
PERNAHKAH kita terfikir bagaimana jika sebuah kafe diuruskan sepenuhnya oleh anak-anak sindrom Down? Di beberapa negara, inisiatif ini sudah dipraktikkan antaranya di Indonesia, Thailand dan Istanbul.
Itulah salah satu visi dikongsikan oleh Pengasas Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (ORKIDS), Sri Rahayu Samsudin yang juga ibu kepada empat orang anak termasuk seorang sindrom Down.
Graduan kelulusan Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur itu memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia korporat antaranya Nestle dan Shell.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman
Pengasas ORKIDS, Sri Rahayu Samsudin.
Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan dan pengalaman bekerja di syarikat multinasional, Sri Rahayu membawa perspektif yang unik dalam usaha membangunkan kemahiran golongan istimewa, khususnya dalam industri makanan dan minuman.
Menurut beliau, inisiatif membuka kafe tersebut bertujuan menggalakkan golongan sindrom Down berdikari dan mengasah kemahiran sosial.
"Sebagai majikan, tentu mereka memilih pekerja lebih cekap dan secara tidak langsung peluang pekerjaan untuk golongan istimewa ini semakin terhad," ujarnya.
Beliau menambah, walaupun anak-anak sindrom Down dilatih dengan kemahiran tertentu, misalnya dalam industri makanan dan minuman seperti mengemas, menyusun dan mencuci, namun faktor kecekapan dan ketahanan mereka yang terbatas menjadi cabaran utama.
"Sebagai contoh, mereka mungkin mampu bekerja dalam tempoh tiga hingga empat jam sahaja, berbanding lapan jam normal dilakukan oleh pekerja lain," jelas beliau lagi kepada Majoriti.
Kafe yang dirancang oleh ORKIDS bukan sahaja menyediakan peluang latihan bagi anak-anak bawah jagaan mereka, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak istimewa daripada organisasi luar.
Tangkap layar memaparkan salah sebuah kafe di Indonesia dikendalikan oleh anak-anak sindrom Down. — TikTok/lenny.diary
Dengan cara ini, kafe tersebut bukan hanya menjadi tempat meningkatkan kemahiran, tetapi berfungsi sebagai platform untuk golongan ini menyertai dunia pekerjaan sebenar.
"Untuk anak-anak ORKIDS, kafe ini akan menjadi platform latihan. Namun, kami juga ingin memberi peluang kepada anak-anak istimewa lain di luar sana memperoleh pengalaman kerja," tambah Sri Rahayu.
Selain itu, beliau merancang menubuhkan pusat panggilan atau profit centre yang menawarkan perkhidmatan kepada perniagaan-perniagaan di luar sana.
“Kita juga latih kemahiran mereka dalam kerja-kerja pembungkusan dan penyusunan barang. Dari situ mungkin kami akan mengambil kerja dari luar. Itu pun dikira memberi mereka peluang pekerjaan,” ujarnya.
Bukan sekadar sebuah inisiatif perniagaan, kafe yang dikendalikan oleh anak-anak sindrom Down juga merupakan satu langkah penting dalam menghakis stigma termasuk mengubah cara masyarakat melihat kemampuan golongan istimewa ini.
Tidak hanya itu, inisiatif-inisiatif yang dirancang oleh ORKIDS bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada golongan sindrom Down, malah turut meningkatkan keyakinan mereka untuk berdikari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram