Kaviar bukan sekadar hidangan mewah, penantian 15 tahun pasangan Malaysia ternak ikan sturgeon di China akhirnya berbaloi


  • Bisnes
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Terdapat tiga jenis kaviar yang dihasilkan pasangan tersebut untuk dinikmati seluruh rakyat Malaysia. — The Star

BAYANGKAN anda mempunyai impian dan berazam untuk mencapainya.

Apakan daya, impian itu mengambil masa 15 tahun untuk menjadi kenyataan.

Persoalannya, adakah anda masih meneruskan perjuangan walaupun sudah tahu pulangannya jauh di hadapan.

Namun, bagi pasangan usahawan Malaysia, Dr Rainey Yan dan Aaron Tong, ia adalah sesuatu yang tidak perlu difikirkan terlalu dalam.

BACA LAGI: Dari mahkamah ke mesin jahit, bekas pegawai syariah kini pengasas AsyiQmuslim, tawar pakaian riadah multifungsi

BACA LAGI: Masih ada ibu bapa keliru, haram ambil, makan daging akikah nazar walau sedikit, wajib disedekahkan

StarLifestyle cover story on Malaysian entrepreneurs who started a caviar farm in China.(JULY 1 2025) — ART CHEN/The Star

Dr Rainey Yan (kanan) dan Aaron Tong (kiri). — The Star

Pasangan itu bagaimanapun menyedari bahawa terdapat jurang yang besar dalam pasaran kaviar di Malaysia dan membuat keputusan untuk melakukan sesuatu tentangnya.

Dengan bantuan dua pelabur besar, mereka berjaya melabur sebanyak RM50 juta dalam ladang sturgeon di China yang terletak di sepanjang Sungai Amur.

Kata Yan, kaviar sentiasa melambangkan status, tetapi matlamatnya adalah menjadikan ia sebagai produk bukan sahaja untuk golongan istimewa, tetapi gaya hidup bagi mereka yang ingin menikmati detik terindah dalam hidup.

"Contohnya detik kegembiraan, perayaan dan meraikan sesuatu hubungan. 

"Untuk melakukan itu, kami perlukan kawalan secara menyeluruh.

"Memiliki separuh ladang sturgeon membolehkan kami memilih kualiti dan membina jenama secara perlahan.

"Ini bukan soal perniagaan secara pantas. Ia tentang menanam benih sesuatu yang abadi dan mewakili suara Asia dalam industri kaviar global," katanya.

Kaviar yang dikenali sebagai hidangan mewah. — The Star

Pada Disember lalu, selepas tujuh tahun melabur, Yan dan Tong akhirnya berjaya membiakkan kumpulan pertama kaviar di Malaysia yang kini dijual dan dipasarkan di bawah rangkaian Elegant Fine Caviar.

Sturgeon merupakan antara ikan tertua di dunia dan hidup sejak lebih 300 juta tahun dahulu.

Kaviar asli pula diperolehi daripada telur ikan sturgeon.

Istilah kaviar juga hanya merujuk kepada ikan sturgeon yang diawetkan dengan garam.

Manakala perkataan kaviar juga diambil daripada Turki, 'khav-jar' yang bermaksud 'kek kekuatan'.

Pada 1600-an, orang Rusia menemui kaviar dan tidak lama kemudian, ia dinikmati dalam kalangan bangsawan atau elit sehingga ia dilabel sebagai makanan mewah.

Antara kaviar paling popular dan dijual dengan harga yang mahal adalah kaviar dari Beluga, Ossestra dan Sevruga.

Pasangan usahawan tersebut sanggup melabur RM50 juta untuk sebuah ladang sturgeon. — The Star

Kelahiran kaviar Malaysia

Dengan berlatar belakang bidang seni masakan Yan dan tunangnya, seorang ahli perniagaan bergabung membina empayar dalam perniagaan sturgeon di Malaysia.

Pada awalnya, pasangan tersebut mahu memberi tumpuan penuh pada pasaran landak laut, tetapi menyedari bahawa mereka mempunyai kawalan, agensi dan pemilikan lebih besar sekiranya memulakan kilang kaviar.

"Kami lakukan pelbagai penyelidikan dan melawat beberapa ladang sturgeon di China dan kami putuskan untuk bekerjasama dengan mereka.

"Kami percaya rasa dan tekstur kaviar sangat sesuai untuk selera rakyat Malaysia," jelasnya.

Kesemua ikan sturgeon adalah masih dalam kategori anak pada awal pelaburan sekitar 2018.

Kaviar diperoleh daripada sturgeon betina yang biasanya mencapai kematangan seksual dan mula menghasilkan telur hanya selepas tujuh hingga 15 tahun.

Walaupun selepas pertama kali menghasilkan telur, sesetengah spesies sturgeon betina hanya menanggung telur setiap tiga hingga empat tahun.

Ladang sturgeon yang terletak di China. — The Star

Ini bermakna kebanyakan pengeluar kaviar mempunyai hasil sifar sehingga satu dekad atau lebih.

"Cabaran utama perniagaan ini adalah masa menunggu kerana ini semua tentang menunggu, menunggu dan menunggu," kata Yan sambil mengimbau kembali permulaan perjalanan mereka.

Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa memikirkan cara untuk melaksanakan sistem yang berfungi seiring dengan perubahan iklim di negara ini.

Menurutnya, sturgeon cenderung untuk sakit dan mati sekiranya suhu cuaca semakin tinggi.

Disebabkan paras haba yang tinggi, kualiti kaviar juga boleh terjejas dan menyebabkan teksturnya lembik serta tidak sesuai untuk dijual.

Bagi menanganinya, Yan dan Tong mengambil langkah untuk memastikan suhu air di ladang mereka kekal konsisten tidak terlalu panas.

"Suhu air tidak boleh lebih tinggi daripada 18 darjah selsius, jika tidak ikan akan terjejas.

"Jadi, kami mempunyai sistem penyejukan dan pekerja di ladang 24 jam sehari, bekerja secara bergilir-gilir untuk memeriksa suhu air setiap jam.

"Apabila cuaca terlalu panas, kami ambil keputusan tidak banyak menuai telur pada masa ini," katanya.

Anak ikan sturgeon sebelum membesar dan menetaskan telur-telurnya. — The Star

Dari ikan hingga kaviar

Proses untuk mendapatkan kaviar adalah proses yang memakan masa dan pelbagai peringkat.

Sebagai permulaan, stok induk terlebih dahulu perlu dipilih untuk pembiakan.

Kemudian, sturgeon jantan dan betina disenyawakan bagi menghasilkan telur.

Apabila telur menetas, larva dihantar ke tangki persekitaran terkawal, kemudian dibahagikan kepada ikan jantan dan betina.

Banyak ladang mempunyai kaedah khusus untuk mencuba dan memastikan lebih banyak sturgeon betina diternak.

Apabila sturgeon betina mula mengeluarkan kaviar, kaviar dipantau melalui ultrabunyi untuk menentukan waktu ia paling berdaya maju untuk dituai.

Kemudian, telur diekstrak dan selalunya menggunakan jarum halus.

Yan juga melakukan penyelidikan yang meluas melalui video di YouTube dan bahan bacaan lain untuk menentukan kaedah mengesktrak kaviar berkualiti.

"Sebelum kami mengeluarkan roe (telur ikan yang sudah matang) dari sturgeon, ikan tersebut perlu menjalani puasa selama 40 hari untuk membersihkan sistemnya.

"Jadi, dengan cara ini kaviar tidak akan mempunyai rasa berlumpur atau hanyir. Apa yang anda dapat ialah kaviar yang lebih bersih," ujarnya.

Proses itu biasanya tidak dilakukan di kebanyakan ladang kaviar tetapi ia merupakan ciri tambahan yang diminta khusus oleh Yan.

Proses pemantauan ikan sturgeon bagi memastikan kualiti kaviarnya. — The Star

Sebenarnya, puasa dapat mengurangkan hasil yang dituai daripada sturgeon kerana ikan kehilangan kira-kira dua peratus nisbahnya apabila ia menjalani proses puasa.

Sebagai rujukan, kaviar yang diekstrak daripada sturgeon tunggal biasanya kira-kira 10 peratus daripada beratnya.

Maka, sturgeon seberat 20 kilogram (kg) akan menanggung kaviar yang seberat 2kg, manakala, kaviar milik Yan pula kehilangan dua peratus daripada nisbah itu.

Sebaik sahaja kaviar dituai (baki ikan biasanya dijual semula ke ladang atau pasar borong), biasanya terdapat 15 hingga 16 proses yang perlu diselesaikan sebelum ia boleh dimakan.

Ia termasuk membilas, menapis, memilih, membuang bahagian yang tidak dipotong serta merendam kaviar di dalam larutan garam.

"Kami bereksperimen dengan larutan pengasinan tiga hingga empat peratus dan menetapkan peratusan pengasinan 3.3 peratsu, yang kami percaya ia adalah jumlah sempurna.

"Kami juga menemui garam dari Jerman yang kami rasa benar-benar melengkapkan kaviar," tambahnya.

Penantian telah berakhir, ikan sturgeon Yan dan Tong akhirnya menetaskan telur yang hanya mengambil masa tujuh tahun dengan jenama Malaysia serta menghasilkan tiga jenis kaviar berbeza.

Prestia ialah kaviar daripada sturgeon hibrid Kaluga mereka dan menghasilkan rupa yang cantik dan kuat.

StarLifestyle cover story on Malaysian entrepreneurs who started a caviar farm in China.(JULY 1 2025) — ART CHEN/The Star

Kaviar juga dihidang dalam masakan. — The Star

Kemudian, Luxoria pula merupakan kaviar dari sturgeon Ossetra Rusia mereka.

Imperial Astria pula ialah kaviar yang telah diekstrak daripada sturgeon Amur.

Varieti tertentu itu juga mempunyai tekstur berlemak dan memberi rasa yang mewah.

Harga untuk kaviar Elegant Fine antara RM288 hingga RM688 untuk setiap tin dengan berat 30 gram (g).

Mereka juga kebiasaannya dapat menghasilkan kira-kira 30kg hingga 50kg kaviar setiap empat bulan.

Namun, di sebalik cabaran itu, kedua-duanya sudah mempunyai rancangan untuk memperkenalkan Bari, seekor ikan sturgeon baka Siberia menjelang September nanti untuk meluaskan rangkaian produk mereka.

Melangkah ke hadapan, matlamat utama Yan dan Tong adalah untuk menyebarkan lebih banyak ilmu pengetahuan dan penghargaan terhadap kaviar serta meluaskan kehadiran mereka di Malaysia.

"Ikan sturgeon mungkin dibesarkan di China, tetapi visi, falsafah dan suara jenama itu sepenuhnya Malaysia.

"Fokus utama kami adalah pasaran Malaysia, tetapi juga mahu mengedarkan ke seluruh negara di Asia, seperti Thailand dan Singapura sebaik sahaja stok kaviar kami stabil," ujarnya.

Menjelang 2027, Yan dan Tong berharap untuk membawa jenama tempatan mereka ke seluruh rantau apabila berjaya menghasilkan stok yang mencukupi untuk mengekalkan perkembangan perniagaannya. — The Star/ABIRAMI DURAI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram