[VIDEO] Terjatuh bersama motosikal, mayat remaja lelaki ditemukan dalam sungai di Pendang


  • 112
  • Isnin, 10 Feb 2025

Mayat seorang remaja lelaki ditemukan lemas di sungai Padang Terap, Chegar, Pendang, Kedah pada Isnin

MAYAT seorang remaja lelaki dipercayai terjatuh bersama motosikalnya pada Ahad ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat bomba di sungai Padang Terap, Chegar, Pendang, Kedah pada Isnin pagi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diteruskan pada pukul 7 pagi selepas ditangguhkan malam Ahad.

Jelasnya, panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 7.16 petang Ahad berhubung kejadian lemas itu.

BACA LAGI: Kerjakan ibadah dengan selamat, ada sebab jemaah wajib ambil vaksin sebelum ke Tanah Suci

BACA LAGI: [VIDEO] Percaya jalan ALLAH, anak pengasas Madrasah Darul Ansar tepis godaan 'darah muda' semasa remaja

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah motosikal jenis Modenas Kriss berada di dalam sungai dan penunggangnya dipercayai terjatuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mangsa dikenal pasti sebagai Nur Haidhar Nasrul, 17 tahun.

“Selaman pertama dilakukan pada pukul 10.34 pagi, diikuti selaman kedua 25 minit kemudian.

“Ketika selaman ketiga, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 11.18 pagi dalam jarak 10 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh,” katanya.

Terdahulu, seorang remaja dikhuatiri lemas selepas motosikal ditungganginya terjatuh ke dalam sungai Padang Terap di Chegar.

Dipercayai terbabas akibat hilang kawalan, usaha mencari mangsa turut dibantu beberapa orang awam ketika kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram