Isu pingat naib johan MSSD Semporna ditarik selesai secara baik, sedia buat siasatan susulan — Fadhlina Sidek


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Atlet lelaki tersebut terus menangis selepas dituduh menaiki kenderaan sepanjang perlumbaan Merentas Desa MSSD Semporna. — Facebook/Mukmin Nantang

ISU membabitkan penarikan semula pingat naib johan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Semporna yang didakwa dilakukan tanpa bukti kukuh, kini telah diselesaikan secara baik melibatkan semua pihak berkaitan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa kementeriannya mengambil maklum tentang perkara tersebut yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara harmoni dan menyeluruh.

BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS

BACA LAGI: 'Bukan rezeki kami di Kedah', Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3

“Kita ambil maklum tentang berita yang tular itu dan saya ingin maklumkan bahawa isu tersebut telah pun diselesaikan secara harmoni dan baik di semua peringkat.

"Jadi, peranan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah, guru, sekolah, ibu bapa dan keluarga (pelajar) telah pun menyelesaikan perkara ini dengan secara baik.

"Kita juga ambil maklum dan ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sehingga ia selesai.

"Jadi saya ingin maklumkan ia telah pun selesai secara baik dan Insya-ALLAH apa sahaja isu yang berbangkit, kita sentiasa ada ruang untuk berbincang dan menilai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani: Cakna Pendidikan Digital di Universiti Malaysia Sabah pada Khamis.

Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan untuk memastikan keadilan dan ketelusan dalam setiap acara sukan membabitkan pelajar di seluruh negara.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga bersedia membuat siasatan susulan mengenai perkara terbabit sekiranya terdapat isu dibangkitkan atau dakwaan lain.

"Kalau ada dakwaan yang tidak betul dan sebagainya, kita sedia untuk siasat dan JPN memberikan komitmen penuh kepada isu-isu yang dibangkitkan," katanya.

Sebelum ini, tular di laman sosial seorang individu dikenali sebagai Mukmin Nantang mendakwa atlet lelaki di bawah bimbingannya yang bertanding bagi kategori bawah 15 tahun dituduh menaiki kenderaan ketika perlumbaan, Sabtu lalu.

Menurutnya, pingat yang disampaikan di atas pentas secara rasmi kemudian dirampas tanpa sebarang sesi pembelaan atau proses siasatan formal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram