Kategorikan mainan ikut jenis antara tip ibu bapa elak anak cepat bosan, cari gajet


  • Bonda
  • Khamis, 17 Jul 2025

Mengasingkan alat permainan mengikut kategori atau jenis membantu anak lebih fokus untuk bermain. — Gambar Hiasan/123rf

SETIAP ibu bapa pastinya mempunyai cara berbeza dalam mendidik anak untuk tidak terlalu bergantung kepada gajet dalam kehidupan seharian.

Begitu juga dengan pasangan suami isteri di media sosial yang berkongsi tip bagi memastikan anak-anak lebih tertarik bermain alat permainan di rumah.

Menerusi perkongsian pengguna akaun Threads @khirul_azwan, antara cara mudah yang boleh diamalkan oleh ibu bapa lain adalah menyusun alat permainan anak mengikut kategori.

BACA LAGI: Dari mahkamah ke mesin jahit, bekas pegawai syariah kini pengasas AsyiQmuslim, tawar pakaian riadah multifungsi

BACA LAGI: Masih ada ibu bapa keliru, haram ambil, makan daging akikah nazar walau sedikit, wajib disedekahkan

Penyusunan alat permainan boleh membantu mengurangkan waktu skrin kanak-kanak. — Gambar hiasan

"Kategorikan mainan ikut jenis. Kalau lego (bongkah plastik), letak semua lego dalam satu bekas yang sama.

"Kalau mainan kereta, letak semua satu bekas yang sama," tulisnya.

Menurutnya, cara itu dilakukan bagi mengelakkan anak mudah rasa bosan ketika bermain.

"Sebab kanak-kanak mudah bosan. Bila kita sebagai ibu bapa kategorikan mainan mereka mengikut jenis, mereka cenderung untuk pilih satu mainan sahaja.

"Jadi, selepas main satu jenis mainan, bila dah bosan, mudah mereka untuk tukar mainan jenis lain pula.

"Ini dapat mengelakkan waktu bermain jadi singkat," jelasnya.

Tambahnya, cara tersebut juga membantu mengelakkan anak untuk mencari gajet serta mengurangkan masa skrin mereka.

Saranan itu sekali gus mendapat sokongan daripada rata-rata ibu bapa lain yang berkongsi pengalaman mereka dalam.

Bagi pengguna akaun @sitinorfadzilahmdtaha, kaedah tersebut sememangnya berkesan terutama apabila alat permainan diasingkan mengikut kategori umur kanak-kanak.

"Anak-anak buah kalau datang rumah memang suka sebab banyak mainan.

"Tetapi, saya tak letak semua sekali. Saya asingkan ikut umur. Yang besar main dengan yang besar, yang kecil main dengan sama umur dengannya," katanya.

"Satu lagi kita panggil toys rotation (putaran mainan). Perasan atau tidak bila mainan lama yang terbiar mereka akan teruja semula nak main.

"Jadi, hanya perlu tukarkan mainan di hadapan dan belakang setiap dua minggu atau bulan supaya tidak membazir mainan yang ada," komen @yifazameran.

Langkah-langkah kecil seperti itu mungkin tampak remeh, namun hakikatnya mampu memberi impak besar kepada perkembangan emosi dan kreativiti anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram