
DEK kesibukan dunia moden hari ini, ramai antara kita mencari ketenangan jiwa dan penyelesaian emosi melalui pelbagai cara.
Malangnya dalam pencarian tersebut, ada yang tersasar daripada landasan syariat hingga terpengaruh dengan seminar ‘healing’, ‘retreat emosi’ dan ajaran 'New Age' yang tampak indah di permukaan tetapi penuh racun akidah di sebaliknya.
Tular baru-baru ini tentang seorang penulis yang membawa ajaran bertopengkan motivasi dan cinta diri (self-love), namun hakikatnya mengandungi unsur syirik, ritual pelik dan amalan yang tidak bersandarkan dalil agama.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiada istilah bermain di 'padang kampung' tak perlu pakai kasut bola
Lebih meresahkan, pengikut-pengikutnya pula sanggup berhabis ribuan ringgit demi ‘penyembuhan’ yang akhirnya mengundang kemurkaan ALLAH.
Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Nor berkata, mereka yang terlibat akan semakin jauh dari panduan sebenar Islam.
"Wang ringgit yang sepatutnya digunakan untuk hal bermanfaat dibelanjakan pada sesuatu yang bukan sahaja sia-sia, bahkan membahayakan iman dan akidah.
"Lebih parah apabila mereka merasa bergantung pada kaedah-kaedah ini untuk sembuh, bukan lagi kepada ALLAH," tegas beliau ketika dihubungi Majoriti.
Melalui satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menggantungkan sesuatu, maka dia akan diserahkan kepada apa yang digantungnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi)
Menurut Dr. Khairunneezam, hadis berkaitan merupakan satu isyarat tegas bahawa bergantung selain daripada ALLAH boleh membawa kepada kesesatan yang nyata.
"Memang benar, hidup ini penuh ujian. Namun jangan sesekali kita menjual akidah semata-mata kerana ingin mencari ketenangan diri.
"Apatah lagi, Islam adalah agama yang diturunkan lengkap serta sempurna dalam pelbagai aspek fizikal, emosi, spiritual dan sosial.
"Jika kita berada di jalan yang benar sekali pun diuji, jiwa tetap akan tenang kerana kita sedar ALLAH sedang mendidik, bukan menzalimi," tegas beliau.
Ditanya mengenai impak penyimpangan seperti ini terhadap hubungan suami isteri, Dr. Khairunneezam menegaskan, ia boleh membawa kesan buruk terhadap rumah tangga.
"Apabila seorang isteri atau suami terlalu taksub dengan ajaran 'healing' yang menyimpang, mereka akan mula meragui peranan pasangan, menyalahkan takdir dan terlalu mementingkan diri atas nama ‘self-love’.
"Situasi ini akhirnya boleh membawa kepada konflik rumah tangga, kehancuran komunikasi, bahkan perceraian.
"Justeru harus diingat, ajaran Islam mengajar kita sabar, syukur dan redha, bukan untuk menyalahkan pasangan atau menyangka semua masalah berpunca daripada orang lain," kata beliau.
Tambah Dr. Khairunneezam, jika seseorang melakukan sesuatu kepercayaan atau amalan yang menyekutukan ALLAH sama ada secara sengaja atau kerana jahil, maka ia termasuk dalam dosa syirik.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampuni dosa syirik dan DIA mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA.” (Surah An-Nisa’, ayat 48)
Bagaimanapun, jelas beliau, pintu taubat sentiasa terbuka buat mereka yang tersilap langkah.
Bertaubatlah dengan:
1. Menyedari dan mengakui kesalahan tersebut.
2. Meninggalkan serta-merta ajaran yang menyimpang itu.
3. Menyesal bersungguh-sungguh.
4. Berazam tidak mengulangi lagi.
5. Kembali kepada pengajian ilmu agama yang benar bersama guru yang jelas sanad dan akidahnya.
Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi cara terbaik untuk mengadu kepada ALLAH dan beberapa tips menenangkan jiwa menurut Islam.
1. Jangan putus berdoa dan teruslah merintih kepada ALLAH.
- Ucapkan istighfar, baca Surah Al-Insyirah, Surah Al-Fatihah dan zikir-zikir penenang jiwa seperti Hasbunallahu wa ni’mal wakeel atau La hawla wa la quwwata illa billah.
2. Biasakan menulis atau meluahkan segala masalah hanya kepada ALLAH dalam bentuk doa.
- Inilah ‘retreat’ sebenar iaitu munajat seseorang hamba kepada TUHAN.
3. Cari sahabat soleh atau guru agama untuk meluah dengan cara yang beradab dan berlandaskan nasihat syariat.
- Jangan tertipu dengan motivator yang hanya memberi semangat palsu dan menyuntik fahaman liberal yang mencairkan prinsip agama.
4. Jangan remehkan kuasa sujud yang dianugerahkan ALLAH buat hamba-NYA."
- Dalam keadaan kita bersujud di bumi, di situlah hakikatnya kita paling dekat dengan ILAHI.
5. Perbanyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya.
- Kitab suci Al-Quran ialah penyembuh yang paling mujarab. Allah SWT sendiri menyebutnya sebagai 'penawar bagi apa yang ada di dalam dada'. (Surah Yunus: ayat 57).
"Jagalah diri dengan menjaga iman dan akidah. Self-love yang sebenar ialah bila kita memilih jalan yang ALLAH redhai, bukan yang DIA murkai.
“Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami dan DIA lah sebaik-baik pelindung,” ungkapnya penuh makna.
Sebagai penutup, Dr. Khairunneezam turut mengingatkan agar masyarakat tidak mudah terpesona dengan apa-apa program berjenama Islamik tetapi sebenarnya menyimpang dari asas Islam.
"Lihat siapa yang menyampaikan. Selidiki latar belakangnya. Jika tiada asas pengajian yang kukuh atau berguru dengan orang yang meragukan, maka berhati-hatilah.
"Sesat itu bermula sedikit demi sedikit. Ia bukan terjadi sekali gus. Maka cegahlah ia sejak awal," pesannya.
Oleh itu, penting bagi setiap Muslim untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan berada dalam lingkungan sahabat yang menasihati dengan kasih sayang.
Ini kerana hanya dengan cahaya ilmu yang sahih, kita akan mampu membezakan antara yang hak dan batil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram