BAGI calon peperiksaan yang berdepan tekanan kemampuan mengingat segala ilmu yang sudah dipelajari, terdapat sebuah amalan mudah yang boleh diamalkan bagi memastikan ingatan lebih tajam dan ilmu tidak mudah dilupakan.
Amalan tersebut tidak hanya untuk peperiksaan SPM atau UPSR tetapi sesuai untuk semua peringkat ujian akademik.
Ingin tahu caranya bagaimana? Ikuti langkah-langkah ringkas yang boleh diamalkan sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Solat masih sah jika terlupa baca tahiyat awal, tapi perlu tampung dengan sujud sahwi
Menerusi muat naik hantaran pengguna Facebook, Mohd Nizam ada berkongsi intipati ceramah terbaharu penceramah PU Salman yang ada berkongsi satu amalan ‘mahal’ yang amat sesuai untuk diamalkan oleh semua calon yang bakal menduduki peperiksaan tidak kira sama ada peringkat UPSR, PT3, SPM atau di peringkat universiti.
llmu yang dikongsikan itu dikatakan dapat membantu mengelakkan lupa terhadap ilmu yang sudah dipelajari dan dihafal seseorang.
Menurut PU Salman, amalan itu sangat mudah untuk dilakukan dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuklah ibu bapa yang ingin berdoa untuk anak-anak mereka.
Berikut adalah langkah-langkah amalan yang dikongsikan:
1. Berwuduk dahulu – Sebaiknya mulakan dengan berwuduk untuk memastikan kesucian.
2. Ambil segelas air kosong – Sediakan segelas air kosong untuk tujuan ini.
3. Baca Surah Al-A'la – Bacakan surah al-A'la yang dimulai dengan ayat pertama.
4. Ulang ayat ke-6 “Sanuk riu ka fala tannsa” sebanyak 7 kali – Ulangi ayat ini sebanyak tujuh kali dan tiupkan ke dalam air.
5. Sambung bacaan hingga akhir ayat – Selesaikan bacaan surah tersebut hingga habis.
6. Minum air tersebut dengan niat – Niatkan agar ilmu yang dipelajari dan dihafal tidak lupa semasa peperiksaan.
PU Salman bagaimanapun menekankan bahawa amalan tersebut amat baik diamalkan pada pagi hari peperiksaan.
Selain itu, ia juga boleh dilakukan setiap hari untuk keberkatan dan mempermudahkan pemahaman dalam belajar.
Penting untuk diingatkan kepada semua pada hari peperiksaan, amalan itu sangat disarankan dan diharapkan agar semua calon dapat mengamalkannya dengan penuh keikhlasan.
Menerusi perkongsian itu, ia tidak hanya untuk calon peperiksaan, ibu bapa turut disarankan untuk membaca dan mendoakan kejayaan anak-anak mereka.
PU Salman mengingatkan bahawa kejayaan sebenar hanya dapat dicapai dengan redha ALLAH SWT dan usaha serta doa yang tulus pasti akan mendatangkan hasil yang baik.
Dalam pada itu, menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi YouYube ada berkongsi antara tip penting bagi menguatkan ingatan terutamanya kepada mereka yang sedang mempelajari ilmu dan berniat mengukuhkan hafalan.
Antara perkongsian beliau adalah mengurangkan pengambilan makanan dalam kehidupan hariam
Menurutnya, makanan berlebihan boleh menyebabkan rasa letih dan mengurangkan daya ingatan.
"Jangan makan banyak kerana pemakanan yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang menjadi lembap dalam belajar," katanya.
Kongsi beliau, pengulangan ilmu berulang kali dapat memastikan ilmu melekat dalam ingatan seseorang.
"Kita perlu mengulang-ulang apa yang dipelajari secara lisan dan kerap berbicara tentang ilmu yang dipelajari agar ia tidak hilang dari ingatan, jelasnya.
Beliau menekankan amatlah penting bagi seseorang individu mempelajari ilmu semasa muda kerana ingatan lebih mudah diingati berbanding dewasa.
"Ilmu yang dipelajari semasa kecil lebih mudah diingat berbanding ketika dewasa kerana otak yang lebih tajam semasa muda," jelasnya.
Katanya seseorang terutamanya pelajar mungkin mengalami gangguan yang menghalang untuk mengingat ilmu.
Oleh itu, beliau menyarankan agar penghafal terus mengulangi apa yang sudah dipelajari meskipun banyak gangguan dalam hidup.
Tambah beliau, Imam Bukhari dan ulama-ulama lain yang berjaya menghafal ribuan hadis menunjukkan pentingnya usaha, disiplin dan pengulangan dalam menguatkan ingatan.
Dapat disimpulkan pendakwah bebas itu menekankan bahawa disiplin, pengulangan dan menjaga gaya hidup yang sihat adalah kunci untuk menguatkan ingatan dan memastikan ilmu tetap tersemat dalam minda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram