[VIDEO] Ada caranya sambut hari lahir ikut ajaran Islam, antaranya buat solat hajat berdoa dipanjangkan umur, panggil orang jemput makan


  • Mukmin
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Umat Islam masih boleh menyambut sambutan hari lahir dengan cara sesuai dengan ajaran Islam.

SAMBUTAN hari lahir sudah menjadi tradisi biasa dalam kalangan masyarakat, namun sejauh mana ia selari dengan ajaran Islam?

Walaupun tidak ada penerangan jelas dalam sunnah Nabi mengenai sambutan hari kelahiran, terdapat pelbagai pandangan dari ulama tentang cara yang dibenarkan untuk merayakannya.

Bagi menjawab persoalan itu, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus pernah mengupas tentang bagaimana seseorang boleh menyambut hari lahir mengikut ajaran Islam tanpa terjerumus dalam amalan yang bertentangan dengan syariat.

BACA LAGI: [VIDEO] PU Amin kongsi 4 zikir atasi ketakutan melampau, elak dianiaya

BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama

Menurutnya, para ulama memberikan pelbagai pandangan berkenaan dengan sambutan hari lahir menurut perspektif sunnah Nabi Muhammad SAW.

Tiada sunnah sambutan hari lahir dalam hadis

Menurutnya, terdapat hadis dan pandangan ilmuwan Islam, tidak ada satu pun hadis yang menyebutkan Nabi Muhammad SAW mengadakan sambutan khusus untuk hari kelahiran baginda.

Ini bermakna, sambutan hari lahir sebagai amalan rutin tidak pernah menjadi tradisi yang diamalkan oleh Nabi atau para sahabat.

Oleh itu, sambutan hari lahir yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bukanlah satu amalan dari sunnah Nabi, jelasnya.

Beliau menegaskan seperti dijelaskan oleh para ulama, sesuatu yang tiada dalam hadis tidak boleh dianggap sebagai amalan diajarkan atau disyariatkan oleh Nabi SAW.

Dalam hal itu, sambutan hari lahir dilihat sebagai satu amalan yang tidak bersumberkan dari sunnah dan oleh itu ia boleh dianggap sebagai bid'ah (perkara baharu dalam agama).

Bid'ah dan cara sambutan yang dibolehkan

Walau bagaimanapun jelasnya, sambutan hari lahir boleh dilakukan dengan cara yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

"Bid'ah di sini merujuk kepada perkara-perkara baharu yang tidak terdapat dalam ajaran asal Islam tetapi ia tidak semestinya haram.

"Menurut Imam Syafi'i, bid'ah terbagi kepada dua kategori iaitu bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) dan bid'ah sayyi'ah (bid'ah yang buruk).

"Sambutan hari lahir boleh dikategorikan sebagai bid'ah hasanah (bid'ah yang baik) jika ia dilakukan dengan cara yang sesuai dengan tuntutan syariat Islam.

"Misalnya, jika seseorang memilih untuk mengadakan sambutan dengan niat untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat serta melakukan amalan baik seperti solat hajat, berdoa untuk memohon panjang umur, keberkatan dan rezeki daripada ALLAH, maka ini adalah satu amalan yang boleh diterima dalam Islam," kongsinya.

Azhar Idrus menjelaskan beberapa cara yang boleh diambil untuk menyambut hari kelahiran menurut Islam iaitu:

1. Menunaikan solat hajat sebagai tanda syukur kepada ALLAH atas kurniaan umur yang diberikan serta memohon doa untuk keberkatan hidup dan rezeki baik.

2. Mengajak keluarga dan sahabat untuk berdoa bersama memohon panjang umur, kesejahteraan serta rezeki yang berkat.

3. Mengadakan majlis kenduri atau jamuan ringan sebagai cara berkumpul dan berbudi kepada sesama di samping memohon doa untuk kebaikan hidup.

4. Amalan kebaikan misalnya menggunakan hari tersebut sebagai peluang untuk memperbanyakkan amalan baik seperti bersedekah, menolong orang lain dan sebagainya.

Dalam pada itu, salah seorang pengguna Facebook, @ocasma_arts turut berkongsi pandangannya mengenai menyambut hari kelahiran cara Islam iaitu dengan cara:

1. Tidak mendedahkan kepada orang ramai mengenai hari kelahiran.

2. Berpuasa pada hari kelahiran.

3. Memberikan sedekah sekiranya mampu.

4. Memohon kepada ALLAH dengan penuh penyesalan atas masa yang terbuang sepanjang setahun sambil berharap mendapat petunjuk dan keampunan.

Walaupun sambutan hari lahir tidak pernah menjadi amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, umat Islam masih boleh menyambutnya dengan cara sesuai dengan ajaran Islam.

Yang penting adalah niat baik dan kesesuaian cara sambutan tersebut dengan syariat Islam.

Jika umat Islam menyambut dengan tujuan baik dan mengikut cara yang diharuskan dalam Islam, ia boleh menjadi satu amalan diberkati dan bukan bid'ah terlarang.

Sambutan hari lahir boleh menjadi peluang untuk mendoakan kebaikan hidup, meningkatkan hubungan silaturahim dan memperbanyakkan amalan ibadah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram