jadi atau keupayaan menghafal tinggi, pendekatan ini mungkin lebih berkesan buat mereka,” jelasnya.

Salah satu kelebihan hafazan ekspres ia membolehkan pelajar menamatkan hafalan al-Quran dengan cepat, seterusnya memberi peluang fokus menumpukan perhatian kepada subjek akademik lain.

Kelemahan hafazan ekspres

Walau bagaimanapun tegas beliau, kaedah ini juga mempunyai kelemahan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Salah satu masalah utama adalah pelajar berisiko cepat lupa ayat-ayat yang telah dihafal kerana pengulangan tidak mencukupi. Hal ini, selaras dengan fitrah manusia setelah memperoleh sesuatu pencapaian, mereka cenderung mengabaikan disiplin pengulangan (murajaah).

“Sebagai contoh, seorang yang sudah bergelar al-Hafiz mungkin berasa selesa dan kurang menumpukan perhatian untuk mengulang hafalan lama, sehingga kualiti hafazan berkurangan,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam Al-Fiqh Al-Islami menegaskan bahawa pengulangan adalah aspek penting dalam memastikan hafalan tidak hilang dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

“Tanpa murajaah yang konsisten, hafalan yang diperoleh melalui kaedah cepat mungkin hanya menjadi ingatan sementara.

“Selain itu, pelajar yang menghafal secara ekpres sering hanya fokus kepada hafalan baru tanpa memberi perhatian kepada penguasaan bacaan yang betul dan penghayatan makna ayat. Akhirnya, walaupun bergelar al-Hafiz, penghafal tersebut mungkin tidak mampu mengamalkan al-Quran secara konsisten dalam kehidupan seharian,” tegas Dr. Muhammad Sufi.

Malah, dalam situasi ini Nabi Muhammad SAW turut memberi amaran terhadap golongan penghafal al-Quran yang kemudian melupakannya sebagai peringatan buat umat Islam.

Melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang menghafal al-Quran dan kemudian lalai (melupakannya) adalah seperti rumah yang roboh; yang tersisa hanyalah debu.”

Matlamat baca al-Quran

Justeru, beliau menekankan bahawa matlamat utama menghafal al-Quran bukanlah siapa yang cepat menamatkan hafalan, tetapi siapa yang paling lama berdampingan dengan al-Quran.

Hal ini selaras dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan al-Quran itu dengan sebenar-benar turunnya dan Kami jadikan ia penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Isra’, 17:82)

“Ayat ini jelas menekankan bahawa tujuan utama al-Quran adalah untuk menjadi pedoman dan penawar hati, bukan sekadar gelaran atau pencapaian jumlah penghafaz dengan cepat.

“Oleh itu, para penghafal al-Quran perlu menekankan kualiti penguasaan, pengulangan dan pengamalan ayat-ayat suci dalam kehidupan harian agar menjadi pedoman buat mereka,” pesannya.

Bagi Ahmad Faizz (gambar kanan) saba’ dan murajaah perlu berjalan serentak, barulah boleh cetak hafiz al-Quran dengan cepat dan berkualiti.

Ikut tahap pengalaman

Sementara itu, bagi Ahmad Faizz Nor Faissal al-Hafiz yang menamatkan hafalan al-Quran dalam tempoh 2 tahun 7 bulan berkongsi, pendekatan saba’ ekspres kurang berkesan bagi mereka yang baru memulakan hafalan.

“Ini kerana bagi pelajar yang bacaannya belum mantap, ia akan menyebabkan mereka susah untuk menghafaz dan mengingati al-Quran. Apatah lagi jika kaedah itu dilaksanakan hanya dengan menghantar saba’ tanpa pengulangan al-Quran.

“Namun, jika dilaksanakan dengan betul dan pelajar yang menyertai saba ekspres ini telah mempunyai bacaan al-Quran yang bagus serta mempunyai kepintaran dan kemampuan untuk menghafaz, maka tiada masalah ia dilaksanakan.

“Apa yang penting, biarlah saba’ dan murajaah berjalan serentak, barulah boleh cetak hafiz al-Quran dengan cepat dan berkualiti,” katanya.

Kesimpulan

Pendekatan hafazan ekspres boleh digunakan sekiranya pelajar mempunyai bacaan yang baik, kemampuan menghafal tinggi dan disiplin untuk melakukan murajaah secara konsisten.

Bagi mereka yang belum mantap dalam bacaan atau baru mula menghafal, pendekatan ini berisiko menghasilkan hafalan yang cepat lupa dan kurang berkualiti.

Kesimpulannya, menghafal al-Quran adalah amalan yang sunat tetapi mengekalkan hafalan dan mengamalkan al-Quran yang telah dihafal adalah wajib.

Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya adalah seperti buah kasturi; baunya harum walaupun tidak kelihatan dan orang lain akan mendapat manfaat daripadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Oleh itu, bagi setiap penghafal, gelaran al-Hafiz harus seiring dengan pengamalan dan pengulangan yang konsisten agar keberkatan al-Quran sentiasa mendampingi kehidupan mereka, bukan sekadar pencapaian akademik atau reputasi semata-mata.

Secara ringkas, menghafal al-Quran sahaja tidak mencukupi. Penghafal wajib melakukan:

* Murajaah: pengulangan ayat-ayat yang telah dihafal.

* Pengamalan: mengamalkan ayat-ayat dalam solat dan kehidupan seharian.

* Pengajaran: menyebarkan ilmu yang telah dihafal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram