
IKON Original Pilipino Music (OPM) Freddie Aguilar, 72, dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Jantung Filipina pada Selasa.
Peguam George Briones dari Partido Federal Ng Pilipinas (PFP) mengesahkan kematian penyanyi yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan.
Berdasarkan laporan agensi, penyanyi dan komposer lagu itu kerap memohon doa dari orang ramai agar kesihatannya pulih menerus laman Facebooknya sejak 20 Mei lalu tanpa mendedahkan keadaan sebenarnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh muka ditampar, Presiden Perancis nafi bergaduh, hanya bergurau dengan isteri
BACA LAGI: Hanya jumpa skuter elektrik dan beg bekal, ibu rayu bantu jejak anak gadis OKU hilang di Puncak Alam
Lagu 'Anak' yang terkenal di lebih 50 negara. — Agensi
Isterinya, Jovie Albao juga sebelum ini pernah memuat naik hantaran berhubung perkara tersebut.
"Saya sentiasa mencari keberanian dalam menghadapi ketakutan.
"Banyak yang berlaku minggu ini. Terdapat pelbagai detik-detik yang penuh emosi tetapi saya tidak boleh lemah. Saya perlu kuat untuk menjaganya," katanya di laman Facebooknya pada 21 Mei lalu.
Katanya, keadaan Freddie menjadi keutamaannya dan memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi secara terperinci tentang situasi mereka.
Sementara itu, pemergian Freddie turut diratapi beberapa rakan selebriti seperti pelakon Vivian Velez dan selebriti tempatan lain.
"Ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayangnya. Muziknya akan kekal dalam hati kami selama-lamanya," katanya.
Untuk rekod, Freddie terkenal dengan lagu hitnya pada 1970-an yang berjudul Anak.
Lagu tersebut mengisahkan tentang nilai-nilai kasih sayang dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Filipina.
Lagu itu juga diterbitkan di lebih 50 negara, diterjemahkan dalam 29 bahasa dan dirakam semula dalam lebih 100 versi.
Selain Anak, komposer serba boleh itu turut menulis lagu yang terkenal dengan tema sosial mereka seperti Katarungan, Magdalena, Pangako dan Luzviminda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram