[VIDEO] 'Bukan kaleng-kaleng’, aksi 2 pengawal peribadi iringi Perdana Menteri Jepun di Sidang Kemuncak ASEAN bukti wanita Malaysia boleh!


  • Tular
  • Selasa, 28 Okt 2025

Tangkap layar dua pengawal peribadi wanita Malaysia yang mempamerkan aksi tangkas dan profesional ketika mengiringi Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara pada Isnin bukan sahaja menjadi tumpuan pertemuan pemimpin serantau.

Namun, acara berprestij itu turut mencuri perhatian rakyat apabila tular rakaman memaparkan dua pengawal peribadi wanita Malaysia yang mempamerkan aksi tangkas dan profesional ketika mengiringi Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.

Menerusi perkongsian pengguna Nutrigrace di laman Threads, dua anggota pengawal keselamatan itu dilihat melompat masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sedang bergerak dengan gerakan serentak dan penuh ketepatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kuda ‘terlepas’ punca 2 kemalangan berasingan di Merlimau, penunggang motor maut

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Pekan Titi ke mata dunia, Grace Lim buktikan usia bukan penghalang harumkan nama Malaysia di pentas global

“Kekuatan. Ketepatan. Keanggunan. Saat yang luar biasa!

"Dua pengawal peribadi wanita Malaysia dengan sempurna melompat masuk ke dalam SUV yang sedang bergerak ketika mengiringi Perdana Menteri wanita pertama Jepun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47," tulisnya.

 

 

 

 

Aksi tangkas itu mendapat pujian ramai warganet yang menganggapnya sebagai lambang profesionalisme dan semangat luar biasa wanita Malaysia yang berani menempuh cabaran dalam bidang keselamatan yang sinonim dengan ketegasan dan risiko tinggi.

Selain mengetengahkan imej positif wanita Malaysia di peringkat antarabangsa, rakaman tersebut turut menunjukkan tahap latihan, disiplin serta fokus tinggi yang perlu dimiliki dalam kerjaya pengawal peribadi.

Tugas mereka bukan sekadar mengiringi individu kenamaan, tetapi melibatkan penilaian risiko, tindakan pantas ketika kecemasan serta keupayaan melindungi nyawa dalam pelbagai situasi tidak dijangka.

Dalam konteks Sidang Kemuncak ASEAN, tanggungjawab pasukan keselamatan adalah sangat penting kerana melibatkan pemimpin tertinggi dunia dan imej negara di mata antarabangsa.

Aksi berkenaan mengundang pelbagai reaksi positif warganet yang bangga dengan kecekapan dua pegawai keselamatan terbabit.

Seorang pengguna, @ammohdsani, meluahkan rasa kagum terhadap kecekapan dua pengawal peribadi wanita itu yang disifatkannya sebagai berdisiplin dan berwibawa tinggi.

"Saya rasa mereka memang pakai baju kalis peluru dan melalui latihan ketat.

"Bukan ‘kaleng-kaleng’ kerja ini, besar tanggungjawab tu. Hanya wanita yang berwibawa dan berdisiplin tinggi layak pegang tugas sebegini," katanya.

Seorang lagi pengguna, @oony8876 turut memuji keberanian dua pegawai tersebut.

"Hebat dan tangkas. Bayangkan latihan yang mereka lalui untuk capai tahap sebegitu.

"Salut pada 'kakak polis' kita. Rasa bangga sangat tengok wanita Malaysia beraksi dengan penuh keyakinan," katanya.

Tindakan dua pengawal peribadi wanita itu bukan sahaja mencerminkan kecekapan individu, tetapi turut mengangkat martabat wanita dalam sektor keselamatan serta menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa wanita juga mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam bidang mencabar ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram