BOLEH tak sebenarnya solat dua kali dalam satu waktu?
Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi dalam beberapa situasi tertentu, Islam membenarkan kita mengulang solat.
Menurut perkongsian oleh penulis buku agama, Ustaz Yazid Hamka, umumnya dalam Islam kita tidak dibenarkan untuk mengulang solat dalam satu waktu yang sama.
Ustaz Yazid Hamka menjelaskan bahawa misalnya setelah menunaikan solat Zohor, kita tidak dibolehkan untuk solat Zohor lagi pada waktu yang sama.
Hal itu katanya, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dalam Sahih Jami’ (7365) yang melarang mengulang solat dalam satu hari.
Namun begitu, jelasnya terdapat situasi-situasi tertentu umat Islam dibenarkan untuk mengulang solat dan itu dijelaskan dalam hadis-hadis sahih yang menunjukkan kelonggaran dalam beberapa keadaan.
1. Menyertai solat jemaah setelah solat sendiri
Keadaan pertama yang membolehkan seseorang mengulang solat ialah apabila individu solat sendirian dan kemudian mendapati ada jemaah yang sedang bersolat.
Dalam situasi tersebut adalah disunatkan untuk seseorang mengikut serta dalam solat jemaah tersebut.
Yazid Hamka yang merupakan pakar dalam bidang Quran Sunnah lulusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia bagaimanapun berkata, Nabi Muhammad SAW pernah melihat dua orang yang tidak mengikuti jemaah walaupun mereka sudah solat di rumah.
Baginda bertanya kepada mereka, "Apa yang menghalang kamu untuk ikut solat bersama kami?" Mereka menjawab, "Wahai Rasulullah, kami telah solat di rumah kami."
Lalu Nabi SAW bersabda, "Jangan seperti itu. Sekiranya sudah solat di rumah, kemudian mendapati ada imam, solatlah sekali lagi dengan jemaah."
Hadis itu diriwayatkan dalam Sahih Abi Daud (575) menunjukkan bahawa walaupun seseorang sudah solat, dia tetap boleh mengikuti solat jemaah dan memperoleh pahala solat berjemaah.
2. Menjadi imam untuk orang yang solat sendirian
Jelas Yazid Hamka, keadaan kedua yang membolehkan seseorang mengulang solat adalah apabila dia melihat ada orang yang sedang solat sendirian lalu dia menjadi imam untuk orang tersebut.
Tujuannya adalah supaya orang yang solat sendirian itu mendapat pahala solat berjemaah.
Nabi SAW pernah melihat seorang sahabat yang sedang solat sendirian dan bertanya kepada sahabat lain, "Adakah sesiapa yang ingin bersedekah kepada orang ini? Caranya ialah pergi solat bersama dia." - Sahih Abi Daud (574).
3. Solat jemaah di rumah bersama keluarga
Penulis buku agama itu menyatakan dalam konteks kehidupan sehari-hari misalnya seorang suami yang sudah pun solat berjemaah di masjid, dia masih boleh mengulang solat berjemaah dengan isteri di rumah.
Kataya, hal itu menunjukkan betapa pentingnya menjaga solat jemaah di kalangan ahli keluarga terutama bagi isteri yang mungkin solat sendirian.
Dapat disimpulkan meskipun terdapat larangan mengulang solat dalam satu waktu, Islam memberi kelonggaran dalam situasi tertentu seperti menyertai solat jemaah atau menjadi imam kepada orang yang solat sendirian.
Perkara itu adalah sebahagian daripada rahmat Islam yang mendorong umatnya untuk sentiasa memperbanyakkan amalan dan meraih pahala dalam pelbagai keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram