
SERING dianggap aneh atau berwajah buruk, burung pungguk (barn owl) ternyata berperanan besar dalam ekosistem pertanian moden.
Burung pungguk jelapang atau dikenali dengan nama saintifiknya, tyto javanica sebenarnya adalah ejen kawalan biologi semula jadi yang sangat efisien, terutamanya di ladang kelapa sawit atau sawah padi.
Spesies yang majoriti populasinya di Malaysia dan Indonesia itu secara tidak langsung menjadi keutamaan dalam industri pertanian dan perladangan.
Burung pungguk jelapang antara ejen kawalan biologi mampan yang mampu membantu petani tempatan. — MPOGCF
Populasinya juga sukar dijumpai di Sabah dan Sarawak kerana ia bukan spesies asal dari Borneo.
Justeru, pihak Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) bersama FGV Holdings Berhad (FGV) di makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D) menjalankan program translokasi untuk memperkenalkan dengan ebih luas mengenai spesies itu di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah sejak 2014.
Usaha berterusan itu ternyata membuahkan hasil apabila burung pungguk jelapang kini terbukti membantu mengawal populasi haiwan perosak di ladang kelapa sawit termasuk sawah padi.
Menurut Ketua Penyelidik BORG, Shakinah Ravindran, burung pungguk jelapang memainkan peranan penting dalam menjaga tanaman dengan lebih sihat.
Berbeza dengan kaedah kawalan menggunakan bahan kimia atau racun serta berisiko menjejaskan alam sekitar, pemakanan burung pungguk sekali gus menawarkan penyelesaian mesra alam dan lebih mampan.
Shakinah Ravindran
Perbezaan burung pungguk jelapang
Jika dilihat sekali imbas, nampak serupa. Tetapi, terdapat beberapa perbezaan antara burung pungguk jelapang dan burung hantu.
Daripada aspek fizikalnya, burung pungguk jelapang memiliki rupa bentuk yang lebih bulat dan selalunya berwarna putih dan coklat.
Kata Shakinah, cara pemakanan burung pungguk juga berbeza dengan burung hantu biasa.
"Lebih 95 peratus diet harian burung pungguk jelapang ini terdiri daripada tikus perosak.
"Manakala, pemakanan burung hantu biasa lebih bercampur, mereka boleh makan pelbagai serangga.
"Disebabkan itu, kita panggil burung pungguk sebagai ejen kawalan biologi kerana cara pemakanan mereka yang sangat bagus untuk membantu peladang atau petani," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Aman Central, Kedah, Sabtu lalu.
Reruai BORG pada siri pertama Jelajah Sawit Hijau MPOGCF di Aman Central pada Sabtu lalu.
Selain peranannya sebagai pemburu malam yang cekap, burung pungguk turut mempunyai keunikan tersendiri.
Antara ciri paling menarik adalah keupayaannya untuk memusingkan kepala sehingga 270 darjah.
Ia merupakan satu kebolehan luar biasa yang mampu membantu mereka mengesan mangsa walaupun berada dalam kawasan gelap.
Ditambah pula dengan sifatnya yang monogami iaitu setia pada pasangan sepanjang hayatnya dan ia merupakan keistimewaan yang jarang ditemui dalam dunia haiwan.
Tikus musuh senyap ladang sawit
Bercakap pula tentang ancaman tikus dalam industri kelapa sawit, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Shakinah berkata, serangan tikus yang tinggi boleh menyebabkan kerugian sehingga 20 peratus hasil minyak sawit.
Hampir 100 peratus diet pemakanan burung pungguk jelapang yang terdiri daripada tikus perosak. — Gambar hiasan/Agensi
"Sebab itulah burung ini sangat penting kerana mereka bantu kawal populasi tikus secara semula jadi dan mesra alam tanpa perlu gunakan racun.
"Menariknya lagi apabila seekor burung boleh makan seekor hingga tiga ekor setiap malam dan satu keluarga boleh buru hampir 3,000 ekor tikus setahun.
"Kajian kami menunjukkan burung pungguk jelapang ini boleh mengurangkan kerosakan tandan sawit akibat tikus kepada bawah lima peratus, iaitu paras kerosakan yang masih selamat," katanya sambil menambah, tahap kerosakan berjaya dikekalkan di bawah paras tersebut sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut di Sabah.
Justeru, pembiakan burung pungguk jelapang di serata negeri amat digalakkan agar kualiti ekosistem tanaman tempatan dapat ditingkatkan.
Pembinaan rumah yang sesuai untuk burung pungguk jelapang. — Gambar hiasan/Agensi
Jelas Shakinah lagi, usaha memelihara populasi burung tersebut giat dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menerusi siri Jelajah Sawit Hijau dengan tagline Konservasi Kunci Sawit Mampan di empat zon bermula Sabtu lalu.
"Nak jaga populasi burung ini juga mudah, petani atau pekebun hanya perlu sediakan rumah untuk mereka di kawasan ladang sawit atau sawah padi.
"Hal ini kerana, mereka sangat pandai untuk mencari makan sendiri di sekitar kawasan rumahnya.
"Disebabkan itu, burung ini merupakan ejen biologi terbaik berbanding racun tikus atau serangga perosak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram