Diuji kanser payudara bukan tanda ALLAH murka, selain baca surah Al-Fil, amalkan tip ini


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Selepas diuji dengan kanser payudara, Ustazah Marziana bersyukur kini telah disahkan bebas daripada penyakit digeruni kaum wanita itu.

DUNIA sememangnya ladang ujian. Dalam Islam, ujian seperti penyakit kronik termasuk kanser adalah sebahagian daripada qada' dan qadar ALLAH SWT.

Ia bukan tanda kemurkaan ALLAH, sebaliknya peluang untuk menilai iman, memperbaiki diri, bersabar dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Perkara ini diakui Ustazah Marziana Ismail, 47, seorang pemandiri kanser payudara yang kini telah disahkan bebas daripada penyakit berbahaya dan digeruni kaum wanita itu.

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

“Pada bulan Disember 2019, ketika nama dipanggil masuk berjumpa doktor untuk mengetahui keputusan biopsi, saya berulang kali lafazkan kalimah hauqalah untuk tenangkan diri.

“Saya cakap pada diri sendiri, 'apa jua keputusannya nanti, aku kena terima dengan reda. Andai betul ini kanser, aku kena kuat. Sudah ramai pesakit kanser telah sembuh, jadi aku juga kena sembuh'!

“Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya dengar satu per satu penjelasan doktor dengan tenang tanpa menitiskan air mata. Sementelah ketika itu saya juga dalam persiapan untuk menunaikan ibadah umrah.

“Jadi saya serahkan kepada doktor untuk menjalankan prosedur rawatan seterusnya termasuklah menjalani pembedahan,” ujar Ustazah Marziana kepada Majoriti.

Menurut beliau, perasaan takut, sedih dan marah adalah lumrah bagi mereka yang teruji dengan penyakit berbahaya seperti kanser.

Malah, lebih teruk ada yang terlalu mengikut emosi dengan menyalahkan ALLAH, meragui hikmah dan berasa tidak adil dengan takdir ILAHI.

“Justeru, untuk elakkan terus rasa sedih berpanjangan, kita perlu sentiasa memperbaharui keyakinan bahawa ALLAH Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui segala yang tersembunyi.

“Selain itu, sebagai pesakit, kita perlu memupuk rasa reda, bersabar di samping mendapatkan sokongan psikologi, komuniti, keluarga serta sokongan kerohanian kerana ia sangat kritikal,” jelas beliau yang merupakan guru Bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Tapang, Kota Bharu, Kelantan.

Tambah Ustazah Marziana, sebelum disahkan menghidap kanser, beliau sebenarnya sudah berkawan dengan ramai pesakit kanser terutama dalam kalangan guru.

“Saya melihat sendiri mereka kembali bekerja setelah cuti sakit. Itulah salah satu keyakinan saya bahawa kanser itu boleh sembuh. Dengan syarat dapatkan rawatan yang betul.

“Dalam keluarga saya juga ada yang menghidap kanser. Terdekat, ayah saya yang merupakan seorang pemandiri kanser tiroid.

“Ayah seorang yang sangat cekal dan berdisiplin dalam menjalani rawatan serta mengambil ubat-ubatan seperti nasihat doktor. Setiap nasihat doktor juga, ayah ikuti.

"Tidak pernah terlepas walaupun satu temujanji. Ayah ikut semua perancangan. Alhamdulillah, setelah 9 tahun ayah saya disahkan bebas kanser,” ceritanya lagi.

Dalam menyusuri ujian kehidupan, Ustazah Marziana memberitahu, beliau banyak membaca buku-buku berkaitan motivasi diri terutamanya karya Bonda Nor, salah seorang penulis dakwah prolifik tanah air.

“Sukar dinafikan buku-buku dan karya Bonda Nor banyak membantu saya dalam kuatkan emosi. Antara buku yang paling saya suka ialah Pagi! Ia ibarat satu nota ringkas nasihat buat diri.

“Setiap kali saya ke hospital untuk menjalani rawatan kemoterapi atau berjumpa doktor, saya akan bawa satu buku sebagai peneman,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Dalam pada itu, Ustazah Marziana memberitahu, beliau sering mengingatkan orang terdekat dan kawan-kawan, jika rasa ada perubahan pada mana-mana bahagian badan, jangan berlengah.

“Saya akan nasihatkan mereka agar cepat-cepat jumpa doktor untuk dapatkan pemeriksaan.

"Jangan takut untuk hadapi apa-apa keputusan. Andai dikesan ada penyakit, bersyukur kerana dapat tahu lebih awal, jadi lebih awal juga boleh jalani rawatan,” pesannya.

Menurut Ustazah Marziana lagi, terlalu banyak hikmah yang dilihat dengan ujian penyakit kanser yang dihadapi. Antaranya termasuklah lebih menghargai diri sendiri dan orang di sekeliling.

“Saya juga jadi insan yang lebih banyak sabar dan bersyukur selain lebih tenang daripada sebelumnya.

“Jika dulu saya seorang yang sensitif, mudah terasa hati, tapi sekarang saya dah tak kisah. Apa orang nak kata, saya tak peduli, yang penting jalan terus selagi mana kita tak menyalahi syariat dan sunnah Rasulullah SAW.

“Lebih istimewa ketika mengambil cuti sakit selama setahun pada 2020, saya mengambil langkah pertama menyertai bengkel-bengkel penulisan.

"Walaupun, sampai sekarang masih belum ada buku solo, tetapi setakat ini nama saya sudah ada dalam lebih 10 naskhah buku antologi,” ungkapnya.

Tidak ketinggalan, ketika cuti sakit itu jugalah beliau turut menyertai Kursus Pembinaan Munsyi Jawi dan menerima tauliah sebagai Munsyi Dewan (Jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada akhir tahun tersebut.

Ustazah Dr Nor Dalilah (gambar kecil) menasihatkan umat Islam agar sentiasa meletakkan percaya dan yakin dengan qada’ dan qadar ALLAH SWT ketika berdepan ujian.

Tip amalan Ustazah Marziana menggunakan surah Al-Fil. Caranya:

1. Baca Surah Al-Fil sebanyak 7 kali setiap kali selepas solat fardu atau sebelum tidur.

2. Tiup perlahan ke tapak tangan dan sapu ke dada atau bahagian tubuh yang sakit.

3. Sertakan dengan doa seperti ini: “Ya ALLAH, sebagaimana Engkau hancurkan tentera bergajah yang datang menghancurkan rumah-Mu, maka hancurkanlah segala sel penyakit dalam tubuhku, gantikanlah dengan kesihatan dan kekuatan.”

4. Baca juga dalam solat selepas surah Al-Fatihah.

Sementara itu Pegawai Turus Agama, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Ustazah Dr Nor Dalilah Zakaria berkata, ALLAH SWT menjadikan kehidupan dan kematian sebagai ujian dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap manusia.

Ini jelas dinyatakan di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud: “DIA-lah yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Menurut Dr Nor Dalilah, syariat Islam meletakkan percaya dan yakin dengan qada’ dan qadar ALLAH SWT merupakan rukun Iman yang terakhir yang perlu diimani dengan sebaiknya.

“Apa juga ujian, cabaran dan ketentuan dalam kehidupan kita di dunia ini pasti mempunyai hikmah dan kebaikannya. Antara nikmat kurniaan-NYA yang terbesar adalah nikmat hidup sebagai Muslim dan nikmat kesihatan.

“Menurut kajian semasa, kanser payudara menyumbang sehingga 19 peratus dari semua kes kanser yang dilaporkan dalam kalangan wanita. Risiko bagi wanita Melayu adalah kiraan 1 dalam 30 berkemungkinan mendapat kanser.

“Angka ini menunjukkan penularan kes kanser dan menghadapi kanser payudara sebagai seorang wanita bukanlah sekadar ujian fizikal semata-mata, bahkan menguji emosi, harga diri, kekuatan spiritual dan keimanan,” ujarnya.

Justeru, tegas Dr Nor Dalilah, Islam telah memberi beberapa panduan apabila kita menghadapi ujian dalam kehidupan sama ada diuji dengan masalah kesihatan, kehilangan, kesusahan dan sebagainya.

Antaranya panduan tersebut adalah:

Terimalah ujian ini sebagai takdir serta qadak dan qadar ALLAH SWT

Hakikatnya di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW telah dinyatakan: “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Al-Baqarah, ayat 286)

Sakit bukan tanda ALLAH murka

Bahkan, mungkin ini adalah cara ALLAH SWT memuliakanmu, membersihkan dosamu, dan meninggikan kedudukanmu di sisi-NYA. Apabila reda dengan ketentuan ALLAH, itulah tanda kekuatan spiritual dan keimanan seseorang.

Lakukan apa yang termampu – rawatan & pemulihan

Berubatlah kerana ALLAH tidak menurunkan penyakit tanpa penawar. Teruskan rawatan seperti kemoterapi, radioterapi, ubat hormon atau pembedahan.

Jaga pemakanan dan berehat secukupnya. Elakkan daripada mempercayai pada ‘ubat ajaib’ tanpa nasihat doktor. Teruskan juga untuk ‘merawat hati dan iman’.

Jaga solat, berdoa

Ini talian terus dengan ALLAH SWT. Walau penat, walau lemah, jangan tinggalkan solat. Solat bukan beban, ia sumber kekuatan. Doa bukan jampi kosong tapi ia senjata Mukmin.

Sokongan suami dan ahli keluarga serta sahabat handai

Ini adalah ubat kedua selepas rawatan. Beradalah di sisi mereka. Peluk mereka. Jangan buat mereka rasa sendirian. Jangan hina parut mereka. Teruskan berdoa untuk mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram