Sebaiknya sedekahkan pakaian, barang rumah tidak digunakan, jangan simpan, ringankan jiwa, luaskan rezeki


  • Mukmin
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Memberikan pakaian masih elok kepada asnaf atau menyumbang pinggan mangkuk kepada surau dan pusat tahfiz merupakan bentuk sedekah sangat besar ganjarannya. — Gambar hiasan/Freepik AI

PERNAH tak setiap kali buka almari, kita termenung. Melihat ada baju yang masih berbalut plastik, tudung yang belum dibuka tag dan mungkin kotak bekas makanan yang tak pernah pun dipakai sejak dibeli waktu promosi.

Beg tangan berjenama pula tersusun cantik di rak, tapi hanya dua tiga buah yang sering digunakan.

Tanpa sedar, kita menjadi pengumpul barangan. Bukan kerana tamak, tapi kerana sayang. Sayang nak buang, sayang nak sedekahkan.

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

BACA LAGI: Bapa moden bukan tahu semua, tapi yang ingin terus belajar, berubah demi jaga amanah ALLAH

Namun, dalam diam, rumah yang penuh dengan barang langsung tidak digunakan mungkin sedang ‘menyimpan’ keberkatan yang tertahan.

Apakah pandangan Islam terhadap menyimpan barang secara berlebihan? Adakah ini dikira pembaziran? Perlu dizakatkan? Atau lebih baik disedekahkan?

Majoriti minggu ini akan mengupas isu yang dekat di hati ramai wanita, tidak terkecuali penulis.

Ia tentang harta, tentang keberkatan dan pilihan untuk memberi manfaat sebelum ia menjadi beban di hari hisab.

Pendakwah bebas, Ustaz Ismail Hussain berkata, pembaziran dan kemewahan melampau tidak disukai dalam agama.

“Islam merupakan agama yang mengajar umatnya tentang kesederhanaan dalam segala perkara dan menuntut keseimbangan antara keperluan dan kemampuan.

“ALLAH SWT melarang hamba-NYA daripada berlebihan dalam berbelanja. Sama ada dalam urusan makanan, pakaian, perhiasan mahupun kediaman.

“Sikap membazir bukan sahaja tidak disukai, malah termasuk dalam amalan syaitan,” ujar Ustaz Ismail ketika dihubungi Majoriti.

Beliau menyatakan bahawa ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Malah tegasnya, kemewahan yang melampau juga boleh melahirkan sifat sombong, riak dan memandang rendah pada orang lain.

“Hakikatnya, Islam tidak menghalang umatnya untuk memiliki harta atau menikmati kesenangan hidup, tetapi ia mestilah dalam batas kemampuan dan tidak menjurus kepada pembaziran atau menunjuk-nunjuk.

“Apa yang pasti, menjalani kehidupan secara sederhana lebih diberkati dan mendekatkan hati kepada sifat syukur sangat dituntut dalam agama,” jelas Ustaz Ismail yang merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu.

Menurut Ustaz Ismail (gambar kecil), jika jumlah pakaian, kasut, pinggan atau sebagainya sangat banyak dan tidak digunakan langsung dalam tempoh panjang adalah lebih baik disedekahkan.

Tambah beliau, dalam aspek menyimpan barangan yang tidak digunakan, walaupun tidak dibuang, ia boleh dianggap satu bentuk pembaziran.

“Ini kerana barangan itu tidak memberi manfaat kepada pemiliknya dan tidak juga disalurkan kepada orang lain lebih memerlukan,” katanya.

Ustaz Ismail turut mengingatkan satu hadis Rasulullah SAW yang boleh menjadi panduan dan peringatan kepada umat Islam dalam menjalani kehidupan sementara di dunia ini.

Baginda SAW bersabda: “Tidak berganjak kedua-dua kaki anak Adam pada Hari Kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, untuk apa dihabiskan; tentang ilmunya, bagaimana dia mengamalkannya; tentang hartanya, dari mana dia peroleh dan ke mana dibelanjakan dan tentang tubuhnya, untuk apa ia gunakan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

“Hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap harta termasuk pakaian, perkakas dan barangan rumah pasti akan dipersoalkan kelak, sama ada ia digunakan pada jalan yang memberi manfaat atau sekadar menjadi hiasan tanpa digunakan,” tegas beliau.

Ditanya persoalan adakah barang yang disimpan dan tidak digunakan perlu dizakat, Ustaz Ismail berkata, zakat hanya dikenakan ke atas harta tertentu yang cukup syarat seperti emas, perak, wang simpanan, perniagaan, ternakan dan tanaman.

“Barangan peribadi seperti pakaian atau perabot rumah tidak termasuk dalam kategori wajib zakat kecuali jika diniagakan.

“Namun begitu, jika jumlahnya sangat banyak dan tidak digunakan langsung dalam tempoh yang panjang, adalah lebih baik barang tersebut disedekahkan kerana ia termasuk dalam bentuk harta yang tertahan manfaatnya,” ujar beliau.

Ustaz Ismail juga berpesan bahawa sedekah bukan hanya dalam bentuk wang, tetapi ia boleh diberi dalam pelbagai cara.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah. Membantu seseorang menaikkan barang ke atas tunggangannya juga sedekah dan setiap kebaikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks ini katanya, memberikan pakaian yang masih elok kepada asnaf atau menyumbang pinggan mangkuk kepada surau dan pusat tahfiz merupakan bentuk sedekah sangat besar ganjarannya.

“Bahkan melalui tindakan itu, ia dapat membersihkan rumah kita dari beban duniawi yang tidak perlu dan dalam masa sama membersihkan hati daripada sifat tamak dan cintakan dunia,” katanya.

Tip muhasabah wanita: Kurangkan, susun, sedekah

Menurut Ustaz Ismail lagi, golongan wanita terutamanya digalakkan untuk melakukan muhasabah diri mengenai barangan yang dimiliki secara berkala.

Contohnya setiap tiga atau enam bulan sekali, mereka boleh memeriksa semula almari, kabinet dan stor.

Tanya diri:

- Adakah sudah lebih 6 bulan pakaian atau barangan itu tidak dipakai?

- Adakah ia masih dalam keadaan baik?

- Ada orang lain yang lebih memerlukan?

Jika jawapannya ya, maka keluarkan dan niatlah untuk bersedekah agar barangan itu dapat dimanfaatkan oleh golongan yang kurang berkemampuan.

Tegas Ustaz Ismail, menyimpan barangan bukanlah satu kesalahan, tetapi jika disimpan secara berlebihan tanpa memberi manfaat boleh menjurus kepada pembaziran dan sifat materialistik yang dicela agama.

“Islam menggalakkan umatnya agar hidup bersederhana dan sentiasa berkongsi rezeki. Rumah yang bersih dan lapang juga sebenarnya membuka pintu keberkatan dan rezeki berpanjangan.

“Jadi, mulakan hari ini. Buka stor. Buka almari. Mana yang tidak digunakan, sedekahkan. Kerana setiap barang yang memberi manfaat kepada orang lain, akan menjadi saham buat kita di akhirat kelak. Insya-ALLAH,” ungkap Ustaz Ismail menutup bicara. — Majoriti