BARU-BARU ini, timbul persoalan mengenai kesahihan solat bagi seseorang individu yang terlupa membaca tahiyat awal khususnya dalam solat fardu.
Persoalan itu sering ditanya oleh umat Islam yang bimbang tentang kesahihan ibadah mereka apabila mereka terlupa melakukan rukun solat tertentu.
Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Azhar Idrus menerusi topik ceramahnya 'Apa Perlu Buat Tertinggal Tahiyat Awal Dalam Solat?' menjelaskan jika seseorang terlupa membaca tahiyat awal dalam solat hukumnya tersebut tetap sah.
Menurutnya, walaupun seseorang individu terlupa untuk duduk pada tahiyat awal, solat tersebut tetap diterima oleh ALLAH asalkan individu tidak melanggar rukun-rukun solat yang lebih besar.
Namun menurut Ustaz Azhar Idrus, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan dalam hal tersebut.
"Sekiranya kita terlupa untuk membaca tahiyat awal dan baru teringat selepas selesai membaca tahiyat akhir maka solat kita masih sah.
"Namun, jika kita teringat sebelum memberi salam adalah disunatkan untuk melakukan sujud sahwi (dua kali).
"Sujud sahwi ini dilakukan sebagai tanda bahawa kita telah terlupa suatu perkara yang penting dalam solat dan ingin membetulkannya," kongsinya.
Mengulas lanjut, Ustaz Azhar Idrus berkata, misalnya jika seorang imam atau makmum teringat bahawa mereka belum membaca tahiyat awal maka hendaklah segera melakukan sujud sahwi sebelum memberikan salam.
Katanya, perkara itu akan membetulkan kekurangan dalam solat tersebut dan menjadikannya sempurna dari segi hukum.
Ustaz Azhar Idrus dalam pada itu mengulas, terdapat juga persoalan mengenai solat yang tidak cukup rakaat apabila seseorang terlupa dan tidak melengkapkan jumlah rakaat yang sepatutnya maka solat tersebut tidak sah.
"Sebagai contoh, solat Subuh terdiri daripada dua rakaat manakala solat Zuhur, Asar dan Isyak terdiri daripada empat rakaat dan solat Maghrib pula tiga rakaat.
"Jika kita terlupa menambah rakaat pada solat maka wajib memperbaiki kesilapan itu.
"Jika kita baru menyedari kekurangan rakaat selepas memberi salam kita tidak boleh terus membetulkannya melainkan jika masih dalam keadaan yang tidak terlalu lama selepas salam.
"Sebaliknya, jika kita sudah lama selesai salam dan melakukan aktiviti lain maka kita perlu mengulangi solat tersebut dengan rakaat yang lengkap," katan beliau.
Jika dilihat dari situasi itu, dapat difahamkan solat yang kurang rakaat atau terlupa membaca tahiyat awal masih boleh diterima selama mana melakukan pembetulan yang sepatutnya seperti dengan melakukan sujud sahwi atau menambah rakaat yang tertinggal.
Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa berwaspada dan menjaga tumpuan dalam solat agar kita dapat menunaikan ibadah itu dengan sempurna dan diterima di sisi ALLAH.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram