
TIMBALAN Mufti Negeri Pahang, Ustaz Datuk Badli Shah Alauddin dalam satu perkongsiannya baru-baru ini menceritakan bagaimana kisah seorang sahabatnya setiap kali menyambut kedatangan Ramadan.
Kata beliau, setiap kali Ramadan, sahabatnya itu akan menyimpan peti televisyen di rumahnya. Bahkan, tindakan sahabatnya itu dalam pengetahuan keluarganya. Ruang tamu tersebut akan dikosongkan khusus untuk mereka sekeluarga menunaikan solat secara berjemaah, membaca al-Quran atau halaqah majlis ilmu.
Daripada kisah ini katanya, dapat menyingkapi sikap sebenar kita terhadap kedatangan Ramadan dengan mengajak ahli keluarga untuk mengimarahnya.
BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan
BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan
Di negara ini misalnya, saban tahun, ada protokol tertentu perlu dipatuhi. Umpama tetamu istimewa, Islam mendidik umatnya tatacara untuk menyambut Ramadan yang begitu sinonim sebagai ‘raja’ segala bulan.
Disebabkan Ramadan mempunyai kedudukan yang tertinggi antara bulan-bulan lain, maka penentuan kehadirannya hanya boleh dilakukan oleh 14 mufti dari seluruh negara.
“Bayangkan, mufti sendiri yang akan mendaki bukit atau menara tertinggi untuk memastikan sama ada anak bulan kelihatan atau sebaliknya. Setelah data tersebut diperoleh, pengumumannya pula dibuat oleh individu yang bukan calang-calang.”
Mufti akan mendaki bukit atau menara tertinggi untuk memastikan sama ada anak bulan kelihatan atau sebaliknya.
“Pengisytiharan penetapan puasa ini pula tidak boleh dilakukan di peringkat negeri, tetapi dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad untuk diseragamkan di seluruh negara,” katanya.
Ternyata, Ramadan adalah satu bulan yang cukup luar biasa. Sebagaimana kita menyambut kedatangan tetamu dengan membersihkan kediaman dan menyediakan hidangan terbaik, begitulah sikap kita terhadap Ramadan. Justeru katanya, untuk menyambut kedatangan Ramadan perlu ada beberapa persediaan yang meliputi empat fasa iaitu:.
a) Mengenalkan bulan Ramadan kepada anak-anak. Lazimnya, dilakukan dua hari sebelum Ramadan, dengan menganjurkan majis ilmu. Menyusun atur perabot di kediaman dan sebagainya. Misalnya ruang tamu jadi tempat khas solat malam atau membaca al-Quran. Kesan perbuatan ibu bapa ini, akan membangkitkan semula memori setelah anak-anak dewasa lalu mereka melakukan perkara sama.
b) Menghidupkan suasana dengan penceritaan kisah puasa zaman dulu. Sekurang-kurangnya anak-anak dapat menghargai bahawa zaman yang mereka lalui jauh lebih baik. Menghias rumah dan bilik tidur- misalnya mengajak anak-anak menulis niat puasa yang kemudian ditampal di dinding sehari sebelum Ramadan. Menulis kata-kata motivasi untuk anak-anak. Menetapkan sasaran tertentu dan menyediakan aktiviti yang sesuai untuk anak-anak supaya mereka rasa lebih teruja dan seronok dengan Ramadan.
c) Fizikal dengan menyusun menu gizi seimbang dengan mengubah pola pemakanan daripada tiga kali kepada dua kali sehari
d) Fasa malam Ramadan - siapkan menu istimewa untuk anak-anak bersahur.
Ibu bapa digalakkan menyusun menu dengan gizi seimbang untuk seisi keluarga.
Selain itu, fasa lain untuk menyambut Ramadan adalah:
Persiapan hati
Ramadan dengan hati penuh gembira dan syukur serta ceria. Sebahagian ulama salaf begitu bahagia dan merindui Ramadan hinggakan mereka berdoa selama enam bulan supaya bertemu Ramadan dan sebaik Ramadan berlalu pergi, mereka berdoa lagi agar segala amal soleh mereka diterima.
Umat Islam, kata Badlishah wajar menzahirkan kegembiraan ini adalah kerana terdapat banyak kemuliaan, keberkatan dan keutamaan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.
“Hanya mereka yang benar-benar memahami dan mengenali Ramadan saja dapat merasai kenikmatan, kemanisan dan kelazatan beribadat dan bermunajat pada bulan ini,’’ jelasnya suasana yang wujud pada bulan Ramadan penuh dengan ketakwaan kerana kita semua diseru melakukan kebaikan.
Justeru, persiapan ini meliputi:
- Memuliakan Ramadan - Kisah Bahram, 70, seorang pendeta Majusi (penyembah api) wajar dijadikan teladan. Bahram mendapat reda Allah dimasukkan ke syurga kerana pada hayatnya beliau menghukum anaknya yang makan secara terbuka ketika umat Islam berpuasa. Sebelum meninggal dunia, Bahram mendapat hidayah lalu memeluk Islam. Kisah ini dirakam dalam kitab Nuzhatul Majalis.
- Hidangan terbaik ini adalah dengan tidak meninggalkan amalan-amalan sunat seperti tilawah al-Quran, bersedekah dan sebagainya. Ibadah sunat jika dilakukan akan mendapat pahala, tetapi jika ditinggalkan adalah satu kerugian.
- Hormati Ramadan dengan perilaku yang baik. Dengan tidak mengeluh, bermalas-malasan dan sebagainya.
- Tidak meraikan Ramadan berlalu begitu saja tanpa dipenuhi dengan aktiviti yang sewajarnya
- Hantar ‘tetamu’ pulang dengan penuh kehormatan.
Berwaspada daripada kesibukan-kesibukan duniawi khususnya ketika Ramadan.
Seorang pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil dalam bukunya, Q&A Puasa & Hari Raya ibadah yang dilakukan tidak akan sempurna tanpa ilmu. Atas alasan itu, para ulama menegaskan, ilmu hendaklah mendahului amalan.
Justeru, demi mencapai kesempurnaan puasa yang menjadi salah satu ibadah fardu dalam Islam, setiap muslim wajar untuk mengetahui puasa seperti yang dikehendaki oleh syarak.
“Mempelajari ilmu tentang puasa sangat penting kerana manusia itu sifatnya sering lupa, maka mereka perlulah sentiasa diingatkan,’’ tegas beliau.
Beliau turut menggariskan beberapa panduan persiapan menjelang Ramadan iaitu:
- Mengulang kaji ilmu tentang puasa
- Membaca hadis-hadis Nabi SAW tentang fadilat puasa dan Ramadan
- Mengetahui amalan-amalan utama dan ganjaran pahala
Antara ilmu yang perlu digali termasuklah memahami, mengetahui dan mendalami:
- Pengertian ibadah puasa menurut syarak
- Rukun puasa
- Perkara-perkara sunat ketika berpuasa
- Perkara-perkara yang membatalkan puasa
- Perkara-perkara makruh yang mengurangkan puasa
- Puasa dari sudut batin dan rohani untuk memberi kesan pada jiwa
Asy Syeikh Salih al-Fauzan hafidzahullah ada menyatakan:
“Hendaknya kita bertakwa kepada ALLAH, berwaspada daripada kesibukan-kesibukan duniawi, walaupun dalam hal mencari rezeki daripada sesuatu yang bukan pokok dan utama seperti dalam urusan perdagangan. Hendaknya seorang muslim untuk mengurangi aktiviti keduniaan pada bulan ini dan hendaknya mereka lebih banyak meluangkan waktunya untuk taat kepada ALLAH. Mencari dunia boleh pada waktu yang lain kerana waktu ini (Ramadan) akan luput, adapun (waktu) mencari harta ini tidak akan luput, maka hendaknya seorang muslim memperhatikan akan hal ini.”
Para asatizah juga menzahirkan kebimbangan tentang satu doa Jibril dan Rasulullah SAW. Salah satunya adalah tentang kecelakaaan yang menimpa seorang muslim yang bertemu bulan Ramadan, namun ia tidak mendapat ampunan ALLAH SWT. Selepas Nabi SAW selesai berkhutbah Baginda pun turun, maka para sahabat pun bertanya.
Wahai Rasulullah SAW doa apa dan doa siapa? Kata Baginda, doa Jibril. Jibril berdoa dengan tiga doa dengan salah satunya adalah Wahai Muhammad, mana-mana umat kamu yang bertemu dengan bulan Ramadan dan keluar dengan dosa yang sama banyak, aku doa kepada Allah maka celaka umat kamu itu. Nabi SAW menjawab, Amin.
Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad SAW hendaklah kita berhati-hati apabila diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan. Semoga kita keluar daripada madrasah Ramadan dengan melupuskan dosa-dosa seperti kita baru dilahirkan. Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang terbaik buat kita semua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram