DALAM kehidupan sarat pancaroba, sebagai hamba-NYA kita tidak terlepas dengan pelbagai dugaan baik besar mahupun kecil yang sedikit sebanyak memberi kesan pada emosi dan jiwa.
Pun begitu, usah pantas menghela nafas berputus asa kerana ALLAH tidak akan menguji melebihi kemampuan kita.
Selain menunaikan solat lima waktu untuk meningkatkan kecerdasan rohani, lazimkan lidah untuk sentiasa berzikir bagi menenangkan jiwa dan hati yang sedang galau.
Terdapat empat zikir boleh diamalkan untuk membantu melindungi diri daripada marabahaya.
Zikir-zikir berkenaan bukan sahaja membawa ketenangan, malah membantu menyelesaikan masalah besar yang mungkin kita beranggapan tiada solusi.
BACA LAGI: Luka berbalut? Ketahui cara wuduk mengikut fahaman berbeza termasuk Mazhab Syafi'ie
BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama
Menerusi perkongsian oleh pendakwah selebriti, PU Amin di laman TikTok berkata, terdapat empat zikir boleh diamalkan untuk menjadi pendinding diri daripada bahaya dan masalah kehidupan.
PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim memberitahu, setiap zikir tersebut membawa manfaat tersendiri dalam menangani situasi yang memberi tekanan kepada jiwa dan emosi.
1. Zikir mengatasi ketakutan melampau
Zikir pertama boleh diamalkan adalah mengamalkan:
حسبُنا اللهُ ونِعم الوكِيلُ, نِعم المولىٰ ونِعم النصِيرُ (Hasbunallah wa ni’mal wakil).
Zikir itu sangat berkesan untuk mengatasi rasa takut yang berlebihan terutamanya ketika seseorang berdepan dengan kegelisahan, kebimbangan dan kecemasan melampau sehingga menyebabkan gangguan tidur dan kegelisahan dalam hidup.
Dengan mengamalkan zikir tersebut secara konsisten memberi ketenangan jiwa dan mengurangkan rasa takut yang tidak menentu.
2. Zikir mengatasi stres dan tekanan hidup
Zikir kedua pula adalah mereka yang menghadapi stres akibat masalah hidup yang bertimbun dan keserabutan dalam pemikiran.
Doa Nabi Yunus: لا إِلٰه إِلا أنت سُبحانك إِنِي كُنتُ مِن الظالِمِين (Lailaha illa Anta subhanaka inni kuntu minadhdhalimin).
Ketika seseorang berdepan dengan tekanan dan kebimbangan yang mempengaruhi emosi dan fizikal, zikir berkenaan dapat membantu menenangkan fikiran.
Amalan berzikir itu memberi kekuatan untuk menghadapinya dengan lebih tenang.
3. Zikir menghindari penipuan
Zikir ketiga adalah untuk mereka yang merasa bimbang akan ditipu atau terjerat dalam sebarang penipuan.
Surat Ghafir ayat 44: وأُفوِضُ أمرِي إِلى اللهِ إِن الله بصِير بِالعِبادِ (Wa ufawwidu amri ilallah, innallaha basirun bil-'ibad).
Jelas PU Amin, ketakutan untuk menjadi mangsa penipuan atau scam misalnya, sering kali mengganggu ketenangan fikiran.
Jadi dengan mengamalkan zikir tersebut, seseorang akan dilindungi daripada niat jahat orang yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan kita.
4. Zikir elak kehilangan harta yang tidak direstui
Akhir sekali, zikir melindungi diri daripada kehilangan harta benda dalam keadaan yang tidak direstui atau dengan cara tidak adil.
لا حول ولا قُوة إِلا بِاللهِ (La Hawla Wala Quwwata Illa Billah).
Zikir tersebut akan menjadi pelindung daripada orang yang berniat buruk untuk merampas atau mengambil hak kita tanpa izin.
Dapat disimpulkan bahawa dengan mengamalkan empat zikir berikut secara rutin, seseorang dapat melindungi diri daripada empat masalah utama dalam hidup iaitu ketakutan melampau, stres, penipuan merugikan dan kehilangan harta tidak diingini.
Maka seseorang itu bolehlah mengamalkan zikir berkenaan sebagai pendinding dan ikhtiar dalam menghadapi segala ujian hidup yang datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram