Food For Soul 2.0 ukir senyuman ibu tunggal, golongan asnaf di PPR Seri Kota


  • Massa
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Sesi agihan bantuan kepada penerima di PPR Seri Kota, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

SEMPENA menyambut bulan Ramadan yang penuh mulia, Star Media Group (SMG) bekerjasama dengan Food Aid Foundation memberi sumbangan makanan kepada golongan memerlukan di Perumahan Awam (PA) Seri Kota di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Pengurus Besar Food Aid Foundation, Afraz Said berkata, bantuan menerusi program Food For Soul 2.0 itu bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang tinggal di kawasan berpenduduk padat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, jumlah penduduk PPR yang memerlukan bantuan sememangnya sangat ramai. 

BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar

BACA LAGI: Bertukang dengan gergaji, tukul besi arwah ibu, Nani wanita kreatif di sebalik ‘House of Art’, Kuala Pilah

SMG Employees CSR programme Food for Soul 2.0 at Food Aid Foundation office and PPR Sri Kota on March 11.—AZMAN GHANI/The Star

Bantuan makanan yang diagihkan kepada penduduk memerlukan di PPR Seri Kota.

Beliau percaya bahawa meskipun sumbangan diberi adalah kecil, namun tetap memberi manfaat kepada mereka.

"Disebabkan itu, kami menyediakan makanan untuk 100 keluarga. Pemilihan penerima bantuan dilakukan dengan kerjasama ahli jawatankuasa (AJK) PPR untuk mengenal pasti keluarga yang layak menerima bantuan. 

"Setiap penerima diberikan kupon yang perlu ditunjukkan ketika mengambil bantuan makanan. 

"Kami juga memberikan empat bungkus makanan untuk setiap keluarga, tetapi jika keluarga tersebut lebih kecil, mereka hanya akan mengambil jumlah yang diperlukan. 

"Dengan cara ini, lebih ramai penduduk dapat menerima bantuan," katanya kepada Majoriti

Muhammad Izzul (kanan) bersama Afraz (tengah) dan Cef Bob Adnin (kiri).

Ketua Operasi Food Aid Foundation, Muhammad Izzul Izham Mohammad Nordin pula memaklumkan bahawa organisasi itu menjalankan operasi pengagihan makanan kepada golongan memerlukan secara berterusan.

"Sebenarnya, setiap minggu kami mengadakan aktiviti bantuan makanan. 

"Ada hari untuk agihan makanan kering, ada hari untuk penghantaran makanan basah kepada yang memerlukan," jelasnya. 

Bagi pemilihan lokasi bantuan tahun ini, Muhammad Izzul Izham menjelaskan bahawa PPR Sri Kota dipilih berdasarkan keperluan tinggi penduduk serta lokasinya yang berhampiran dengan Food Aid Foundation.

SMG Employees CSR programme Food for Soul 2.0 at Food Aid Foundation office and PPR Sri Kota on March 11.—AZMAN GHANI/The Star

Penerima juga disalurkan barang keperluan dapur dan bahan mentah.

“Kami melihat keperluan mendesak di sini, dan ini juga menjadi sebahagian daripada inisiatif bantuan Hari Raya kami.

"Kerjasama dengan Star Media Group tahun ini membolehkan kami mencapai lebih ramai penerima dan diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk menyertai program CSR sedemikian," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penderma serta penyokong Food Aid Foundation yang telah membantu menjayakan inisiatif itu.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong usaha kami. Semoga dengan inisiatif ini, lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu," ujarnya. 

Antara penduduk PPR Sri Kota yang menerima bantuan Food For Soul 2.0.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Sri Kota, Noor Rimah Mohamad, 62, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan. 

"Program ini amat menceriakan hidup mereka, terutama hidangan panas dan barang keperluan untuk persiapan raya sekali.

"Kebanyakannya penerima adalah golongan ibu tunggal, balu yang kematian suami.

"Ada juga asnaf yang memiliki suami tidak bekerja, orang kelainan upaya (OKU) atau masalah kesihatan lain dengan ramai tanggungan anak," katanya. 

SMG Employees CSR programme Food for Soul 2.0 at Food Aid Foundation office and PPR Sri Kota on March 11.—AZMAN GHANI/The Star

Para sukarelawan SMG bersama pihak Food Aid Foundation sepanjang program dilaksanakan.

Katanya, barang keperluan dapur serta bahan mentah terdiri daripada beras 5 kilogram (kg), minyak masak 2kg, tepung, gula, kicap dan lain-lain turut diterima penerima.

Baginya, keperluan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan di PPR berkenaan. 

"Terima kasih Star Media Group kerana sudi memilih penempatan saya sebagai kumpulan sasaran untuk sumbangan bagi tahun 2025 ini.

"Kepada Food Aid Foundation, terima kasih kerana sentiasa memberi peluang pada saya di sini untuk mengagihkan semua keperluan kepada mereka," ucapnya. 

Pada majlis itu juga, sebanyak kira-kira 500 hidangan panas dan barang keperluan diagihkan kepada 100 keluarga yang memerlukan di PPR itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram