
PENDAKWAH bebas, Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub ketika menyambung pengajian di Syria selama tujuh tahun menceritakan pengalamannya menyaksikan sikap dan suasana luar biasa masyarakat Arab dalam menyantuni al-Quran pada bulan Ramadan.
Kata beliau, suasana yang beliau saksikan tidak terdapat di negara ini. Tanpa mengira peringkat umur atau jantina kesemuanya ‘hidup’ bersama al-Quran.
Baik lelaki, wanita, tua, muda, remaja dan kanak-kanak beliau menyaksikan mereka membaca al-Quran di mana-mana saja sama ada di dalam kenderaan seperti bas, kereta api, kereta dan sebagainya. Lebih mengagumkan pengasas Akademi Darul Ilmi itu, apabila anggota-anggota polis trafik yang bertugas di simpang-simpang tiga turut membaca al-Quran.
BACA LAGI: Luka berbalut? Ketahui cara wuduk mengikut fahaman berbeza termasuk Mazhab Syafi'ie
Di pasar-pasar pula, katanya di sebalik kesibukan para peniaga bermuamalah dengan pengguna, mereka tetap tidak meninggalkan al-Quran.
"Para peniaga ini tetap melayani pelanggan seperti biasa dalam berjual beli, namun selesai urusan tersebut mereka akan duduk dan membaca al-Quran,” katanya yang tidak mendengar jeritan peniaga-peniaga ini mempromosikan barangan dengan tawaran harga sebagaimana disaksikan setiap kali masuk ke pasar.
Khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan adalah sunah Rasulullah SAW dan para salafussoleh.
Menurut bekas graduan Institut Islam Al-Fatah Syria itu lagi, kisah-kisah kejayaan ulama salaf mengkhatam al-Quran sepanjang Ramadan termaktub dalam kitab-kitab sebahagian besarnya dengan sanad yang sahih.
Siapakah ulama salaf? Mereka adalah kelompok yang hidup pada kurun pertama dan ketiga Hijrah.
Antara kisah kejayaan yang masyhur mengkhatamkan al-Quran termasuklah ‘Presiden Umat Islam’, yang memiliki kekuatan kerajaan lebih besar daripada Rusia iaitu Sulaiman ibn Malik. Beliau dikhabarkan khatam al-Quran sebanyak tiga kali sehari meskipun memikul tugas berat menguruskan negara.
Persoalannya, adakah kita dituntut untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang Ramadan? Irsyad Fatwa Khas Ramadan yang dipetik daripada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mendedahkan, umat Islam sangat digalakkan memperbanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan termasuklah membaca al-Quran.
Mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan adalah sunah Rasulullah SAW dan para salafussoleh. Ia bukanlah satu perintah khusus daripada syarak yang mewajibkan setiap daripada kita mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan. Bahkan, galakan dan saranan tersebut adalah sesuatu yang sunat.
Bagaimanapun, ulama salaf, para sahabat dan tabi’in telah menunjukkan ciri teladan cara dalam mengagungkan al-Quran sepanjang Ramadan. Kisah mereka ini dirakam bertujuan untuk memupuk motivasi buat kita.
Menurut Ustaz Mohammad Wadi Annuar ketika menyambung pengajian di Syria, beliau menyaksikan masyarakat Arab amat menyantuni ‘hidup’ bersama al-Quran sepanjang Ramadan.
Antara ulama salaf cemerlang menghidupkan hak al-Quran ini termasuklah:
- Imam Syafi’i khatam al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan iaitu setiap dua kali sehari.
- Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa seorang tabi’in iaitu al-Aswad Ibn Yazid mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan setiap dua malam sekali.
- Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran setiap tiga hari sekali. Pad 10 hari terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap hari.
- Mujahid Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sebanyak sekali pada setiap malam.
- Al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah mendedahkan al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan di luar bacaan solat.
- Al-Imam Malik Rahimahullah pula apabila tiba bulan Ramadan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadis dan menumpukan sepenuhnya kepada al-Quran.
- Sahabat dan juga ulama salaf, Saidina Said ibnu Zubair khatam al-Quran setiap dua hari.
- Kadi Mesir, pada zaman pemerintahan Muawiyah, Salaim Bin Umar, Sulaim bin Itr al-Tujaibi khatam al-Quran dalam satu malam sebanyak tiga kali.
- Abu Bakar Bin Abi Daud empat kali sehari.
- Syeikh Abu Abdul Rahman Al-Sulami Rahimahullah berkata, aku dengar Abu Uthman al-Maghribi berkata, Ibn Kuttab khatam al-Quran pada siang hari empat kali dan malam empat kali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram