
DALAM arus kemajuan dunia kerjaya masa kini, wanita sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Daripada menguruskan tekanan kerja hingga menyeimbangkan tanggungjawab sebagai ibu, isteri, dan anak, semuanya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Di sebalik segala tuntutan kehidupan ini, susuk Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah al-Kubra RA iaitu isteri pertama Rasulullah SAW kekal relevan sebagai ikon wanita berkerjaya yang wajar dijadikan pedoman sepanjang zaman.
BACA LAGI: Setelah menggali sedalam-dalamnya, ternyata al-Quran bukanlah kitab biasa-biasa — Prof. Gary Miller
Para wanita Muslim mencontohi keperibadian Sayyidah Khadijah dalam mendepani cabaran kehidupan yang penuh liku. — Gambar hiasan
Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim al-Hafiz berkata, di dalam sejarah Islam, nama Sayyidah Khadijah binti Khuwailid RA sentiasa terpahat sebagai lambang kemuliaan, keteguhan iman dan kasih sayang sejati.
“Beliau bukan sekadar isteri pertama Nabi Muhammad SAW, tetapi juga wanita pertama yang beriman dengan risalah kenabian.
“Ketokohan dan kewibawaannya bukan sahaja terpancar melalui keturunannya yang mulia, malah terserlah melalui pengorbanan jiwa, harta dan sokongan tanpa syarat terhadap perjuangan Islam yang masih terlalu ‘hijau’ ketika itu.
“Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melupakan jasa dan cintanya, bahkan menyebut nama Khadijah dengan penuh penghormatan meskipun setelah kewafatannya. Yang pasti, Sayyidah Khadijah RA ialah permata yang tiada galang gantinya dalam sejarah ummah,” jelas Dr. Muhammad Sufi ketika dihubungi Majoriti.
Beliau turut membawakan sepotong hadis sahih yang membuktikan kemuliaan sosok wanita daripada Bani Asad itu.
Dr. Muhammad Sufi Ibrahim al-Hafiz.
Daripada Abu Hurairah RA, Jibril AS datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, ini Khadijah datang kepadamu membawa bekas berisi lauk atau makanan atau minuman. Maka apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku.
Dan berilah dia khabar gembira dengan sebuah rumah di syurga daripada pertama yang tiada hiruk pikuk dan tiada kepenatan di dalamnya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).
Menurut beliau lagi, Sayyidah Khadijah juga merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang amat berjaya pada zaman jahiliyyah.
“Keperibadian dan kekuatan beliau terserlah dalam pelbagai dimensi yang mampu memberi inspirasi kepada wanita masa kini.
“Justeru, sewajarnya para wanita Muslim mencontohi keperibadian Sayyidah Khadijah dalam mendepani cabaran kehidupan yang penuh liku.
“Meskipun tidak akan mampu diikuti sepenuhnya sifat dan tingkah laku beliau, namun sekurang-kurangnya ada sebahagian yang boleh dijadikan ikutan untuk bergelar wanita solehah iaitu sebaik-baik perhiasan dunia,” tegas beliau.
Walau sesibuk mana pun, Sayyidah Khadijah tidak pernah mengabaikan peranan sebagai isteri dan ibu. — Gambar hiasan
Berikut adalah lima sifat utama Sayyidah Khadijah RA yang boleh dijadikan contoh oleh para wanita berkerjaya hari ini:
1. Integriti Dalam Urusan Perniagaan
Sayyidah Khadijah terkenal dengan kejujuran dan amanah dalam urusan perniagaan, sehingga digelar At-Tahirah (yang suci). Dalam dunia korporat hari ini, integriti adalah asas penting dalam membina reputasi dan kepercayaan.
Beliau mengajar kita bahawa kejayaan kerjaya tidak perlu mengorbankan prinsip agama dan akhlak mulia. Dalam dunia yang penuh persaingan, nilai integriti inilah yang perlu dijulang tinggi.
2. Kepimpinan & Kebijaksanaan
Sebagai usahawan berjaya dan bangsawan paling kaya di Makkah ketika itu, Sayyidah Khadijah memimpin operasi perniagaannya dengan cekap.
Beliau mampu memilih pekerja yang berkualiti (termasuk Rasulullah SAW sendiri sebelum pernikahan mereka) dan menunjukkan kematangan dalam membuat sebarang keputusan.
3. Kecekalan & Kekuatan Emosi
Beliau menyokong Rasulullah SAW bukan hanya secara moral, tetapi juga dari segi kewangan ketika dakwah Islam dipulau dan ditekan selama tiga tahun.
Sepanjang tempoh Bani Abdul Mutallib dan Bani Hasyim dipulaukan, Sayyidah Khadijah yang membelanjakan seluruh hartanya memberi makan dan minum buat umat Islam.
Ketabahan Sayyidah Khadijah menjadi kekuatan di sebalik perjuangan dakwah Islam di peringkat awal.
Ketabahan Sayyidah Khadijah menjadi kekuatan di sebalik perjuangan dakwah Islam di peringkat awal. — Gambar hiasan
4. Ketaatan Kepada ALLAH & Tanggungjawab Pada Keluarga
Walau sesibuk mana pun, Sayyidah Khadijah tidak pernah mengabaikan peranan sebagai isteri dan ibu.
Kesetiaan dan kasih sayangnya terhadap keluarga menjadi bukti bahawa kerjayanya sebagai ahli perniagaan terkenal ketika itu, bukanlah halangan untuk menjadi wanita solehah.
5. Kepercayaan & Sokongan Terhadap Pasangan
Sayyidah Khadijah adalah manusia pertama yang membenarkan kenabian Rasulullah SAW dan sentiasa berdiri di sisi Baginda.
Kepercayaan ini memberi kekuatan luar biasa kepada suaminya, Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi ujian besar.
Wanita moden harus mencontohi Sayyidah Khadijah dalam membina sinergi antara peranan kerjaya dan rumah tangga.
Beliau adalah bukti bahawa wanita juga hakikatnya boleh berjaya di dunia tanpa mengabaikan akhirat.
“Sayyidah Khadijah adalah lambang kehebatan wanita yang tidak tunduk pada tekanan dunia, tetapi menggunakannya sebagai medan untuk menyebar kebaikan dan menyokong perjuangan agama.
“Kepada para wanita berkerjaya di luar sana, teladanilah beliau bukan sekadar dalam kekuatan luaran, tetapi juga dalam keteguhan iman dan jiwa,” ungkap Dr. Muhammad Sufi mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram