[VIDEO] Anggap macam kakak, aksi jururawat buat konsert peribadi Taylor Swift hiburkan gadis strok saraf tunjang


  • Sihat
  • Khamis, 17 Jul 2025

Elle Yona mendapat sokongan positif daripada jururawat sepanjang menerima rawatan di hospital. — Agensi

SEORANG remaja di Miami, Amerika Syarikat (AS) yang dahulunya aktif sebagai penari kini berjuang untuk kembali hidup normal selepas menghidap penyakit jarang berlaku.

Kehidupan Elle Yona berubah 100 peratus apabila dia disahkan menghidap strok saraf tunjang yang menyebabkan hampir keseluruhan anggota badannya lumpuh.

Gadis berusia 17 tahun itu juga terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan berterusan untuk memulihkan keupayaan moto badannya. 

BACA LAGI: Kategorikan mainan ikut jenis antara tip ibu bapa elak anak cepat bosan, cari gajet

BACA LAGI: Dari mahkamah ke mesin jahit, bekas pegawai syariah kini pengasas AsyiQmuslim, tawar pakaian riadah multifungsi

"Saya masih ingat, saya berjalan masuk ke bilik kecemasan dan ketika itu sedang diserang strok.

"Dalam tempoh dua jam, saya hilang keupayaan untuk menggerakkan seluruh badan daripada leher hingga ke bawah," katanya.

Penyakitnya juga disahkan ketika Yona berusia 16 tahun dan aktif sebagai penari di sekolahnya.

Yona bagaimanapun dilihat menunjukkan perkembangan positif apabila sering berkongsi momen suka dan dukanya sepanjang dirawat di hospital.

Namun, lebih menarik perhatian apabila video yang memaparkan beberapa jururawat sedang menghiburkannya tular di media sosial.

Dalam video sama, kelihatan sekumpulan jururawat termasuk doktor menyanyikan lagu-lagu penyanyi terkenal, Taylor Swift untuk menghiburkan Yona selepas pembedahannya.

"Jururawat saya ibarat kakak-kakak saya di hospital. Mereka sebenarnya pakar kanak-kanak.

"Saya suka Taylor dan dia antara artis kegemaran saya. Saya rasa lagu-lagunya betul-betul ditulis dengan baik dan kebanyakannya sangat dekat dalam kehidupan saya.

"Ia sentiasa mengingatkan saya tentang perkara positif dalam hidup," katanya.

Kisah Yona turut mendapat perhatian ramai, termasuk seorang penderma misteri yang menghadiahkannya tiket ke konsert Taylor Swift Eras Tour di Miami.

Meskipun lumpuh dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak, Yona menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sudah mampu menggerakkan tangannya.

"Sekarang saya boleh menggaru dan menyentuh dengan bantuan alat khas.

"Itu pun sudah bantu saya rasa lebih berdikari," luahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram