
KESIBUKAN hidup yang dijalani masa kini, adakala membuatkan ramai ibu bapa tidak menyedari satu kekuatan luar biasa yang mereka miliki - doa yang mustajab untuk anak-anak.
“Doa ibu bapa ini umpama air yang jernih. Ia senjata ampuh dalam membersihkan debu dan kotoran dalam jiwa anak-anak.
Dan lebih penting, ia senjata yang sangat dekat dengan keampunan dan rahmat ALLAH SWT,” kata Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor.
BACA LAGI: Lima sifat Sayyidah Khadijah al-Kubra wajar diteladani wanita berkerjaya hari ini
Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga doa yang tidak diragukan akan dimakbulkan: doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa terhadap anaknya.”
Jelas Dr. Khairunneezam lagi, doa seorang ibu dan ayah bukan sekadar harapan, tetapi satu permohonan yang punya ‘talian terus’ dengan langit.
“Ia adalah harapan yang dilafazkan dengan kasih, kepercayaan dan pengorbanan. Apabila anak tidak nampak jalan, doa ibu bapa menjadi cahaya. Apabila anak tidak bersuara, doa itu menjadi suara dari langit,” ujarnya ketika dihubungi Majoriti.
Namun, dalam kesungguhan mendidik anak pada era dunia serba mencabar hari ini, apakah doa-doa utama yang seharusnya tidak pernah lekang dari bibir dan hati ibu bapa?
Dr. Khairunneezam mencadangkan tiga doa utama yang perlu diamalkan secara konsisten kerana ia merangkumi tiga aspek penting dalam kehidupan anak iaitu akhlak, ketaatan kepada ALLAH dan perlindungan daripada kejahatan.
1. Doa agar anak menjadi penyejuk mata dan tergolong dalam golongan yang soleh
Surah al-Furqan, ayat 74:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang yang bertakwa.”
“Doa ini adalah refleksi jiwa seorang ibu bapa yang mengimpikan anak bukan sahaja membahagiakan mereka, tetapi juga menjadi contoh kepada umat.
“Setiap anak adalah potensi ummah. Doa ini bukan sekadar minta anak jadi baik, tapi menjadi sumber ketenangan hati dan bermanfaat kepada orang lain,” jelasnya.
2. Doa agar anak tetap mendirikan solat dan taat kepada ALLAH SWT
Surah Ibrahim, ayat 40:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku dan anak-anakku orang yang tetap mendirikan solat, wahai Tuhan kami! Perkenankanlah doaku.”
“Doa ini diajarkan oleh Nabi Ibrahim AS dan ia menekankan betapa pentingnya asas solat dalam pembentukan akidah dan keperibadian.
“Solat itu tiang agama. Apabila ibu bapa mohon agar anak cinta solat, mereka sedang menanam akar yang akan menyelamatkan anak dari runtuhan nilai zaman,” ungkapnya.
3. Doa perlindungan daripada kejahatan, syaitan dan penyakit
Hadis Riwayat Bukhari:
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Maksudnya: “Aku mohon perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimah ALLAH yang sempurna daripada segala syaitan, binatang berbisa, dan pandangan mata yang jahat.”
“Inilah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk cucu Baginda, Hasan dan Husain. Doa ini ibarat perisai ghaib yang melindungi anak-anak daripada ancaman fizikal dan spiritual,” jelas beliau.
Berdoa selepas solat fardu adalah antara waktu paling mustajab untuk anak-anak. — Gambar hiasan
Doa tambahan: Ilmu yang bermanfaat
Surah Taha, ayat 114:
رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًۭا
Maksudnya: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”
“Ibu bapa boleh berniat doa ini untuk anak. Ilmu yang diberkati adalah asas masa depan yang cemerlang di dunia dan akhirat,” tambah Dr. Khairunneezam.
Bagaimana dan bila untuk berdoa?
“Doa itu bukan sekadar di bibir, tetapi juga pada masa dan keadaan yang paling lembut dan mendalam,” pesannya lagi.
Antara cara terbaik mengamalkan doa-doa ini menurut beliau termasuklah:
1. Membacakan doa ketika anak sedang tidur – sambil mengusap kepala mereka dengan kasih sayang.
2. Berdoa selepas solat fardu – waktu paling mustajab, tanamkan ayat-ayat doa dalam rutin zikir.
Bacalah doa ketika anak sedang tidur sambil mengusap kepala mereka dengan kasih sayang. — Gambar hiasan/ Janaan AI
3. Mendoakan dalam hati ketika memandang wajah anak – walaupun ringkas, ia tetapi penuh rasa dan ikatan jiwa.
4. Selitkan doa dalam zikir harian – doa ringkas tetapi konsisten, seperti “Lembutkan hatinya untuk taat kepada-Mu, ya ALLAH.”
Doa yang mengubah takdir
Mengulas lanjut, Dr. Khairunneezam berkongsi bahawa Al-Quran dan sejarah Islam sarat dengan kisah bagaimana doa ibu bapa membentuk masa depan sesuatu keturunan.
“Lihat sahaja doa Nabi Ibrahim AS, yang akhirnya melahirkan keturunan seperti Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW.
“Kisah Imam al-Syafie juga menjadi bukti nyata. Ibunya seorang wanita miskin, namun sangat menjaga halal haram, tidak pernah jemu berdoa agar anaknya menjadi ulama besar.
“Guru beliau, Imam Malik pernah berkata bahawa kehebatan Imam Syafie adalah hasil doa seorang ibu yang solehah,” ujar Dr. Khairunneezam.
Justeru tegasnya, dalam menghadapi dunia yang penuh ujian, doa ibu bapa adalah cahaya yang tidak pernah padam.
“Berdoalah dengan yakin dan sabar. Walau belum nampak hasilnya hari ini, yakinlah bahawa doa itu sedang membentuk jalan untuk anak-anak kita esok hari.
“Kerana sesungguhnya, doa yang dilafazkan dari hati yang tulus tidak akan pernah sia-sia di sisi ALLAH SWT,” pesan beliau penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram