
SEPANJANG mendiami Syria untuk menimba ilmu tidak lama dulu, pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar Ayub mengakui pada 10 malam akhir, bumi yang banyak merakam sejarah dan peristiwa anbiya’ serta ulama itu cukup meriah setiap kali menjelang 10 malam akhir Ramadan.
Kata beliau, masjid-masjidnya ‘hidup’. Selain saiz masjid yang besar dan cukup selesa, rumah ALLAH itu turut dilengkapi dengan penghawa dingin dan pemanas untuk keselesaan para jemaah.
“Begitulah cara masyarakat Syria mengimarah masjid dengan memastikan keselesaan para jemaah.
“Bahkan, di tanah Arab, pada 10 malam akhir Ramadan mereka akan ambil cuti tahunan dan berpusu-pusu ke masjid. Begitu juga para pelajar universiti, rektor akan beri cuti lapan ke 10 hari sebelum Syawal semata-mata untuk merebut lailatulqadar,” kata beliau suasana iktikaf pada akhir Ramadan terutama di Damsyik cukup luar biasa.
BACA LAGI: Berlapar cara ahli sufi dekatkan diri kepada ALLAH SWT
BACA LAGI: Abai bersahur, bermalas-malasan antara ciri puasa tidak menguntungkan
Pendakwah bebas, Ustaz Wadi — Facebook/Ustaz Wadi Annuar
Malangnya, kata beliau budaya seumpama ini tidak begitu 'hidup' di Malaysia.
“Kita lebih sibuk untuk sambut lebaran, persiapkan juadah, baju raya dan sebagainya hinggakan kita lupa lailatudar iaitu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan bersamaan beribadah 83 tahun,” tegas Wadi Annuar.
“Lailatulqadar adalah satu anugerah Allah khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW kerana kemuliaan Rasulullah SAW. Faktanya, umur umat Nabi Muhammad SAW pendek, sebab itulah tawaran ini khusus untuk kita.
“Justeru, kita perlu susun dan rancang untuk memastikan lailatulqadar tahun ini milik kita. Boleh jadi, ini adalah Ramadan terakhir kita,” seru beliau.
Iktikaf dari segi bahasa duduk terus menerus dalam masjid menahan diri daripada melakukan perkara tiada kaitan dengan tujuan untuk fokus ibadah kepada ALLAH. — Gambar hiasan
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad menjelaskan, amalan beriktikaf iktikaf bukan saja ‘hidup’ pada zaman Nabi dan para sahabat. Bahkan, selepas kewafatan Rasulullah SAW, ibadah ini terus menjadi amalan isteri-isteri Baginda.
Ummul Mukminin Aisyah RA meriwayatkan perlakuan Nabi SAW ketika tiba 10 malam terakhir. Kata Aisyah yang bermaksud, ”Nabi SAW apabila masuk hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya.”
Al-Munawi dalam Faid al-Qadir menjelaskan, ‘mengetatkan kain’ ini membawa maksud kesungguhan. Ulama seperti Sufian al-Thauri pula berpendapat, sepanjang tempoh tersebut, Nabi SAW juga tidak menggauli isteri-isteri Baginda.
Pandangan ini hasil tafsiran hadis riwayat Aisyah. Aisyah meriwayatkan yang membawa maksud,
”Nabi SAW apabila masuknya Ramadan, Baginda akan mengetatkan kainnya kemudian Baginda tidak akan mendatangi tempat tidurnya sehingga bulan tenggelam (waktu siang).”
Iktikaf dari segi bahasa duduk terus menerus dalam masjid menahan diri daripada melakukan perkara yang tiada kaitan dengan tujuan untuk fokus ibadah kepada Allah.
“Malangnya, sunah Nabi SAW ini semakin tidak difahami dan dilupakan,” tegas beliau hukum iktikaf adalah sunat.
Persoalannya, ketika beriktikaf bolehkah seseorang itu keluar dari masjid untuk pulang ke rumah atau sebagainya?
Majoriti ulama berpendapat, seseorang itu boleh keluar dalam tempoh yang singkat sekiranya mereka ingin ke tandas atau membabitkan sesuatu yang mendesak atau darurat.
Bagaimanapun sekiranya masjid mempunyai kemudahan tersebut, individu tersebut hanya perlu menggunakan tandas di masjid.
“Jika seseorang itu keluar tanpa urusan mendesak, kata keempat-empat Mazhab maka, terbatallah iktikaf individu tersebut,” ujar beliau.
Menurut Aisyah yang bermaksud, "Bahawasanya Nabi SAW apabila baginda beriktikaf, Baginda tidak memasuki rumah Baginda melainkan untuk keperluan atau hajat keinsanan." (Hadis Riwayat Muslim)
Justeru Shamsuri mengajak umat Islam supaya merenungi sama ada selama ini iktikaf yang dilakukan adalah dengan erti kata sebenar.
“Iktikaf Nabi SAW dan isteri-isteri Baginda sangat ketat. Hinggakan kata Aisyah, untuk menyikat rambut sekali pun Nabi SAW suakan kepalanya dari Masjid Nabawi,” kata beliau.
Daripada kisah ini, jelas menunjukkan bahawa iktikaf Nabi SAW dan isteri-isteri Baginda sangat ketat.
Bolehkah amalan iktikaf dilakukan di luar bulan Ramadan? Kata Shamsuri, boleh, selaras dengan sabda Rasullulah SAW yang diriwayatkan daripada Umar al-Khathab RA bahwa beliau pernah berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku pernah bernazar pada zaman jahilliyah untuk beriktikaf pada malam hari di Masjidilharam."
Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda, “Tunaikanlah nazarmu dan beriktikaflah pada malam hari.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Salah satu amalan ulama salaf dan para sahabat, apabila beriktikaf mereka akan duduk setempat. — Gambar hiasan
Salah satu amalan ulama salaf dan para sahabat, apabila beriktikaf mereka akan duduk setempat. Selepas kewafatan Rasulullah SAW tempat yang Nabi SAW sering duduk di dalam masjid iaitu betul-betul di belakang mihrab menjadi rebutan kalangan para sahabat.
Waktu iktikaf
Pada bila-bila masa yang bermula dari 20 Ramadan malam 21 Ramadan hingga malam Aidilfitri. Boleh iktikaf secara berturut-turut selama 10 malam akhir atau satu malam atau tiga hari atau.
Tempoh minimum untuk beriktikaf
Imam Hanafi berpendapat sekurang-kurangnya satu jam.
Lokasi
Ulama terbahagi kepada dua pandangan iaitu yang pertama iktikaf hanya boleh dilakukan di tiga buah masjid iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
Pandangan kedua pula, jumhur ulama berpendapat, iktikaf boleh dilakukan di mana-mana masjid. Ia selaras dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mencampuri mereka itu (isteri-isteri kamu), sedang kamu beriktikaf di masjid-masjid."
Iktikaf cara Nabi SAW:
. Tidak menggauli isteri
. Tidak keluar langsung dari masjid bimbang iktikaf terputus kecuali ada keperluan seperti membuang air kecil atau besar jika masjid tidak mempunyai kemudahan tersebut
Adab iktikaf:
. Ikhlas
. Penuhkan masa dengan perkara yang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT
.Tidak membuang waktu sia-sia
.Tidak leka dengan kandungan media sosial di telefon bimbit
. Jangan tinggalkan masjid kecuali keadaan darurat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram