
SERING kali kita dengar nama-nama besar disebut dalam lipatan sejarah hijrah Rasullah SAW seperti Abu Bakar As-Siddiq dan para sahabat lain.
Namun, dalam keheningan malam dan senyapnya Gua Thur, seorang wanita turut menjadi saksi dan penyambung legasi pejuang seperti bapanya.
Asma' Abu Bakar RA namanya, namun jarang sekali dijulang dan diangkat.
Lahir pada tahun 27 sebelum Hijrah dan termasuk orang pertama yang memeluk Islam atau dipanggil sebagai Assabiqun Awwalun.
BACA LAGI: Kenali 3 wanita diceraikan tetapi memiliki kedudukan mulia di sisi TUHAN
BACA LAGI: Selain tambah pahala, sunat hukumnya bagi suami tunai solat 2 kali semata mahu jemaah dengan isteri
Asma' bukti perjuangan seorang wanita dalam medan perang. — Gambar hiasan/Agensi
Wanita muda itu bukan sahaja saksi sejarah, tetapi menjadi individu penting dalam perjalanan hijrah Rasullah.
Setiap malam, beliau mendaki sendirian, membawa bekalan dan berita.
Bukit curam, angin malam, ancaman dari kaum Quraisy dan semua itu dilalui tanpa ragu mahupun keluhan.
Hanya iman dan cinta kepada perjuangan Rasullah yang menguatkan semangatnya.
Beliau juga digelarkan sebagai 'Zatun-Nitaqain' yang bermaksud wanita dua ikatan kerana kesanggupannya membantu Rasullah dalam satu misi penting.
Beliau digelar sedemikan pada tahun peristiwa Hijrah apabila beliau bertindak mengoyakkan lilitan tali pinggangnya, lalu mengikatnya pada hidangan (bekalan) Nabi SAW dan bapanya, Abu Bakar al-Siddiq ketika mereka keluar ke Gua Thur untuk berhijrah ke Madinah.
Terdapat riwayat daripada Asma’ sendiri, katanya:
صنعتُ سُفرة لِلنبِيِ صلى اللهُ عليهِ وسلم وأبِي بكرٍ, حِين أرادا المدِينة, فقُلتُ لِأبِي: ما أجِدُ شيئا أربِطُهُ إِلا نِطاقِي, قال: فشُقِيهِ ففعلتُ فسُمِيتُ ذات النِطاقينِ. قال ابنُ عباسٍ: أسماءُ ذات النِطاقِ
Maksudnya: "Aku membuat (menyediakan) bekalan perjalanan untuk Nabi SAW dan Abu Bakar R.A ketika mereka berdua hendak (hijrah) ke Madinah. Aku berkata kepada bapaku: ‘Aku tidak mendapati sesuatu untuk mengikatnya (bekalan) selain daripada tali pengikat pinggangku.’ Abu Bakar berkata: ‘Koyakkanlah ia (tali tersebut).’ Aku pun melakukannya (seperti yang disuruh), maka (disebabkan itu) aku dinamakan Zat al-Nitaqain (pemilik dua pengikat pinggang).” Ibn Abbas berkata: “(Gelaran) Asma’ ialah Zat al-Nitaq." — Riwayat al-Bukhari (3907)
Selain medan perang, Asma' juga berperanan besar dalam keluarganya. — Gambar hiasan/Agensi
Keberaniannya juga dapat dilihat ketika sepupu kepada bapa Rasullah, 'Amr Ibn Hisham atau lebih dikenali sebagai Abu Jahal datang mencari ayahnya.
Meskipun digertak dan ditampar oleh Abu Jahal sehingga tercabut anting-antingnya, Asma' tetap berdiri teguh tanpa getar.
Situasi itu ibaratnya seperti pepatah Melayu, 'Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut', rahsia Nabi SAW tetap tersimpan kemas.
Bukan sekadar penyokong dalam kisah hijrah Nabi SAW, Asma' ternyata tonggak utama dalam keluarganya, seorang yang berdikari bahkan menjadi pendidik kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.
Pendiriannya yang teguh tidak dapat dinafikan lagi terutama ketika anak lelakinya, Abdullah Zubair RA disalib dan dibunuh.
'Kau rosakkan dunianya, dia rosakkan akhiratmu', menjadi ayat keramat yang keluar dari mulut seorang ibu yang tahu menilai syurga lebih tinggi berbanding nyawa.
Bukan sekadar pejuang di medan perang, setiap langkahnya tersemat semangat juang yang tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram