20 'checklist' amalan sepanjang Ramadan, jaga lisan, pandangan dan pendengaran


  • Mukmin
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Pada Ramadan umat Islam seharusnya berusaha bersungguh-sungguh mematuhi perancangan yang telah diatur. — Gambar Hiasan

RAMADAN adalah musim jihad untuk melakukan hal-hal kebaikan yang hanya dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Betapa hebatnya Ramadan, dalam 12 bulan ALLAH SWT mengurniakan satu tempoh masa sebulan untuk kita ‘tamak’, fokus dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ganjaran-ganjaran mega ini.

Justeru, bagi memastikan amalan tersebut dapat dilakukan secara konsisten, pendakwah bebas, Ustaz Shamsuri Ahmad menyeru umat Islam supaya menyusun dan merancang agenda untuk beramal supaya kelebihan Ramadan dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin.

"ALLAH janjikan kepada kita pahala cukup besar. Kita semua telah melalui Ramadan berkali-kali. Jika hari ini usia sudah mencecah 40 tahun, kita sudah melalui Ramadan (selepas mencecah usia baligh) hampir 25 kali. Kita seharusnya tanyakan diri sama ada sudah benar-benar berpuas hati dengan Ramadan yang pernah dilalui sebelum ini?

BACA LAGI: Miliki kehormatan tertinggi, ada sebab isteri nabi tidak halal dinikah setelah kewafatan baginda

BACA LAGI: As’ad ibn Zurarah penghuni pertama Jannatul Baqi, antara insan bertuah dikebumi bersama makam para sahabat Nabi Muhammad

"Jika belum, maka pada Ramadan kali ini perlu ada perancangan dan fokus. Kita perlu berjanji pada diri untuk melakukan ibadah dan hal-hal kebaikan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat, zikir, tidak meninggalkan solat tarawih dan sebagainya," ujar beliau.

Pendakwah bebas, Ustaz Shamsuri Ahmad. — Gambar/ Zam Eita

Tambah Shamsuri, jika pada bulan-bulan kita berdepan dengan pelbagai kekangan, maka pada Ramadan umat Islam seharusnya berusaha bersungguh-sungguh mematuhi perancangan yang telah diatur.

Tanpa perancangan, kata beliau agak sukar untuk seseorang istiqamah dalam tempoh masa panjang.

Misalnya kata Shamsuri, hari ini tiada alasan untuk tidak membaca al-Quran kerana setiap orang mempunyai telefon bimbit yang membolehkan berinteraksi dengan al-Quran pada bila-bila masa dan di mana saja.

Selain 20 senarai semak ini, Shamsuri turut menyarankan umat Islam supaya menjaga lisan, telinga, pandangan dan anggota tubuh yang boleh mengurangkan pahala puasa, sedekah walaupun hanya RM1, memberi orang berpuasa makan dan sebagainya.

"Jangan tiada satu hari pun kita tidak berinfaq sepanjang Ramadan,” jelasnya andai seseorang berdisiplin melakukan hal-hal kebaikan ini maka kemanisan berpuasa itu dapat dirasai.

Tiada alasan lagi kerana hari ini hampir setiap orang mempunyai telefon bimbit membolehkan kita membaca al-Quran pada bila-bila masa dan di mana saja. — Gambar hiasan

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya setiap daripada kita melakukan 20 senarai semak berikut dengan mengulangi rutin ini setiap hari sepanjang Ramadan:

1. Tahajud

2. Sahur

3. Tidak meninggalkan solat sunat Subuh qabliyyah

4. Solat Subuh berjemaah sebaik-baiknya di masjid

5. Lepas Subuh baca al-Quran sekurang-kurangnya empat muka surat

6. Solat dhuha sekurang-kurang dua rakaat (walau di pejabat)

7. Solat sunat qabliyyah Zuhur empat rakaat

8. Solat Zuhur berjemaah

9. Solat sunat ba’diyyah Zuhur empat rakaat

10. Baca Quran empat muka surat

11. Solat sunat qabliyyah asar dua rakaat12.Solat asar berjemaah

13. Baca al-Quran lapan muka surat selepas asar

14. Solat Maghrib berjemaah

15. Solat sunat Maghrib ba’diyyah

16. Solat Isyak berjemaah

17. Solat sunat Isyak ba’diyyah dua rakaat

18. Solat tarawih ikut keikhlasan

19. Solat witir

20. Baca al-Quran empat muka — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram