'Ada cubaan menangguk di air keruh', Ketua Polis Perak dedah cubaan eksploitasi, manipulasi waris anggota FRU


  • Kes
  • Selasa, 27 Mei 2025

Terdapat cubaan mengeksploitasi dan memanipulasi waris anggota FRU yang terlibat dalam kemalangan maut pada 13 Mei lalu.

SEMUA waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam insiden kemalangan maut di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu dinasihatkan untuk tidak berhubung dengan pihak tidak dikenali.

Memetik laporan Astro Awani, waris dan anggota FRU yang terselemat hanya berhubung dan merujuk pada peguam sah yang dilantik.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, saranan itu diberikan selepas pihaknya mendapati terdapat cubaan menangguk di air yang keruh apabila melibatkan pihak tertentu yang mahu mengeksploitasi dan memanipulasi ahli keluarga mangsa.

BACA LAGI: Nahas FRU: Emosi waris belum pulih, anak perempuan masih tercari-cari 'babah'

BACA LAGI: 'Saya maafkan pemandu lori', isteri anggota FRU maut nahas kongsi keinginan arwah suami mahu meninggal ketika bertugas

Noor Hisam menasihatkan agar waris dan anggota FRU terbabit untuk berhubung dengan peguam yang dilantik sahaja. — The Star

Ia juga bertujuan untuk mengelakkan berlakunya eksploitasi terhadap pampasan atau sumbangan yang diberikan kepada keluarga mangsa. 

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menceritakan dengan lebih spesifik, namun ia berkaitan dengan hal kewangan dan perundangan. 

Pada 13 Mei lalu, sebuah trak yang membawa 18 anggota FRU Unit 5 dari Sungai Senam, Ipoh, bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil yang memasuki laluan bertentangan.

Perlanggaran itu mengorbankan lapan anggota FRU di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan. 

Sembilan yang lain mengalami kecederaan, termasuk ada yang parah.

Ketika kejadian, kenderaan FRU itu sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh bersama enam lagi kenderaan FRU selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram