Budak lelaki tidak ditemani bapa, abang perlu elak guna tandas wanita, ibu disaran pantau dari luar


  • Bonda
  • Khamis, 17 Jul 2025

Ibu digalakkan untuk menunggu anak lelaki di luar tandas awam. — Gambar hiasan

ISU keselamatan dan keselesaan menjadi satu dilema terutama dalam kalangan ibu ketika membawa anak lelakinya ke tandas awam.

Sama seperti hantaran dimuat naik pengguna akaun Threads @shfarah baru-baru ini yang berkongsi situasi ketika ke tempat awam tanpa ditemani lelaki dewasa seperti suami, bapa atau saudara terdekat.

Persoalan yang timbul adalah wajar atau tidak anak lelaki berusia antara 10 hingga 12 tahun dibawa masuk ke tandas atau surau wanita atas dasar keselamatan.

BACA LAGI: Kalau wujud terma lelaki 'red flag' masa itu, saya rasa penuhi semua kriteria, kuat merajuk, kiasu — Dr. Say

BACA LAGI: 'Sama-sama muhasabah diri', Dr Azura ulas isu pakaian di pertandingan sukan Hyrox

Kanak-kanak usia 10 tahun dan ke atas digalakkan untuk ke tandas lelaki. — Gambar hiasan

"Kalau ibu-ibu keluar dengan anak lelaki tanpa lelaki dewasa seperti ayah, abang, adik-beradik lelaki lain, macamana ibu bawa anak lelaki kecil ini ke tandas atausurau?

"Adakah boleh untuk masuk ke tandas atau surau wanita atas sebab-sebab keselamatan?" soalnya.

Rata-rata warga maya yang menjawab pertanyaan itu tidak bersetuju untuk melakukan sedemikian.

Pengguna tersebut turut disarankan agar mengajar anak lelaki berdikari ke tandas seorang diri sambil menunggu di luar.

"Tidak boleh, kecuali anak umur tujuh tahun ke bawah atau orang kelainan upaya (OKU).

"Boleh suruh dia masuk ke tandas lelaki dan si ibu tunggu di hadapan pintu. Surau, kalau rasa tak selamat nak tinggalkan anak , lebih baik solat di rumah," komen seorang pengguna lain.

"Kalau saya akan temankan ke tandas lelaki. Saya tunggu luar sahaja sampai mereka keluar.

"Kadang-kadang lama sangat, saya panggil nama anak dan mereka akan sahut kalau dengar.

"Tetapi memang risau juga. Cuma bagi saya, umur 10 hingga 12 tahun memang tidak sesuai masuk tandas wanita," tambah @notakuliah25.

Bagaimanapun, terdapat pilihan lain sekiranya dalam keadaan terdesak kecemasan.

"Tandas OKU sebenarnya boleh juga digunakan untuk ibu yang bawa anak," tambah @kakyong_zira.

Kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak di tempat awam sememangnya wajar, namun ramai bersetuju bahawa pendekatan terbaik adalah melatih anak lelaki berdikari seawal usia tujuh tahun untuk menggunakan kemudahan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram